Pages

Dec 25, 2008

ANAK-ANAK BELAJAR DARIPADA IBU BAPA

SEMUA sedia maklum bahawa ibu dan bapa adalah guru pertama kepada anak-anak, sebelum mereka dihantar ke pra-sekolah dan seterusnya ke sekolah. Anak-anak menjadikan ibu bapanya sebagai idola pertama mereka. Mereka akan belajar apa sahaja daripada ibu bapa mereka, sama ada yang baik ataupun sebaliknya.

Minggu lepas, anak bongsu saya yang berumur 15 tahun demam. Setelah beberapa hari tidak sembuh, saya membawanya ke klinik berhampiran rumah. Waktu kami sampai di klinik jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Orang agak ramai di dalam klinik tersebut kerana hari itu ialah hari Jumaat dan banyak klinik lain tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu. Selepas mendaftar, saya diberikan kad bilangan nombor 21. Kamipun duduk di kerusi tempat menunggu.

Beberapa orang yang berada di klinik itu datang bersama anak-anak mereka. Kebanyakannya berusia di antara 3 - 7 tahun. Bukan anak-anak itu yang sakit, tetapi sama ada ayah atau ibu ataupun anak-anak lain yang lebih tua daripada anak-anak tersebut. Oleh sebab itulah ramai yang tidak dapat duduk di kerusi menunggu kerana kerusi-kerusi itu dipenuhi oleh kanak-kanak yang tidak sakit tadi.

Jika ibu atau ayah bijak mendidik anak-anak mereka, atau sekurang-kurangnya memberi nasihat kepada anak-anak kecil mereka, tentulah tempat duduk yang tidak berapa banyak bilangannya itu diberikan kepada orang-orang tua ataupun mereka yang sakit untuk menunggu berjumpa dengan doktor. Tetapi anak-anak kecil itu terus duduk di kerusi-kerusi itu sedangkan orang sakit yang sepatutnya duduk dibiarkan berdiri.

Sepatutnya ibu atau ayah beritahu secara baik kepada anak-anak mereka, "jangan duduk di kerusi tu, biar pak cik tu duduk". Ataupun beritahu mereka, "tempat duduk tu untuk orang sakit nak berjumpa doktor, adik tak sakit, tak payahlah duduk di situ". Ataupun, pujuk sahaja anak-anak supaya duduk bersama ibu atau ayah sambil itu boleh diajak anak-anak membaca apa-apa sahaja yang ada di dalam klinik itu. Ibu atau ayah boleh ajak anak-anak mereka mengeja atau membaca sebarang poster yang ada di situ.

Itu juga salah satu cara untuk mengajar anak-anak supaya minat membaca selain daripada tidak membiarkan mereka membuat bising yang boleh mengganggu para pesakit.

Dua hari selepas itu, saya ke sebuah bank. Selepas mengisi borang untuk mengeluarkan wang, saya menunggu nombor giliran saya dipanggil. Pada masa itu nombor yang dipanggil ialah 103 sedangkan nombor giliran saya ialah 112. Masih ramai lagi yang sedang menunggu.

Tidak lama masuk seorang wanita bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun. Suara anak lelakinya begitu jelas membaca beberapa poster yang terpampang di dalam bank. Si ibu terus ke kaunter menulis borang, tetapi belum sempat mengambil borang dia berkata kepada anaknya, "Adik tekan butang merah tu..". Dia merujuk kepada butang merah pada mesin mengambil nombor giliran.

Tiba-tiba si anak membaca notis yang tertera di atas mesin tersebut, "Sila tulis borang sebelum mengambil nombor giliran". Kemudia dengan nada yang agak kuat si anak memberitahu ibunya, "Mak kena isi borang dulu, adik tak boleh tekan butang ni lagi".

Aku tersenyum sendirian. Memang sebenarnya anak-anak kecil cepat dan mudah belajar. Hati dan fikiran mereka masih bersih. Kedua-dua ibu bapa merekalah yang mencorakkan hati dan fikiran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi". Marilah sama-sama kita, sebagai ibu bapa, merenung dan menghayati mafhum sabda Rasul itu dan mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang elok dan positif.

Dec 24, 2008

BANGGANYA IBU BAPA

SEKARANG ini musim cuti sekolah sudah hampir tamat. Seminggu sahaja lagi sekolah akan dibuka semula. Para pelajar akan kembali semula ke bangku sekolah, berjumpa semula dengan kawan-kawan dan guru-guru yang hampir 2 1/2 bulan tidak berjumpa. Tentulah nanti berbagai pengalaman yang dikutip sepanjang cuti sekolah akan dikongsi bersama rakan-rakan di sekolah.

Ibu bapa juga tentu sekali seronok kerana anak-anak akan kembali ke sekolah, meneruskan pelajaran mereka. Walaupun dari segi kewangan, ramai ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku-buku, pakaian dan segala persiapan anak-anak kembali semula ke sekolah nanti.

