Pages

Apr 29, 2009

PERTANDINGAN SYARAHAN BAHASA JEPUN

AHAD 26 April 2009 bertempat di Japan Club of Kuala Lumpur telah berlangsung acara 6th Japanese Speech Contest for Secondary School yang melibatkan 14 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah berasrama penuh dan sekolah menengah harian di Malaysia. Mereka semua adalah merupakan pemenang di dalam suatu peraduan mengarang di dalam bahasa Jepun yang dijalankan terlebih dahulu. Di dalam Speech Contest itu, para peserta tersebut dikehendaki menyampaikan ucapan berdasarkan hasil karangan mereka yang menang itu di samping menjawab beberapa soalan secara lisan di dalam Bahasa Jepun.

Apa yang menariknya ialah, para peserta yang mengambil bahagian dapat berucap dan menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan lancar dan fasih. Para juri terdiri daripada lima orang Jepun dan seorang orang Melayu yang fasih berbahasa Jepun. Kebolehan para pelajar amat mengagumkan dan sekaligus menunjukkan mereka semua mampu menguasai bahasa asing dengan baik jika diberi kesempatan mempelajarinya dengan sistematik.

Seramai 7 orang peserta adalah pelajar Melayu sementara bakinya pelajar keturunan Cina, masing-masing mewakili Sekolah Tun Fatimah, Johor, Sek Men Sains Pokok Sena, Kedah, SMJK Sam Tet, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang, SMK Mengelembu, Ipoh, Perak, SMK Sulaiman, Bentong, Pahang, SMK (P) Methodist, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Sultan Iskandar, Mersing, Johor, SMK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah, SMK Raja Chulan, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Muzaffar Shah, Melaka, Sek Men Alam Shah, Putrajaya, Sek Men Sains Labuan dan SMK (P) Methodist, Klang, Selangor. Empat orang peserta lelaki dan bakinya peserta perempuan. Hampir kesemua mereka adalah pelajar tingkatan empat.

Para peserta yang mengambil bahagian ini merupakan pelajar-pelajar yang mengambil Bahasa Jepun sebagai mata pelajaran bahasa asing di sekolah masing-masing. Mereka mula mempelajari bahasa ini semenjak di tingkatan satu lagi. Mengenal huruf, bunyi, sebutan, nada serta intonasi yang betul. Selain daripada itu tentunya mereka belajar membina ayat, membentuk perkataan dan mengarang di dalam bahasa tersebut. Seterusnya membaca dan bertutur di dalam bahasa Jepun dengan betul dan lancar. Itulah kaedah yang betul untuk belajar mendalami sesuatu bahasa asing dan pasti sekali mereka tidak belajar bahasa Jepun melalui subjek-subjek Sains dan Matematik!

Pertandingan yang dimulakan tepat jam 1.00 tengah hari berjalan dengan lancar dan mengikut atur cara majlis yang ditetapkan dan berakhir tepat jam 5.00 petang. Sementara menunggu keputusan panel juri, para penonton telah dihidangkan dengan jamuan ringan, sudah pasti makanan Jepun. Tidak ada mee atau bihun goreng, karipap atau cucur badak dan teh serta kopi. Ada di antara penonton yang pertama kali merasai makanan Jepun, sudah tentu tekak tidak dapat menerimanya.

Hadiah-hadiah yang disediakan dibahagika kepada 3 kategori, Hadiah Sakura, Hadiah Osaka dan Hadiah Tokyo. Hadiah Sakura merupakan hadiah ketiga yang menerima hadiah barangan elektrik sumbangan penaja. Manakala Hadiah Osaka adalah hadiah kedua yang selain menerima barangan elektrik, hadiah berupa lawatan sambil belajar ke Osaka, Jepun selama 14 hari. Sementara Hadiah Tokyo adalah johan yang menerima hadiah barangan elektrik serta mewakili Malaysia ke pertandingan yang sama di Tokyo di samping lawatan selama 14 hari juga. Semua kos ditanggung oleh Japan Foundation.

Keputusan penuh 6th Japanese Speech Contest for Secondary School tahun 2009 adalah seperti berikut :-

Hadiah Tokyo : Lee Yen Yen, SMK (P) Methodist, Klang, Selangor
Hadiah Osaka : Mohamad Afnan Haziq, SM Sains Pokok Sena, Kedah
Wong May-Tze, SMK Mengelembu, Ipoh, Perak
Hadiah Sakura : Woo Mun Ee, SMK Raja Chulan, Ipoh, Perak
Che Ku Ashraf Helmi, Sek Sultan Alam Shah, Putrajaya
Alyya Syahirah Roszelan, SM Sains Muzafar Shah, Melaka.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Tahniah kepada semua yang mengambil bahagian. Tahniah kepada guru-guru pengiring. Tahniah kepada Japan Club of Kuala Lumpur serta tahniah kepada para penonton yang memenuhi dewan pertandingan pada petang itu.

