Pages

Nov 6, 2010

KASIH TIADA BEZANYA

SEDANG berehat selepas siap membersih ruang tamu dan bilik komputer yang sudah dua hari di tenggelami air banjir, aku sempat membuka akhbar di atas talian, HarianMetro, http://www.hmetro.com.my/ . Aku tertarik kepada tajuk utama hari ini: "16 cucu, 50 cicit urus mayat nenek. Islam kebumi Buddha" yang ditulis berlatar belakangkan sebilangan orang sedang melihat upacara pengkebumian. Aku terus membaca berita tersebut:-
JOHOR BAHRU - Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.

Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengkebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengkebumian mengikut ada agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketuruan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.

Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

Apa yang menarik minat aku ialah bagaimana pertalian kekeluargaan itu dapat kekalkan walaupun masing-masing hidup dengan pegangan agama yang berbeza. Lazimnya seseorang ibu bapa bukan Islam tidak dapat menerima anak-anak mereka yang memeluk Islam, malah hubungan kekeluarga akan terputus. Kisah-kisah bagaimana seorang anak yang memeluk Islam disisihkan keluarga asal, terpaksa menumpang kasih sayang keluarga angkat dan sebagainya. Tetapi di dalam berita di atas, lain pula jadinya.

Pengajaran yang menarik ialah tentang bagaimana seorang ibu tidak membezakan kasih sayang anak-anaknya yang sudah bertukar pegangan daripada agama asal nenek moyang mereka. Malah sebagai seorang nenek Liang Ho sanggup memelihara cucu-cucunya dengan penuh kasih sayang.

"Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan di Buddha, itu tidak menjadi halangan mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu", sambung Hamidah lagi.

"Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin dan menghormati agama lain. Dia sering menghantar saya mengaji Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya".

Sorang lagi cucu, Kalsom Ahmad, 43, berkata neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. Walau tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami".


Aku dapat bayangkan betapa bahagianya anak cucu cicit Liang Ho yang beragama Islam kerana mereka dapat terus merasai kasih sayang seorang ibu, nenek dan moyang walaupun berlainan agama. Sikap toleransi sebegitu harus dipupuk di dalam minda dan jiwa setiap warga negara kerana itulah salah satu tonggak pemupukan rasa muhibah dan hormat menghormati sesama warga tanpa mengira pegangan agama.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata dia dan keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Aku kagum dengan sikap Liang Ho serta cucu-cucu dan cicit-cicitnya yang beragama Islam kerana masing-masing menghormati pegangan dan amalan agama masing-masing.

Sayang sekali, Liang Ho tidak sempat mengecap nikmat hidup sebagai seorang beragama Islam, walaupun dia sudah melihat keindahan Islam yang diamalkan oleh tiga orang anaknya serta 16 cucu dan 50 cicitnya. Hidayah tidak sempat sampai kepada Liang Ho sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Alangkah indahnya jika anak-anak serta cucu cicitnya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum tiba ajalnya.

5 comments:

  1. Ade bace berita ni di Hmetro. Mungkin ini adalah satu kritis sosial agar umat Islam berfikir tentang kemuliaan, kasih sayang & tanggungjawab. Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. assalammualaikum kepada tuan yang dihormati. saya sangat terkesan dengan pendapat tuan mengenai penulisan blog tuan. Terlebih dahulu saya merupakan cicit pertama mendiang Liang Ho, nama sama Marfuaah Mahfuz, beragama Islam dan menjalankan kehidupan seharian berasaskan agama Islam. Walaupun saya sedar banyak kekurangan dalam diri sebagai seorang Muslim dan saya berusaha sebaik2nya untuk memperbaiki kelemahan diri. Ada sesetengah org berpendapat cara yang kami buat ni boleh memurtadkan diri kami.. tapi... saya tak sanggup melihat orang yg membesarkan saya dgn titik peluh die diketepikan kerana kami berlainan agama. Malahan nenek saudara saya, Low Ah Oi adalah satu2nya ahli keluarga yang masih beragama Buddha. Kami akui mmg ada menghadiri majlis keagamaan dan pengkebumian selama 3 hari berturut-turut di Nirvana Memorial Park di Tun Aminah. tapi kami sekadar memerhati dan sebagai memberi penghormatan terakhir kami kepada mendiang. Mmg upacara keagamaan diadakan kerana itu merupakan impian dan wasiat terakhir mendiang dimana kalau die mati.. hendaklah dijalankan mengikut tradisi Buddha. kami hanya menurut kerana itu permintaan terakhir beliau. saya sedih dgn kenyataan beberapa pihak yang tuduh kami melulu sedangkan mereka tidak tahu perkara sebenar. Cuba mereka berada ditempat kami. Apa perasaan mereka? Mendiang cukup menghormati agama Islam. Tidak pernah die menyuruh kami meninggalkan agama kami. Tentang memeluk islam, ada beberapa ahli keluarga memberi cadangan tetapi die tetap mahu menganut agama itu. Ini kerana dalam agama kita tidak boleh memaksa seseorg itu tanpa kerelaan hatinya. Pada hari die dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri, salah seorang pakcik saya bernama Othman Ahmad ada membisikkan Kalimah Syahdah tetapi tidak ada respon kerana hampir 75% dari otak mendiang tidak beroperasi dan berdarah. Kami juga sedih kerana tidak dapat mengajak mendiang memeluk Islam... tetapi apa kan daya... tiada paksaan dlm memeluk Islam... kami telah cuba... selainnya hanya ketentuan Illahi. Namun saya bersyukur kerana dapat mewarisi keturunan beliau... die seorang yg susah pada masa zaman jepun lagi... merantau dari Kwantong, China menaiki kapal dagang berbulan2, dan sampai terus dapat kerja sbgai amah di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Sehinggakan masa hayatnya ... beliau mendapat duit pencen untuk menyara kami semua. Walaupun x banyak tapi cukup untuk membesarkan kami semua. Akhir sekali, terima kasih atas penulisan tuan. Sekurang2nya ada org yang memahami kami sekeluarga.Sekian, wassalam.

    ReplyDelete
  3. RAFHAN - terima kasih sudi membaca. kasih sayang lahir di dalam hati setiap insan. agama mendidik supaya sifat mulia itu dikembangkan tanpa batas sempadan. syukurlah kita dihidupkan di dalam agama paling suci dan dapat menunaikan tanggung jawab yang diamanahkan.

    ReplyDelete
  4. Sdr Marfuaah - terharu saya kerana mendapat respons dari sdr. Sewaktu saya membaca berita tersebut hati saya tersentuh kerana sifat santun sdr seluruh keluarga terhadap mendiang dan saya pilih berita itu untuk coretan di dalam blog saya ini. Saya berharap lebih ramai umat Islam membaca dan mengerti makna kasih sayang yang Allah semaikan di dalam jiwa kita.

    ReplyDelete
  5. Islam itu indah dan kita diajar untuk menghormati yg lebih tua, sekalipun kita berbeza agama. Islam itu tidak memutuskan silaturrahim, tidak emutuskan kasih syg, ianya rahmat ke seluruh alam. Sikap anak cucu mendiang yg telah menyempurnakan urusan pengkebumian itu adalah kerana menghormati nenek mrk. Itulah sikap terbaik yg ditunjukkan oleh seorang Islam semoga akan berterusan dan memberi contoh gambaran baik kepada keluarga lain yg ada mempunyai anak2 yg memeluk Islam. Sayangi dan santuni lah ibubapa yg melahirkan sekalipun anak2 telah bertukar agama kepada Islam. Ibubapa walaupun mrk masih belum menerima hidayah mempunyai hak utk dihormati dan disayangi...apalagi kita wajib mendoakan mrk sbgaimana yg disuruh oleh Nabi kita.

    ReplyDelete