Dalam pada itu ramai ibu bapa yang berasa bangga kerana anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan umum pada tahun ini. Keputusan UPSR yang telah diketahui tentu sekali menggembirakan sebilangan ibu bapa yang anak-anak mereka memperolehi pencapaian 5A, terutama sekali bagi anak sulung di dalam keluarga. Ibu bapa pasti merasa bangga di atas pencapaian cemerlang pertama kali dicapai anak-anak mereka itu.

Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR 2008 baru-baru ini. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada murid-murid yang mendapat 4A 1B atau 3A 2B dan seterusnya. Murid-murid telah membuktikan kemampuan masing-masing melalui UPSR. Halangan pertama telah dilalui.

Minggu ini, bagi ibu bapa yang anak-anak mereka mendapat 5A, tentu sekali sudah menerima surat tawaran untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun hadapan. Ada yang sudah menerima tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada yag sudah menerima tawaran ke sekolah-sekolah premier di daerah dan negeri masing-masing. Kebanggaan pasti terpancar di wajah ibu bapa dan anak-anak yang telah berjaya itu.

Ibu bapa zaman sekarang bukan seperti ibu bapa zaman dahulu, lebih-lebih lagi ibu bapa di kawasan pendalaman. Ibu bapa zaman dahulu, tidak begitu prihatin dengan peluang-peluang pelajaran anak-anak mereka. Anak-anak yang tamat darjah 6 sekolah rendah di kampung akan hanya meneruskan pelajaran ke sekolah menengah yang berhampiran sahaja. Itupun sudah dikira cukup baik, kerana lebih ramai anak-anak yang tidak menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah. Alasan yang paling utama ketika itu ialah faktor kewangan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada keadaan itu. Waktu saya belajar di sekolah rendah dahulu, peluang menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh amatlah terhad. Meskipun saya adalah murid cemerlang di sekolah rendah di kampung, namun peluang amat terbatas. Arwah datuk saya tidak banyak mengetahui tentang peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk murid-murid di kawasan pendalaman. Di sekolah juga guru-guru tidak pernah memberi motivasi kepada kami untuk belajar dengan tekun supaya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Tinggallah murid-murid cemerlang di sekolah-sekolah pendalaman sebagai mangsa keadaan.

Pada masa saya di darjah lima (tahun 1968) dan tahun-tahun sebelumnya, ada peperiksaan khas untuk memilih calon-calon ke sekolah berasrama penuh. Saya masih ingat, abang sepupu saya berpeluang menyambung persekolahan di Ipoh selepas tamat darjah enam di sekolah kampung. Begitu juga dengan dua orang abang sepupu saya yang lain telah berjaya menyambung pelajaran ke tahap Special Malay di sekolah bandar selepas lulus peperiksaan darjah tiga di sekolah rendah di kampung. Itulah sahaja motivasi yang saya ada pada waktu itu, walaupun saya sendiri tidak faham langsung bagaimana proses pemilihan dilakukan. Arwah datuk tentu sekali lebih tidak faham walaupun ketiga-tiga sepupu saya itu adalah juga cucunya.

Tetapi sekarang jauh berbeza. Ibu bapa terdedah kepada segala macam maklumat tentang peluang untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah terpilih. Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah-sekolah elit dan premier di daerah dan negeri masing-masing dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adalah di antara pilihan yang tersedia menanti. Sejak anak-anak mereka berada di darjah tiga atau mungkin lebih awal lagi, ibu bapa sudah menanam cita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan persekolahan ke sekolah-sekolah terpilih tersebut. Perlumbaan itu menjadi lebih mencabar apabila anak-anak berada di darjah lima dan enam.

Dua hari lepas, saya terima panggilan telefon seorang rakan semasa di sekolah menengah dahulu. Dia minta saya berikan sokongan kepada anak ketiganya yang tidak berjaya menerima tawaran ke SBP walaupun syarat-syarat kemasukan telah dipenuhi, termasuklah kelulusan 5A UPSR. Anak sulungnya berjaya ke SBP (kini sedang menunggu masa untuk menyambung pelajaran ke India di dalam bidang perubatan), anak kedua (akan menduduki PMR tahun 2009) juga berada di SBP yang sama. Kini dia mengharapkan anak ketiganya mengikut jejak kedua-dua anaknya yang dahulu juga.

Dalam situasi rakan saya itu, tentu sekali dia berasa bangga apabila anaknya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR. Harapannya amat tinggi agar anaknya itu diterima memasuki tingkatan satu di SBP. Tetapi apabila tidak ada tawaran yang diterima, dia merasa amat kecewa. Malah saya yakin sebilangan besar lagi ibu bapa yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak ditawarkan ke SBP.