Jika lebih banyak sekolah yang terlibat tentu akan lebih ramai lagi penyertaan di kalangan para pelajar kita. Sudah tentu akhirnya akan menambahkan lagi bilangan para pelajar yang mahir dan dapat menguasai bahasa asing, seperti Bahasa Jepun, salah satu bahasa yang luas penggunaannya di dunia. Nasib Bahasa Melayu juga boleh ditingkatkan menjadi bahasa dunia melalui aktiviti-aktiviti seperti ini di sekolah-sekolah di negara-negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kelab Bahasa Melayu boleh ditubuhkan di negara-negara berkenaan dan setahun sekali pertandingan seperti ini boleh diadakan, dengan hadiah-hadiah melancong sambil belajar ke Malaysia.

Saya yakin, Bahasa Melayu punya masa depan yang cemerlang!
__________________________________________

"Kita pasti akan merasa bangga jika mendengar orang asing bertutur menggunakan bahasa kita, walaupun sebutannya kurang jelas dan tepat"

Apr 20, 2009

TRANSFORMASI IMEJ TINGKATAN ENAM

PELAJAR era tahun-tahun 70-an dan 80-an pasti akan merasa bangga jika terpilih menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam selepas tamat SPM masing-masing kerana itu bermakna mereka sudah menghampiri tangga ke menara gading. Ini adalah kerana belajar di tingkatan enam dan lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah merupakan tiket paling berharga untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Pada zaman tersebut, bilangan universiti tidak seberapa, sekitar 4 atau 5 buah universiti sahaja. Persaingan tidak begitu sengit, namun jika seseorang pelajar tamat pelajaran sehingga STPM maka dia berkelayakan untuk dipilih ke universiti terutama sekali yang memilih bidang sastera, sosiologi antropologi, sais politik dan seumpamanya.

Namun kegemilangan tingkatan enam pada masa ini sudah malap dan hampir tidak bercahaya lagi. Para pelajar lepasan SPM sudah tidak berminat menyambung belajar ke tingkatan enam kerana mereka sudah boleh memohon memasuki IPTA atau IPTS ke peringkat diploma. Sudah ada puluhan buah IPTA dan IPTS yang menyenaraikan kursus-kurus peringkat diploma kepada pelajar-pelajar lepasan SPM. Sekaligus persaingan ke tingkatan enam sudah hampir tiada lagi, malahan pada para pelajar dewasa ini, menyambung pelajaran ke tingkatan enam itu adalah pilihan tercorot setelah tidak mendapat tawaran daripada mana-mana IPTA atau IPTS pilihan masing-masing.

Di dalam usaha Kementerian Pelajaran untuk menanjakkan semula kegemilangan tingkatan enam, ada terdengar ura-ura tidak lama dahulu Kementerian akan mengujudkan sekolah khas untuk tingkatan enam sahaja. Pengetua serta guru-guru yang akan mengajar di sekolah tersebut adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman mengajar untuk tempoh tahun yang ditetapkan. Dengan kata lain, akan dilakukan satu transformasi imej tingkatan enam untuk menggalakkan para pelajar menyambung pelajaran mereka setelah lulus SPM.

Usaha transformasi tersebut dilihat sebagai satu usaha yang murni dan amat wajar. Memisahkan pelajar-pelajar tingkatan enam daripada pelajar-pelajar lain amat sesuai sekali. Selain daripada itu kaedah pengajaran dan pembelajaran juga perlu diubah sejajar dengan kaedah yang diamalkan di peringkat universiti masa kini. Para pelajar perlu didedahkan dengan kaedah tersebut dengan menggalakkan mereka belajar tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada para guru. Di peringkat tingkatan enam sepatutnya para guru hanya akan menjadi pembimbing atau fasilitator sahaja, bukan lagi guru. Justeru, pelajar-pelajar tingkatan enam tidak perlu lagi bercampur gaul dengan para pelajar lain di dalam persekitaran sekolah yang sama. Sekolah berasingan perlu dibangunkan.

Dalam masa yang sama, para pelajar tingkatan enam tidak perlu lagi terikat dengan sistem dan disiplin yang diamalkan di sekolah biasa. Mereka perlu dilihat sebagai calon-calon mahasiswa yang akan memasuki menara gading selepas dua tahun di tingkatan enam. Kegiatan-kegiatan ko-kurikulum harus tidak lagi sama seperti pelajar-pelajar di tingkatan 1 hingga 5. Mereka tidak perlu lagi menyertai pasukan beruniform atau dilantik sebagai pengawas sekolah dan sebagainya. Sewajarnya mereka didedahkan dengan keadaan dan persekitaran yang hampir sama dengan di universiti.

Perkara sebegini akan sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka menjadi seorang dewasa yang lebih matang dan berdikari. Transformasi imej tingkatan enam bukan sahaja dari segi kurikulum, insfrastuktur dan keperluan pengajian serta tenaga pengajarnya sahaja, malah transformasi tersebut mestilah dilakukan secara menyeluruh, termasuk mentransformasikan imej, personaliti serta minda para pelajar itu sendiri.

Selagi para pelajar tingkatan enam masih terikat dan terikut dengan sistem persekolahan biasa seperti masa kini, kemungkinan para pelajar memasuki tingkatan enam akan terhakis tidak lama lagi. Usaha segera dan pantas perlu dilakukan!
___________________________________________________

"Perubahan tidak hanya dari segi lahiran semata-mata, tetapi perlu merangkumi keseluruhannya supaya kejayaan yang akan dikecapi nanti adalah satu kejayaan yang paling manis dan amat berharga"

RESTU AYAH IBU

DUA hari sudah, anak saya yang sedang tunggu keputusan permohonan ke IPT beritahu satu berita, "Ayah, kakak diterima belajar di matrikulasi Arau. Buat Accounting".

Saya kurang beri perhatian kerana masa itu saya sedang memandu. Malam itu semasa berehat kami berbual anak beranak. Anak saya ini sejak di tingkatan lima dahulu lagi sudah menyatakan kepada saya dan ibunya, "Kakak tak nak masuk matric. Kakak nak apply UPU terus buat diploma". Malah bukannya dia seorang sahaja yang membuat keputusan begitu, abang-abangnya dahulu pun berpendirian yang sama. Mungkin dia terikut-ikut dengan keputusan abang-abangnya dahulu.

Tetapi pada malam itu, pendiriannya agak berubah. Dia seperti mahu menyatakan kepada kami bahawa dia ingin belajar di kolej matrikulasi. Kami berhujjah dan berbincang dalam suasana harmoni bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. "Ayah rasa kakak tak perlu ambik risiko. Setahun di matric belum menjamin kakak boleh masuk IPTA kalau keputusan kakak nanti tidak sampai tahap cemerlang. Kakak akan rugi setahun daripada kawan-kawan kakak yang terus menyambung pelajaran ke peringkat diploma". Ibunya juga bersetuju dengan pendapat saya. Itulah pendapat kami sewaktu berbincang dengan anak-anak lelaki yang dua orang dahulu.

Setelah beberapa lama perbincangan kami tidak memuaskan hatinya, dia menelefon bapa saudaranya, seorang kaunselor sekolah menengah. Saya dan ibunya hanya melihat dan mendengar perbualannya dengan Pak Ciknya itu. Apabila dia meletakkan ganggang telefon, ibunya dengan tidak sabar bertanya, "Pak Cik kata apa?".

Anak saya bercerita panjang lebar hasil perbualannya dengan Pak Ciknya sebentar tadi.

Mengikut peratus pelajar yang diterima masuk ke IPTA sejak beberapa tahun yang lepas, bekas pelajar matrikulasi lebih berpeluang memasuki IPTA terkemuka jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang tidak memasuki matrikulasi. Tambahan pula, bidang yang ditawarkan ialah Accounting bukannya Science. Peluang untuk terpilih menyambung pengajian di IPTA tersohor adalah lebih baik. Tambahan pula tempoh masa satu tahun itu bukannya lama. Melihat kepada kelulusan cemerlang di dalam SPM 2008 yang lalu, tidak mustahil dia akan mengulangi kejayaan di Kolej Matrikulasi nanti.

Keesokannya, anak saya masih lagi bertanya, bolehkah dia menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi itu? Setelah memikirkan sedalam-dalamnya, saya mengatakan kepadanya, "Ayah akan turut keputusan kakak. Jika kakak rasa ke Kolej Matrikulasi itu baik, ayah setuju. Jika kakak berpendapat sebaliknya, ayah tidak membantah".

Ibunya juga seperti memberi restu kerana semasa bersarapan dia memberitahu, "Dulu ibu kurang faham dengan sistem pengajian di Kolej Matrikulasi. Ibu ingatkan di situ hanya untuk pelajar-pelajar aliran sains tulen semata-mata yang memilih untuk menyambung pengajian di dalam bidang kedoktoran dan perubatan".

Saya dapat melihat cahaya gembira di dalam mata anak saya pagi ini. Saya berdoa semoga dia memperolehi kejayaan di dalam apa juga bidang yang dipilihnya.

_________________________________________________

"Restu ayah ibu amat penting di dalam menentukan hala tuju masa depan anak-anak. Jangan biarkan anak-anak terkontang kanting membuat keputusan sendiri, tanpa bantuan dan dorongan".

Apr 19, 2009

BICARA SI LEKAKI ITU

Lalu berbicaralah si lelaki itu
melontarkan suaranya ke persada angin
bagai mahu disergah awan nipis
berselerak tidak memayunginya lagi
tika mentari tidak meredupkan teriknya,
dia menjerit dan melolong
tanpa jeda pada baris-baris ucap kata
dalam sesak nafas berbaur benci
amarah pun kian meninggi.

Siapakah yang kau marahi?
Sahabat yang menegur dengan ikhlas
atau musuh yang bermuka manis
sambil mencurah cuka ke gelasmu,
atau sang perempuan montok
saban waktu menjerut lehermu,
atau sang pemuja yang sering meracau
waktu engkau enak di peraduan.

Lelaki itu, dalam keliru
keluh kesah dan amarah bergumpal
memuntahkan sehutan kata-kata
yang sudah tidak lagi mampu
menjadi penawar kesakitan maha dahsyat.

Biarkanlah begitu, biarkan
biarkan dia berkata-kata dalam nadanya
sendiri mencipta lirik dan irama
meskipun yang terhibur nanti
bukanlah kita!