"Apa boleh buat pemilihan ke SBP dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran", itu yang dapat saya beritahu rakan saya itu. "Tetapi rasanya masih boleh berpeluang untuk membuat rayuan. Saya cadangakan saudara buat rayuan sebab pemilihan dibuat berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat ketiga nanti. Insya Allah jika ada rezeki tak akan kemana". Sekadar itulah sahaja yang dapat saya nyatakan sebagai seorang YDP PIBG sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Lebih daripada itu adalah di luar bidang kuasa saya.

Apa pun saya doakan agar anak kawan saya itu serta anak-anak yang lain akan berjaya mendapat tempat di mana-mana SBP. Jika ada tawaran, jangan sekali-kali menolak kerana apabila ditolak, peluang itu akan terus tertutup.

Rasanya tidak berapa hari sahaja lagi keputusan PMR pula akan diumumkan. Ramai lagi ibu bapa yang sedang berdebar menunggu pengumuman keputusan itu, termasuklah saya sendiri. Anak bongsu saya mengambil PMR tahun ini. Pastinya ramai ibu bapa yang akan merasa bangga jika anak-anak mereka memperolehi keputusan cemerlang nanti.

Saya doakan kejayaan kita semua.

Dec 22, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG. 2

UNTUK menjadi seorang insan memiliki minda kelas pertama tidaklah sesukar mana. Segalanya berpusat di dalam pemikiran kita sendiri. Di dalam organ yang paling penting, iaitu otak. Di situlah bermula segala-galanya.

Bayangkan kelebihan organ yang dianugerahkan Allah swt ini, terlalu istimewa kerana di dalamnya selain mengandungi beribu juta sel, ia juga memiliki keupayaan menyimpan ingatan yang tidak terhitung banyaknya. Otak juga mempunyai keupayaan untuk menukar persepsi kita terhadap sesuatu perkara, daripada negatif kepada positif atau sebaliknya. Itulah yang membezakan kita, sebagai manusia, daripada makluk-makluk lain yang diciptakan Allah swt di alam ini.

Oleh kerana itulah, sebagai manusia kita boleh memilih untuk menjadi baik atau jahat. Menjadi seorang yang berfikiran positif atau negatif. Tetapi, kita harus ingat kepada matlamat atau tujuan kita dijadikan oleh Allah swt, sebagaimana maksud firman Allah swt: "Sesungguhnya tidak Kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menjadi hambaKu dan beribadat kepadaKu". Jelas, firman Allah di dalam ayat ini memperjelaskan kenapa manusia dilahirkan ke muka bumi ini.

Sudah tentulah sebagai hamba Allah, kita dituntut untuk menuruti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kita dituntut supaya menjadi manusia yang sentiasa mengamalkan perbuatan-perbuatan yang baik dan menghindari diri daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Memikirkan perkara-perkara baik dan tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak baik. Itu semua adalah perintah Allah swt yang menciptakan kita.

Justeru, untuk memiliki minda kelas pertama, kita wajar menukar persepsi kita tentang kehidupan. Ibarat melontar bola getah dengan kuat ke dinding pejal, pastilah bola itu akan melantun sama kuatnya kembali ke arah kita. Maksudnya, sikap kita terhadap kehidupan menentukan sikap kehidupan terhadap kita. Jika kita memandang kehidupan ini penuh dengan ciri-ciri negatif, kita akan menikmati segala yang negatif sepanjang hidup kita. Begitu jugalah sebaliknya, jika memiliki pandangan positif di dalam kehidupan, kita akan menerima imbuhan positif yang berpanjangan.

"Di dalam diri manusia terdapat satu perbezaan kecil yang menyebabkan perbezaan yang besar. Perbezaan kecil itu adalah sikap, manakala perbezaan besanya ialah sama ada sikap itu positif atau negatif".

Kedua-dua sikap ini saring bertarik-tarikan antara satu sama lain untuk mengusai jiwa dan pemikiran manusia. Jika positif berjaya menguasainya, manusia itu akan tampil bersikap positif, begitu juga sebaliknya. Mengikut satu kajian, 85% daripada kenaikan pangkat di dalam apa jua bidang kerjaya adalah disebabkan oleh SIKAP, baki 15% lagi adalah kerana kebolehan-kebolehan lain. Ini jelas menunjukkan manusia boleh berjaya dengan cemerlang jika memiliki sikap yang betul.

Bersikap positif menjadi pendorong utama mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Bersikap positif boleh mengangkat nilai diri seseorang insan dan seterusnya menjadi manusia yang berhemah tinggi. Minda kelas pertama akan hanya tercetus jika minda dipenuhi dengan pemikiran dan sikap positif yang tinggi.

Dec 20, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG 1

MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA adalah tajuk ceramah saya pada 15 Disember 2008 di Institut Pengurusan dan Integriti Kedah Darul Aman (INSPIN) kepada 46 orang peserta yang terdiri daripada kaki tangan beberapa jabatan Kerajaan Negeri Kedah. Saya teruja sejak awal lagi selepas menerima undangan daripada pegawai INSPIN.