Pinggiran Taman Bayu
20 April 2009

Apr 7, 2009

ALIRKAN KREATIVITI ANDA KE SALURAN YANG BETUL

HARI ini 7 April 2009, tiga pilihan raya kecil berlangsung, iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Perak, Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Batang Ai di Sarawak. Orang-orang politik termasuk penganalisis, peminat dan pemerhati tertumpu ke tiga-tiga kawasan pilihan raya berkenaan, bukan sahaja pada hari ini malah sejak selepas penamaan calon 29 Mac 2009 yang lalu. Mereka semuanya memberi perhatian yang mendalam serta menaruh harapan yang tinggi kepada calon-calon parti masing-masing yang bertanding.

Melihat kepada suasana di ketiga-tiga tempat berkenaan, jelas para penyokong dan pekerja parti masing-masing mempunyai kreativiti yang tinggi, baik di dalam cara menyusun dan memasang bendera serta banners kepada acara-acara berkempen setiap siang dan malam. Berbagai rupa bentuk yang dicipta bagi menarik perhatian orang ramai di kawasan mereka. Ada yang mencipta kereta kebal, roket atau kapal terbang yang dibalut dengan bendera parti dan diletakkan di tempat-tempat strategik supaya mudah dilihat umum. Malah berbagai lagi kreativiti yang terpancar.

Namun di dalam kesibukan itu mungkin tidak ramai yang membaca berita di dalam akhbar Harian Metro (Edisi Utara) pada Isnin, 6 April 2009. Di muka hadapannya terpampang tajuk berita : Cerpen lucah pelajar yang memaparkan tentang satu peraduan menulis cerpen lucah anjuran sebuah syarikat penerbitan yang menawarkan bayaran sehingga RM150-00 bagi setiap cerita erotik terbaik yang dihasilkan. Penerbit berkenaan menetapkan syarat penulis perlu mengarang 'kisah benar' hubungan seks mereka tidak kurang daripada 3,000 patah perkataan sebelum dihantar melalui emel ke alamat yang ditetapkan. Sasaran penerbit berkenaan ialah para pelajar sekolah yang berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan cerpen dan ingin mendapat pendapatan sampingan.

Berita tersebut tersiar setelah seorang ayah terjumpa novel lucah di bawah katil anaknya. Sebagai seorang ayah yang bertanggung jawab beliau telah mendedahkan taktik kotor penerbit yang tidak bermoral itu ke mata umum. Menurut beliau, tawaran menulis cerpen lucah itu tertampang di halaman belakang novel berkenaan. Ini amatlah menyedihkan kerana penerbit terbabit menggalakkan para remaja kita menyalurkan kreativiti mereka ke tempat yang tidak sewajarnya. Malah lebih menyedihkan lagi, novel-novel lucah tersebut ditulis di dalam Bahasa Melayu!

Apabila saya membacar berita tersebut, saya merasa amat hampa dan kecewa kerana kemurniaan kreativiti seseorang telah diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Sedangkan jika diasah bakat dan kreativiti yang dianugerahkan Tuhan itu ke jalan yang baik, hasilnya pasti akan lebih memberangsangkan lagi.

Kenapa tidak ada syarikat-syarikat penerbitan yang lebih berwibawa menganjurkan peraduan menulis cerpen atau novel remaja yang dikhaskan penyertaannya kepada golongan remaja sahaja. Mereka digalakkan mencurahkan kreativiti mereka melalui cerita-cerita yang bermoral dan dapat menjadi pedoman pembaca. Sediakan hadiah yang lumayan serta peluang menerbitkan hasil karya mereka itu di dalam bentuk buku dan dipasarkan kepada khalayak ramai. Melalui cara itu, para remaja akan dapat menyalurkan kreativiti mereka ke jalan yang betul dan memberi faedah.

Saya amat kesal dengan sikap penerbit yang sanggup menawarkan hanya RM150-00 bagi sebuah cerpen lucah yang tidak bermoral untuk dibaca oleh generasi muda yang akan membesar menjadi peneraju negara dan bangsa pada masa hadapan. Cerita-cerita sedemikian bukan sahaja tidak mempunyai nilai-nilai murni yang sepatutnya dimiliki dan dihayati oleh para remaja, malah jalan cerita dan gaya bahasa yang digunakan sudah tentu terarah kepada nafsu buas semata-mata.

Menurut berita itu lagi, novel yang dijual di antara RM8 hingga RM10 senaskah itu turut menyelitkan pelbagai gambar wanita separuh bogel untuk menarik perhatian pembaca yang rata-ratanya adalah remaja.

Demikianlah, di dalam usaha berbagai pihak untuk membina akhlak, maruah dan harga diri para remaja, ada pihak yang tidak bertanggung jawab dan bernafsu binatang mengambil kesempatan untuk merosakkan akhlak para remaja sekalian. Mereka itu sanggup menjadikan wang sebagai umpan semata-mata untuk merosakkan pemikiran dan sikap remaja yang masih belum mengenal erti kehidupan sebenarnya.