Membina minda kelas pertama merupakan satu proses untuk membangun dan memajukan daya pemikiran seseorang manusia bagi mencapai peringkat terulung. Daya pemikiran atau akal fikiran yang bagaimana yang boleh ditakrifkan sebagai minda kelas pertama? Untuk merungkai persoalan ini memerlukan kupasan yang panjang dan itulah satu proses yang memakan masa. Namun secara mudahnya proses itu bolehlah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama ialah proses untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Seseorang manusia wajar mengenal dirinya sendiri kerana mengenal diri adalah permulaan segala ilmu. Jelasnya, tanpa mengenal diri sendiri, seseorang itu tidak mungkin akan dapat menimba ilmu pengetahuan selanjutnya. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w, "Barang siapa yang kenal dirinya, sesungguhnya dia telah kenal Tuhannya" amatlah jelas maksudnya. Oleh kerana segala ilmu berada di dalam penguasaan Allah swt, maka sesiapa yang mengenali Allah pasti akan dapat menimba segala ilmu. Tetapi untuk mengenal Allah, kita perlu kenal diri kita sendiri terlebih dahulu.

Mengenal diri bukan hanya sekadar mengetahui asal usul kejadian dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada kita semata-mata. Tetapi harus meliputi maksud mengenali diri dengan lebih meluas lagi. Kita mesti belajar mengenal kehebatan dan kelemahan yang terdapat di dalam diri sendiri. Mengenal kehebatan untuk menggunakan potensi diri ke arah kecemerlangan. Sementara mengenal kelemahan pula adalah untuk mempertingkatkan lagi usaha memperbaikinya.

Ramai manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri, malah ramai yang tanpa sedar tidak pernah berusaha untuk mengenal diri sendiri. Ini suatu kerugian besar kerana jika kita masih belum kenal diri sendiri, bermakna kita masih belum tahu kekuatan dan kelemahan yang ada di dalam diri. Malah yang paling menyedihkan, kita masih belum mengenal Tuhan.

Lihat ke dalam diri sendiri, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan semenjak kita lahir sehingga kini? Tentulah tidah terhitung banyaknya, kerana nikmat Allah swt tidak terbatas dan tidak terjumlah. Pernahkah anda sorot kembali menilai tahap syukur yang anda miliki?

Perhatikan maksud ayat 9 Surah Assajadah,
"Kemudian Dia menyempurnakan kejadian-Nya serta meniupkan padanya Roh ciptaan-Nya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".

Kejadian manusia yang sempurna adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Allah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran) yang kesemua itu tidak dianugerahkan kepada makluk lain. Betapa Allah menjadikan manusia dengan segela kesempurnaan supaya manusia bersyukur, tetapi amat sedikit yang mensyukurinya.

Apakah anda termasuk di dalam kelompok manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah swt?

Proses pertama untuk memiliki minda kelas pertama perlu dilalui dan dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak walau setinggi mana sekalipun daya pemikiran anda, masih belum menepati maksud kelas pertama itu sendiri.

Nov 30, 2008

NILAI DAN MARTABAT REMAJA

BERITA muka hadapan sebuah tabloid hari ini amat menyedihkan! Jika boleh ditambah, ia memalukan, meloyakan dan menjijikkan!

Judul berita muka hadapan tabloid tersebut tertulis: Tonik Setan. Berita yang dipaparkan adalah berita yang amat menyedihkan kerana ia berkaitan dengan perangai dan sikap remaja kita pada masa kini. Pengaruh dan gejala tidak bermoral yang melanda remaja kita bagai tidak dapat disekat dan dihindarkan lagi. Meskipun cerita penagihan arak di kalangan remaja Melayu Islam khususnya, sudah lama terbongkar, tetapi berita hari ini amat menyayat hati.

"Harganya murah iaitu hanya RM4-00 sebotol, tetapi kesannya sungguh luar biasa. Ini menjadikan arak ini 'minuman rasmi' mat rempit dan bohsia sebelum beraksi di jalan raya dan melepaskan nafsu di ranjang". Demikian para pertama berita tersebut. Membacanya sahaja sudah terasa jijik, loya, sedih dan memalukan!

Lebih mengejutkan lagi apabila sebuah berita susulan kepada berita utama tersebut, melaporkan "Urusetia Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Kedah (Urusetia) menganggarkan 80 peratus remaja yang terbabit dengan penagihan arak murah itu di bangku sekolah tetapi sering ponteng dan tidak berminat meneruskan pelajaran, dengan sebahagian lagi sudah berhenti sekolah". Ini menunjukkan bahawa sudah begitu ramai remaja yang terlibat secara serius di dalam gejala tidak bermoral ini dan lebih menyedihkan mereka inilah yang akan menjadi ketua keluarga pada masa hadapan.