Saya menyeru kepada ibu bapa sekalian agar sentiasa memantau bahan bacaan anak-anak supaya tidak membaca novel-novel murahan dan tidak bermaruah seperti yang dipaparkan di dalam berita kelmarin itu. Jika anak-anak berminat untuk membaca hasil karya kreatif seperti cerpen atau novel, dapatkan sahaja buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit tersohor atau galakkan anak-anak meminjam daripada perpustakaan. Semoga anak-anak kita terhindar daripada segala gejala negatif tersebut.
_____________________________________________
" What the mind can conceive is what the man can achieve"

Apr 4, 2009

CERAMAH DI POLITEKNIK SEBERANG PERAI

2 APRIL 2009, pertama kali saya memasuki perkarangan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang (PSP). Sebelum ini, hanya melalui Jalan Permatang Pauh sahaja sama ada menziarahi keluarga sepupu saya di Kampung Belah Dua, ataupun sekali sekala ke Seberang Jaya.

Terasa amat tenang sewaktu saya memasuki perkarangan PSP pagi itu. Saya memandu dengan perlahan sekali sambil mata melilau mencari-cari di mana tempat yang harus saya tuju. Ikut kata Puan Maria dia sedang menunggu saya di bangunan selepas padang. Saya membelokkan kereta ke bangunan Perpustakaan, tetapi tiada tempat letak kereta. Memusingkan stereng keluar dari situ sambil mencari-cari ruang letak kereta yang kosong. Saya meletakkan kereta saya di tempat letak kereta di tepi padang.

Saya tiba jam 8.10 minit pagi dan Puan Maria sudah menanti ketibaan saya. "Maaflah, peserta belum sampai lagi, penceramah sudahpun tiba". Saya faham keadaan sebegitu kerana itu bukan pertama kali saya alami. Lagipun saya lebih suka tiba awal supaya saya dapat sesuaikan dengan keadaan, memasang laptop dan menyiapkan bahan-bahan yang saya sediakan terlebih dahulu.

Jam 8.20 minit, Pengarah PSP, Tuan Hj Azahan Othman tiba. Saya diperkenalkan kepadanya. Kami bersalaman dan berjalan masuk ke dewan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh seorang pelajar lelaki, kemudiannya ucapan aluan oleh Tuan Pengarah.
Di dalam ucapannya yang ringkas tetapi padat itu, saya dapat menyelami isi hatinya. Beliau adalah seorang yang memiliki sifat seorang ayah, kerana membahasakan 'anakanda' kepada para pelajarnya. Saya tertarik dengan sifat tersebut, kerana itu akan dapat merapatkan perasaan di antara para pelajar dengan beliau sendiri.

Saya menyampaikan ceramah motivasi kepada 60 orang peserta pada pagi itu. Topiknya ialah Membentuk Kecemerlangan Diri, topik yang dipilih oleh Puan Maria semasa kali pertama dia menghubungi saya dua minggu yang lalu. Di antara peserta termasuk juga beberapa orang pensyarah. Saya alu-alukan penyertaan mereka semua.

Kecemerlangan diri tidak mungkin dapat dicapai tanpa mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Namun proses mengenali diri itu amat sukar kerana sepanjang usia hingga kini, kita lebih kerap disogokkan dengan proses mengenali perkara-perkara lain.

Umpama seekor anak helang yang membesar di kalangan anak-anak itik akibat telurnya dieramkan siibu itik sehingga menetas bersama beberapa ekor anak itik yang lain. Apabila si ibu itik mengajar anak-anaknya berenang di tasik, si anak helang ini tidak dapat berenang seperti anak-anak itik yang lain. Setelah dia merenungi ke dalam dirinya, mencari siapa dirinya, akhirnya dia dapati dia bukan seekor itik. Tetapi dia adalah seekor anak helang yang sama seperti helang-helang yang berterbangan di angkasa. Bukan itu sahaja, dia sendiri tidak tahu bahawa itik-itik itu adalah mangsa yang boleh dijadikan makanannya!

Betapa kisah itu boleh menjadi iktibar kepada kita, kerana tanpa mengenali diri sendiri, kita tidak dapat mencapai kecemerlangan yang diidam-idamkan. Benarlah kata pujangga bahawa "Mengenal diri itu punca segala ilmu" serta mafhum hadis Rasulullah s.a.w "Barang siapa yang kenal dirinya, sebenarnya dia sudah mengenali Tuhannya".
Kecemerlangan diri bukan sahaja diukur dari segi luaran tetapi juga perlu meliputi ke dalam diri. Jika dari segi perwatakannya kita tampak cemerlang sedangkan masih bersikap negatif, maka itu bukanlah kecemerlangan yang sebenarnya. Justeru, keseimbangan di antara cemerlang luaran dan dalaman amatlah perlu sekali dimiliki.

Persiapan untuk cemerlang harus mula ditanam di sanubari lebih awal lagi kerana proses itu amat panjang. Umpama menanam sebutir benih, jika mahu ia tumbuh membesar menjadi sepohon rendang yang bermanfaat, perlulah dibaja, disiram, dijaga sepanjang masa. Tanpa penjagaan yang rapi benih itu kemungkinan akan mati terlebih awal.