Apakah remaja-remaja ini apabila berumah tangga nanti akan dapat mengemudi bahtera keluarganya ke jalan yang betul dan dapat melahirkan generasi bangsa yang utuh jati diri serta tinggi nilai diri mereka?

Persoalannya, siapakah yang harus melagang langkah untuk menangkis kerakusan gelaja tidak bermoral seperti ini daripada menerjah masuk ke dalam jiwa remaja kita? Jawapan yang paling mudah dan biasa didengar serta disebut-sebut, ialah ibu bapa. Peranan ibu bapa di dalam membimbing anak-anak mereka ditagih sepenuhnya supaya dengan itu gejala-gelaja negatif tidak mudah mempengaruhi jiwa dan perasaan anak-anak mereka.

Institusi keluarga amat penting di dalam membenteras atau mengurangkan berlakukan pelbagai gejala sosial yang membiak dewasa ini. Para remaja tidak mungkin akan terjebak dengan sebegitu mudah ke kancah negatif tersebut jika pada usia-usia awalnya sudah ditanam dengan benih-benih murni dan dibenteng dengan ajaran agama. Ibu bapa adalah peneraju utama di dalam fasa-fasa awal kehidupan seseorang anak, sebelum dihantar ke sekolah untuk dididik selanjutnya oleh para guru dan pendidik.

Jika di rumah sudah diterapkan nilai-nilai murni yang positif anak-anak akan membesar dengan penuh rasa hormat menghormati, kasih sayang, bersikap positif serta menolak nilai-nilai negatif. Ibu bapa harus membentuk jiwa anak-anak supaya tidak membenarkan apa sahaja nilai-nilai tidak bermoral dan negatif daripada menular masuk ke dalam diri anak-anak. Semua ini bermula di rumah mereka sendiri.

Anak-anak yang membesar di persekitaran yang dipenuhi kasih sayang, hormat menghormati dengan nilai-nilai murni serta positif, pasti akan menjadi remaja yang mempunyai nilai dan martabat diri yang tinggi. Mereka sudah tentu akan dapat membentuk rumah tangga mereka sendiri kemudiannya bagi terus mengamalkan nilai-nilai murni tersebut.

Nov 23, 2008

PERKHEMAHAN PELAJAR

SEMPENA cuti persekolahan akhir tahun, banyak program perkhemahan pelajar dianjurkan oleh berbagai pihak, sama ada pihak sekolah mahupun pihak penganjur swasta. Peserta-peserta pula sama ada daripada pelajar sekolah yang sama atau pun terbuka kepada mana-mana pelajar yang ingin menyertainya. Hari Khamis 20 November yang lalu, saya dijemput menyampaikan ceramah kepada sebilangan pelajar Pra-Universiti, SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah. Ia adalah sebahagian daripada aturcara program perkhemahan yang diadakan di Kawasan Perkhemahan Kem Paya Pahlawan, lebih kurang 15 km dari bandar Jitra, Kedah. Ceramah saya bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Cuaca pagi di kawasan tersebut agak dingin, ditambah pula dengan suasana tasik yang tenang menambahkan lagi kedinginannya. Puncak Bukit Wang yang tersergam bertentangan dengan kem tersebut, dilitupi awan menjadikan suasana di situ cukup suram tetapi nyaman dan tenang.
Saya mengajak para pelajar menghayati seketika suasana tersebut.
"Suasana dingin sememangnya suram. Tetapi kita jangan sekali-kali menjadikan kesuraman itu sebagai alasan untuk tidak menjadi ceria. Sebagai pelajar yang saban hari ke sekolah, mestilah sentiasa ceria sepanjang hari kerana itu akan memudahkan proses penghadaman ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru. Bayangkan jika perasaan kita sentiasa dibungkus rasa suram dan muram, sudah pasti apa yang diajarkan guru tidak dapat diserap dengan baik ke dalam minda kita".

Oleh itu, kita seharusnya menghayati rasa nyaman dan tenang yang terbit daripada suasana dingin di persekitaran ini, kerana nyaman dan tenang akan menjadikan minda kita tenteram dan jasad kita tenang. Lantas apabila minda dan jasad kita di dalam keadaan sedemikian, ia akan memudahkan kita menyerap ilmu yang dicurahkan oleh para guru di sekolah.

Jangan kita mudah mempersalahkan keadaan atau suasana atau orang lain jika kita gagal menjadi orang yang berjaya. Ramai orang mempersalahkan budaya asing yang menular masuk mempengaruhi remaja di negara kita, mempengaruhi jiwa remaja kita sehingga menjadi liar dan tidak bermoral, hilang kesopanan dan kesusilaan.
Siapakah yang bersalah? Budaya barat yang menular masuk ke negara kita atau remaja kita yang tiada jati diri sendiri?

Saya berpendapat jika remaja negara kita dewasa ini memiliki kekuatan dan jati diri yang utuh, tidak mungkin mereka akan mudah terpengaruh kepada gejala-gejala liar yang dibawa masuk melalui budaya-budaya barat tersebut. Umpama ikan yang hidup di dalam laut, meskipun air laut itu masin, namun isi ikan yang ditangkap oleh nelayan dari laut tetap tawar dan sedap dimakan.
Jadi remaja kita harus mempunyai kekuatan diri yang teguh menjadi benteng menangkis serangan budaya-budaya liar yang boleh menjurumuskan mereka ke kancah yang tidak bermoral. Elakkan diri daripada terjebak dengan pelbagai muslihat jahat barat yang ingin memperdaya remaja kita ke lembah kehancuran.

Sentiasalah berdamping dengan orang-orang yang boleh memberi dorongan dan bantuan supaya para remaja sekalian tidak terpesong daripada landasan yang sebenarnya. Orang yang penting di dalam hidup remaja ialah ayah dan ibu. Ayah dan ibu adalah manusia yang dijadikan Allah sebagai pemegang amanah untuk menjaga anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna.

Para pelajar mempunyai guru-guru yang sentiasa akan membantu membentuk pelajarnya menjadi manusia berjaya dari pelbagai aspek; akademik,sukan, siasah dan akhlak. Sentiasalah berdamping dengan guru-guru di sekolah untuk mendapatkan pedoman yang baik.

Tetapi, walau apapun, jiwa dan naluri diri sendiri perlu mantap dan dipenuhi dengan ajaran agama yang diamalkan sepenuhnya. Ini kerana ajaran agama adalah benteng terbaik untuk menangkis segala macam terjahan yang tidak diingini.

Nov 19, 2008

CABARAN REMAJA

SUDAH bersiap sediakah remaja kita masa kini untuk menghadapi cabaran di hari muka? Kenyataan bahawa remaja masa kini adalah pemimpin masa depan bangsa tidak dapat disangkal lagi. Namun sejauh manakah para remaja kita mempersiapkan diri mereka?

Hidup pada zaman remaja amat indah, dipenuhi dengan pelbagai ragam yang menyeronokkan. Dan keindahan itu tidak akan berulang lagi apabila seseorang itu sudah melewati zaman remajanya. Hakikat ini juga tidak dapat disangkal oleh sesiapa sahaja yang sudah melepasi zaman tersebut. Segala keindahan dan kenikmatan dikecapi sepanjang zaman itu dan tidak mungkin dapat dilupakan.

Remaja hari ini tidak akan dapat menilai zaman remajanya hinggalah remaja itu melangkah ke alam dewasa, meninggalkan keremajaannya. Waktu itu dia akan tersedar betapa dia sudah tidak mungkin dapat berpatah balik semula memasuki alam remaja yang telah ditinggalkannya. Lantaran itu, para remaja hari ini harus mula menilai dan memberi nilai kepada zaman dan keremajaan yang sedang mereka lalui kini.

Remaja yang akan menanjak naik ke tangga kehidupan dengan lebih baik dan sempurna adalah remaja yang menghargai keremajaan mereka masa kini. Mereka perlu sedar bahawa mereka tidak mungkin akan mengecapi hidup yang baik pada masa hadapan jika di usia remaja mereka terlalu berseronok suka sehingga tidak mempunyai arah tuju yang jelas. Tanpa hala tuju para remaja itu akan tersasar di dalam mengejar impian mereka.

Kebanyakan remaja yang kita temui hari ini terdiri daripada mereka yang berusia di antara 13 - 20 tahun. Dalam usia-usia ini para remaja kerap diperangkap oleh impian mereka yang tidak berpijak di bumi nyata. Pelbagai unsur dan pengaruhi terlalu mudah menerobos ke dalam jiwa mereka. Lalu lahirkan berbagai budaya kurang sopan di kalangan remaja masa kini. Tidak perlulah disebut satu persatu budaya kurang sopan itu di sini. Cukuplah jika kita menyedari bahawa remaja kita sekarang terlalu mudah ditembusi pengaruh-pengaruh luar yang negatif dan merosakkan.

Justeru, bagaimana akan jadi masa depan bangsa dan negara jika remaja kita masa kini terus membiarkan diri, jasad dan minda mereka dipengaruhi pengaruh-pengaruh liar serta budaya tidak sopan itu? Kita pasti dapat menelah bagaimana akan jadinya 20 atau 50 tahun akan datang kepada bangsa dan negara kita.

Remaja harus sedar, walaupun zaman remaja hanya sekali, tetapi jika zaman itu tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, zaman dewasa nanti akan lebih hitam dan menyukarkan. Belajarlah untuk menjadi remaja yang berwawasan tinggi, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta sentiasa memiliki semangat cintakan bangsa dan negara sepanjang masa.