Kepada para peserta Seminar Motivasi Kecemerlangan Diri tempoh hari, saya doakan anda semua beroleh kejayaan di dalam kehidupan anda. Saya akan tumpang berbahagia jika benih yang saya bawakan itu ditanam dan dijaga dengan sebaik mungkin, sehingga ia membesar menjadi pohon rendang yang berguna.

Selamat berjaya!
_______________________________________________

"Kecemerlangan tidak akan tercapai tanpa melalui proses mengenal kekuatan dan kelemahan diri terlebih dahulu"

Mar 30, 2009

BENARKAN GURU BERPOLITIK?

DI DALAM Perhimpunan Agung UMNO yang baharu selesai, timbul suara cadangan supaya guru-guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik. Tetapi pada masa ini terdapat larangan guru-guru bergiat aktif di dalam politik supaya tugas hakiki para guru tidak terabai.

Malaysiakini.com hari ini menyiarkan berita seperti berikut:-

Guru berpolitik boleh timbul masalah
Mar 30, 09 10:09am

Cadangan pemimpin kanan Umno membenarkan guru aktif semula berpolitik dibimbangi boleh menimbulkan masalah, termasuk menjejaskan pelajar.

Saranan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga menteri pelajaran, dipersoalkan oleh Persatuan Bekas PegawaiPerkhidmatan Pendidikan yang menganggap rancangan Menteri Pelajaran itu bakal menimbulkan masalah kelak, lapor Bernama.

"Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu.

"Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadinanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa," yang dipetuanya Abdul Karim Abdullah dipetik berkata.

Tambahnya, rancangan itu waar diperhalusi dan dibincangkan ke peringkat akar umbi kerana ia bukan isu remeh.

Semasa menggulung perbahasan mengenai isu pendidikan pada perhimpunan agung Umno kelmarin, Hishammuddin mencadangkan guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik.

Bagaimanapun beberapa pihak berpendapat langkah itu wajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan tersebut bagi membuka peluang berpolitik kepada guru, lapor agensi berita itu lagi.

"Ini merupakan perkembangan positif yang diberikan kepada guru, jadi lebih ramailah golongan profesional dan berpendidikan akan terlibat secara langsung.

"Kalau boleh biarlah guru sahaja yang terlibat, bukan pegawai kerana kelak tidak mahu ada masalah di kalangan pegawai," presiden NUTP Hashim Adnan dilaprkan berkata.

Namun Hashim tidak menolak ada risiko yang bakal timbul, makabeliau mencadangkan satu garis panduan yang jelas dan nyata mengenainya dikeluarkan.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nardin Awang turut bersetuju dengan cadangan Hishammuddin itu dan berharap ia dilaksanakan.

"Jika diimbas semula dalam sejarah politik negara, guru adalah pencetus dan penggerak Umno. Guru memainkan peranan kerana sebagai pendidik, guru mempunyai pengaruh untuk memandu pemikiran masyarakat.

"Jadi cadangan Hishammuddin untuk membenarkan guru kumpulan A berpolitik amatlah baik. Cuma perlu dibuat pindaan tentang perkara ini kerana sekarang terdapat larangan guru menyertai politik," katanya.


Kita tidak pasti kenapa tiba-tiba isu ini ditimbulkan kembali setelah sekian lama para guru dilarang aktif di dalam politik? Biar apa sekalipun alasan dan rasionalnya, kita wajar melihat kepada tugas dan tanggung jawab para guru sekalian.

Guru diamanahkan untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi insan cemerlang di hari muka. Guru wajar memainkan peranan menjadi pencetus semangat gigih anak bangsa untuk mengejar ilmu setinggi mungkin. Guru perlu berada di dalam dunia pendidikan dengan memiliki kesedaran yang jelas tentang peranan mereka.

Tugas dan tanggung jawab guru masa kini sudah jauh berbeza daripada zaman dahulu. Tugas dan tanggung jawab mereka semakin mencabar dan memerlukan lebih banyak masa untuk menanganinya. Pada zaman saya bersekolah dahulu, tugas dan tanggung jawab guru hanyalah setakat di sekolah sahaja. Di luar masa sekolah para guru boleh mempunyai masa untuk melakukan bidang-bidang lain yang diminati mereka.

Tetapi mutakhir ini, tugas dan tanggung jawab para guru jauh lebih besar. Bukan hanya mengajar mata pelajaran di sekolah, malah turut terlibat di dalam berbagai kegiatan dan aktiviti untuk melahirkan para pelajar yang cemerlang akademik dan juga kokurikulum. Pembinaan insan cemerlang bermula di alam persekolahan dan gurulah orang penting untuk melahirkan insan-insan cemerlang yang diharapkan itu.

Bukan itu sahaja, para guru juga terlibat dengan berbagai tugasan lain selain mengajar. Rata-rata para guru masa kini kerap bersungut tugasan hakiki mereka agak terabai kerana tugasan-tugasan lain yang turut dibebankan ke atas mereka.

Lantaran itu, wajarkah para guru dibenarkan berpolitik?