Elakkan daripada terjerumus ke dalam budaya kurang sopan dengan memperkasakan benteng jati diri sendiri. Amalkan ajaran agama, berpegang kukuh pada budaya bangsa serta sentiasa ingat siapa diri kita dan jangan sekali-kali membelakangi kedua ibu bapa. Inilah teras yang akan memperkukuhkan jati diri remaja masa kini hinggalah ke alam dewasanya nanti.

Penting sekali remaja masa kini memiliki ilmu pengetahuan, kerana tanpa ilmu pengetahuan kehidupan masa depan amat perit dan memilukan. Apabila tiba ke tahap itu, penyesalan sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Nov 13, 2008

PENGISIAN MUSIM CUTI SEKOLAH

HARI ini hari terakhir sesi persekolahan tahun 2008 bagi negeri-negeri Kedah, Kelantan danTerengganu, manakala bagi negeri-negeri lain hari terakhirnya ialah esok 14hb November, 2008. Ini bermakna para pelajar sekalian akan bercuti panjang hujung tahun sehingga menjelang tahun 2009 nanti untuk kembali ke sekolah semula.

Lazimnya sempena musim cuti persekolahan hujung tahun, ramai yang mengambil kesempatan sama ada pergi bercuti atau pun berehat bersama keluarga masing-masing. Tetapi satu lagi kelaziman di musim cuti persekolahan ialah majlis kenduri kahwin. Selalunya bakal pengantin dan keluarga masing-masing akan memilih musim cuti persekolahan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Apa yang ingin saya sentuh kali ini ialah bukan tentang percutian atau majlis perkahwinan tetapi pengisian masa cuti persekolahan sebegini untuk para pelajar sekalian. Saya percaya kebanyakan pelajar menganggap musim cuti persekolahan adalah musim rehat daripada belenggu pembelajaran di sekolah. Justeru itu ramai dari kalangan pelajar akan 'bercuti panjang' dengan meletakkan buku-buku ke satu sudut bilik dan melupakannya sehinggalah tiba pula musim persekolahan tahun hadapan.

Para pelajar akan mengosongkan otak masing-masing daripada memikirkan tentang pelajaran sehingga tidak lagi mahu menyentuh buku apatah lagi membaca. Ini suatu amalan yang tidak baik malah tidak sewajarnya diamalkan. Para pelajar sepatutnya sentiasa belajar walaupun bukan secara sistematik seperti di sekolah, tetapi perlu mencari masa untuk terus belajar kerana belajar atau menuntut ilmu itu bukan sahaja di sekolah.

Belajar boleh sahaja dengan cara membaca, mengarang, berinteraksi dengan orang lain, mengikuti program-program kecemerlangan diri dan sebagainya. Melalui pembacaan banyak pengetahuan dapat diperolehi. Bacalah apa sahaja buku ia pasti memberikan pengalaman baru kepada kita. Begitu juga dengan cara mengarang, iaitu melahirkan cetusan pemikiran atau perasaan ke atas kertas. Mengarang boleh membantu seseorang mempertajamkan minda, lebih berfikiran positif dan lebih kritis.

Melalui interaksi dengan orang lain atau ahli masyarakat, seseorang itu dapat mempelajari banyak perkara. Selain daripada mendapat maklumat tentang perkara-perkara semasa, kita akan dapat mempelajari dan memahami sikap dan pandangan orang lain. Di samping itu kita akan cepat belajar bagaimana menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Proses pembentukan siasah diri dapat diperkembangkan melalui interaksi aktif dan positif.

Mengikuti program-program kecemerlangan diri yang dianjurkan banyak pihak akan dapat membantu para pelajar sekalian di dalam banyak perkara. Inilah di antara peluang untuk mendapat pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan kecemerlangan diri para pelajar sekalian. Oleh itu, jika berkesempatan dan berkemampuan, cubalah ikuti program-program sedemikian. Ia tidak akan merugikan.

Semoga para pelajar akan mengisi musim cuti persekolahan ini dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.

Nov 11, 2008

BERMULALAH SEBUAH PERTARUNGAN

BERMULALAH sebuah pertarungan, sebuah pertempura, sebuah peperangan. Hari ini para pelajar Tingkatan 5 di seluruh Malaysia mula menduduki peperiksaan SPM. Manakala pelajar Tingkatan 6 sudah pun mula menduduki STPM beberapa hari sebelum ini.

Malam semalam, anak saya mengirimkan SMS, "ayah, doakan kakak di dalam SPM esok". Sebaik membaca mesej itu, saya segera telefon anak saya itu. Saya berikan kata-kata semangat kepadanya di samping mengingatkan dia, "kakak jangan risau kerana kakak sudah bersiap sedia menghadapi peperiksaan ini. Ayah harap kakak tenang dan tidak tertekan semasa menjawab soalan peperiksaan nanti. Ayah yakin kakak boleh menjawab semua soalan dengan mudah".

Itulah di antara rangsangan yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka yang sedang menghadapi peperiksaan. Malah bukan sahaja semasa menghadapi peperiksaan, tetapi di dalam menghadapi apa sahaja situasi. Anak-anak perlukan semangat, mereka perlukan dorongan serta perangsang. Sokonglah mereka dengan bersungguh-sungguh.

"Kakak buat yang terbaik, ada sahaja keputusannya nanti, kita serahkan kepada Allah dan yang paling penting kita mesti reda dengan ketentuan Allah terhadap kita", ibunya pula memberikan perangsang.

Kepada semua pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, saya doakan kejayaan anda semua.


Nov 4, 2008

KECEMERLANGAN DIRI

ANTARA kejayaan akademik dan kejayaan siasah, sudah jelas yang menjadi pilihan ibu bapa dan para pelajar ialah kejayaan akademik. Itu merupakan ukuran kejayaan seseorang pelajar sekolah atau anak di dalam keluarga. Ibu bapa pasti akan merasa bangga dengan kecemerlangan akademik anak-anak mereka.

Kejayaan akademik dinilai melalui peperiksaan yang diadakan sepanjang persekolahan atau pengajian seseorang pelajar. UPSR menjadi penilai kejayaan akademik anak-anak di peringkat sekolah rendah. PMR pula adalah garis penilaian kejayaan pelajar-pelajar di peringkat menengah rendah, manakala SPM pula tahap yang menilai kejayaan pelajar peringkat menengah tinggi. Begitu juga dengan STPM.

Namun tidak ramai yang memberi nilai tinggi terhadap perkembangan siasah atau harga diri seseorang anak atau pelajar. Mungkin pihak sekolah, terutama sekolah berasrama penuh, memberikan sedikit penekanan kepada aspek pembinaan insan dan harga diri. Tetapi majoritinya tidak ramai yang memberi perhatian mendalam di dalam aspek berkenaan.

Seseorang anak yang cemerlang akademiknya belum pasti menjamin kecemerlangan siasah serta memiliki harga diri yang tinggi. Justeru itu semua pihak terutama ibu bapa, perlu mengambil peranan untuk membimbing anak-anak supaya turut cemerlang sebagai seorang insan yang mempunyai harga diri yang tinggi. Latih anak-anak supaya pandai menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Menghomati ibu bapa, sanak saudara, guru-guru dan sesiapa sahaja yang lebih berusia. Tanamkan di dalam diri anak-anak sifat-sifat mulia yang akan membantu meningkatkan harga diri mereka.

Semasa saya di bangku sekolah dahulu (tahun-tahun 1960-an dan 1970-an), saya didedahkan dengan cara menghormati orang tua. Setiap kali saya mengikuti arwah datuk saya ke majlis-majlis kenduri umpamanya, saya dilatih menghormati orang-orang tua yang hadir di majlis itu. Bersalaman dengan mereka sebelum duduk, duduk dengan sopan iaitu bersila dengan kain menutup kaki. Pantang berlunjur walaupun kaki merasa lenguh dan kebas. Makan dengan tertib dan mengambil hidangan yang di hadapan terlebih dahulu. Semasa makan, pastikan nasi tidak melekat pada jari. Menyuap nasi dengan cermat supaya tidak ada nasi atau lauk yang tumpah.

Latihan sebegini nampak seperti remeh, tetapi itu merupakan satu latihan membentuk disiplin diri seseorang anak. Selain daripada itu, ia akan mencerminkan ketinggian sikap dan pekerti anak tersebut. Sekaligus ia membantu meningkatkan harga diri di mata umum. Lantas ia dapat membantu meningkatkan keyakinan dirinya sendiri.

Bercakap dengan orang yang lebih tua memerlukan cara yang betul. Saya perhatikan kanak-kanak dan remaja masa kini kurang bijak bercakap dengan orang dewasa. Pernah berlaku seorang remaja belasan tahun membahasakan 'awak' kepada seorang dewasa. Saya rasa remaja tersebut tidak diajar dan dilatih menggunakan istilah yang betul bila bercakap dengan orang dewasa. Bukankah lebih manis dan sopan jika dia membahasakan 'pak cik' atau 'encik'? Remaja itu mungkin tidak menyedari istilah yang digunakannya itu tidak tepat, tetapi yang lebih jelas ialah dia tidak belajar untuk memiliki harga diri yang sewajarnya.

Sekalipun tahap pencapaian akademiknya rendah, tetapi jika seseorang pelajar itu memiliki cerminan diri yang tinggi dengan nilai sopan santunnya, budi bahasanya, saya yakin dia akan menjadi seorang insan yang lebih berjaya. Namun, kita semua amat mengharapkan supaya anak-anak kita cemerlang di dalam akademik serta memiliki harga diri yang tinggi. Itulah tanda kecemerlangan diri.