Jika kebenaran itu diberikan, akan ada guru-guru yang mengambil kesempatan berpolitik di dalam waktu sekolah. Apabila terlibat dengan politik dan tambahan pula memegang jawatan parti, maka guru-guru berkenaan pasti sekali akan kurang memberi perhatian kepada tugasan hakiki. Mereka akan lebih sibuk dengan aktiviti politik dan akan lebih kerap meninggalkan kelas.

Saya pernah berjumpa dengan seorang guru yang aktif berpolitik di peringkat Bahagian. Beliau kerap tidak datang ke sekolah dengan alasan menghadiri mesyuarat di sana sini. Oleh kerana beliau adalah seorang Guru Besar, guru-guru lain tidak dapat berbuat apa-apa, tetapi masing-masing tahu beliau terlibat di dalam politik. Akibatnya, pengurusan sekolah terabai.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika di dalam sesebuah sekolah, seorang guru Penolong Kanan dan Pengetua sama-sama terlibat di dalam politik. Guru Penolong Kanan memegang jawatan Ketua Bahagian sementara Pengetua pula adalah Setiausaha Bahagian yang sama. Kedua-dua mereka adalah orang penting yang mengemudikan pentadbiran sekolah tetapi dalam masa yang sama terlibat aktif di dalam politik. Lebih membimbangkan lagi jika di dalam politik mereka berada di dalam kem yang berbeza, tidak sehaluan dan saling berusaha membunuh karier politik antara satu sama lain.

Bagaimana pula jika ada lebih ramai guru di sebuah sekolah yang aktif di dalam politik parti pembangkang berbanding dengan guru-guru yang menyertai parti politik kerajaan? Kesannya pasti akan dirasai oleh para pelajar serta guru-guru yang tidak menyertai politik. Keadaannya pasti amat menyedihkan! Siapa yang akan untung?

Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan membenarkan guru berpolitik! Biarlah guru dengan tugas murni sebagai pendidik anak bangsa yang turut sama melahirkan ahli-ahli politik yang berjaya walaupun mereka bukan seorang tokoh politik!
________________________________________

"Jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari"

Mar 28, 2009

SAYANG DAN SUKA

"JANGAN tinggalkan orang yang kita SAYANG untuk orang yang kita SUKA, kerana orang yang kita SUKA itu akan tinggalkan kita untuk orang yang mereka SAYANG. Jangan cuba dapatkan apa yang kita SAYANG, tetapi SAYANGlah dengan apa yang kita ada"

Inilah SMS yang saya terima lewat petang kelmarin. SMS ini masuk ke telefon saya sewaktu saya sedang memandu. Apabila tiba di rumah saya membacanya. Tetapi malang sekali, saya tidak kenal siapa pengirimnya. Kemungkinan pengirim ini kenal saya tetapi saya tidak kenala kerana tidak menyimpan nombor telefonnya di dalam kotak simpanan saya. Saya mohon kemaafan daripada rakan pengirim ini.

Saya tertarik dengan kiriman SMS berkenaan kerana ia membuatkan saya berfikir. Menilai isi yang tersurat dan makna yang tersirat. Dua kata kunci yang amat jelas ialah SAYANG dan SUKA. Kedua-dua kata kunci itu membawa makna yang boleh dikupas dengan lebih terperinci.

Memang antara SAYANG dan SUKA ada bezanya. SAYANG bermaksud kita mengasihi atau mencintai sama ada seseorang atau sesuatu benda atau sesuatu perkara dan sentiasa berharap akan dapat bersama-sama dengan yang kita sayangi itu sentiasa. Jika sayangkan seseorang, kita berharap dapat bersama orang itu selalu. Jika sayangkan sesuatu benda kita ingin benda itu berada di dalam keadaan yang terbaik. Begitu juga jika sayangkan sesuatu perkara, kita mahu perkara itu sentiasa menjadi pendorong untuk kita menanjak ke tempat yang lebih tinggi dan memuaskan.

SUKA pula membawa erti ingin atau minat atau gemar kepada seseorang, sesuatu benda atau sesuatu perkara. Apabila kita sukakan seseorang maknanya kita ingin atau minat atau gemar untuk mendampingi orang itu. Jika sukakan sesuatu benda pula, kita ingin, minat dan gemar untuk melihat benda itu. Dan begitu juga jika kita suka kepada sesuatu perkara.

Jelasnya, SAYANG itu lahir daripada rasa SUKA. Tidak mungkin SAYANG akan berputik tanpa bunga-bunga SUKA berkembang mekar terlebih dahulu. Itu adalah lumrahnya, urutan yang berlaku di dalam kehidupan insan.

Oleh itu, di dalam persahabatan, pastikan anda dapat bezakan di antara SAYANG dan SUKA itu terlebih dahulu supaya anda tidak akan kecewa kemudian nanti. Sebelum menyayangi seseorang itu dengan lebih mendalam, perlulah anda pastikan anda benar-benar SUKA kepadanya. Dan yang lebih penting pastikan sama ada orang yang anda suka itu tahu yang anda sukakannya serta dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadap anda.

Sayang tidak akan dapat menjadi indah dan bermakna jika kedua-dua belah pihak tidak mempunyai perasaan yang sama.
____________________________________________

"Sayangi dirimu terlebih dahulu sebelum menyatakan sayang kepada orang lain kerana orang lain tidak mungkin menyayangimu lebih daripada mereka sayangi diri mereka sendiri"

Mar 23, 2009

PESTA PANTUN PIALA TNC, UUM SINTOK

SUNGGUH asyik mendengar kepetahan para peserta Peringkat Akhir Pesta Pantun Piala TNC, Universiti Utara Malaysia, Sintok menjual dan membeli pantun. Acara berlangsung di Dewan MAS, Desa Penginapan Pelajar MAS, pada 20 Mac 2009 yang lalu. Saya diundang sebagai Panel Juri bersama Sdr Ahmad Sukri Ismail dan Pn Meriyah Nanyan.

Kepetahan para peserta mengungkapkan baris-baris pantun yang dicipta sungguh mengagumkan. Dengan lenggok suara dan intonasi yang dibentuk sedemikian rupa menjadikan pantun-pantun yang dilafazkan itu lebih berseri.


Namun, saya berpendapat gaya melafazkan pantun tidak seharusnya begitu. Tidak seperti yang dilafazkan di dalam acara-acara pesta pantun yang kerap diadakan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan sekalipun. Malah telah sampai ke peringkat IPTA serta jabatan Kerajaan dan Sektor Korporat juga. Ini semua dapat dikesan melalui pertandingan berbalas pantun yang sering diadakan dari masa ke semasa.

Gaya intonasi yang mendayu dan melankolik bukanlah gaya melafazkan pantun. Seharusnya pantun dilafazkan mengikut kesesuaian makna yang terserlah di dalam dua baris akhir pantun berkenaan.

Di peringkat IPT seperti di Universiti Utara Malaysia contohnya, tahap dan gaya melafazkan pantun tidak seharusnya sama seperti di peringkat sekolah menengah lagi. Saya dapati para peserta tidak mengetahui bagaimana cara sebenarnya pantun dilafazkan. Mereka hanya mengikut apa yang pernah didengar seperti di dalam acara pesta pantun yang dijalankan sebelum ini sahaja.

Begitu juga dengan isi dan gaya bahasa yang digunakan di dalam pantun-pantun mereka. Saya dan rakan-rakan panel juri berpendapat isi pantun-pantun yang dicipta oleh para peserta agak kurang menyerlah dari kedua-dua aspek ini. Pantun-pantun yang diketengahnya kurang bernas dari segi isinya dan begitu juga dengan pemilihan diksi-diksi atau gaya bahasa yang digunakan. Meskipun kedengaran seperti indah dan menawan, namun apabila diamati gaya bahasa yang digunakan agak kurang tepat seolah-olah terlalu dibuat-buat supaya kedengaran hebat!

Perhatikan pantun-pantun berikut yang saya ambil daripada kedua-dua pasukan yang bertanding pada malam tersebut:-

Tekad diatur menyusun langkah,
Turun bertandang memburu gelaran,
Hajat diukur tinggi menggalah,
Seni budaya warisan berzaman.

Seri selembar lilitnya renda,
Mengguris cahaya hiasan melati,
Seninya sirna adat ibunda,
Tertiris budaya mana pengganti?

Tiupan bayu angin membelai,
Tingkah bersenda awan memutih,
Santunan Melayu lemah gemalai,
Benarkah bonda baru bertatih?

Walau apapun, syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah berjaya mengadakan acara tersebut dengan jayanya. Juga tahniah diucapkan kepada Juara iaitu DPP Sime Darby yang telah menewaskan DPP Yayasan Al-Bukhary. Semoga akan bersemaraklah lagi pantun tradisional di persada bumi Sintok yang nyaman ini.
Berkat sokongan pihak Hal Ehwal Pelajar serta Dekan dan Pengetua DPP MAS, saya amat mengharapkan supaya acara sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

______________________________________________

"Budaya sendi keutuhan bangsa"

PUISI


DEMI HARGA SEBUAH BANGSA BERBAHASA

Sempat aku melihat
dia berjalan meredah pedih
di dadanya ada api
menggunung semangat juang
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Sempat aku dengar
suara resah dan amarahnya
di atas pentas kesempatan
dia tidak diperalatkan
tapi dia dimanfaatkan
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Suara resahnya mengalir
dari dinding ke dinding
sekian lama berlegar di situ
kini suaranya lantang menggegar
langit bumi tercintanya
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Hilang lelahnya bila berbicara
terpancar sayang kasihnya
erat berpadu semangat
perjuangannya telah lama bermula
lewat ungkapan-ungkapan puitis
pada lembar-lembar sopan
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Dialah penyambung lidah rakyat
suara yang mula berdengung
kini tiba ke tangga parlimen
dalam ungkapan bahasanya sama
untuk dimengertikan kegelisahan ini
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.


23 Mac 2009
Pinggiran Taman Bayu
_________________________________________________________

"Bahasa itu adalah jiwa bangsa. Bangsa akan hancur tanpa bahasanya sendiri"