Pages

Jun 6, 2009

DIRGAHAYU TUANKU

HARI ini adalah cuti umum di Malaysia, cuti sempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agung, Raja dan Pemerintah Negara Malaysia. Seluruh rakyat merafak sembah menjunjung kasih dengan doa semoga diberkati usia Tuanku.

Daulat Tuanku,
Daulat Tuanku,
Daulat Tuanku.

____________________________________________

"Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah" - petikan kata-kata Hang Jebat.

Jun 4, 2009

NOSTALGIA

MINGGU lepas saya berada di Kulim, daerah kelahiran saya, kerana menjalankan tugas yang diamanahkan. Pada waktu senggang, saya sempat melilau di sekitar bandar Kulim, sebuah bandar yang mula merasai gerak pembangunan sejak dua dekad yang lalu. Kulim sebelum ini adalah sebuah bandar kecil yang tidak begitu pesat pembangunannya. Hanya setelah wujudnya Kulim Hi-Tech Park baharulah ia mula perlahan-lahan berubah seperti sekarang ini.

Walaupun saya kerap juga pulang ke kampung, tetapi jarang berkesempatan untuk melilau di dalam bandar Kulim kerana kampung saya terletak lebih kurang 25 km jauhnya dari bandar Kulim. Tambahan pula masa pulang ke kampung lazimnya amat terhad.

Saya menyusuri beberapa jalan di sekitar bandar Kulim, melihat bangunan pasar lama di tengah-tengah bandar yang kini sudah bertukar menjadi tempat peniaga kecil mencari rezeki. Kawasan yang dahulunya stesen bas yang sibuk kini sudah menjadi dataran yang hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki sahaja. Berhenti sekejap menikmati char koey teow dan segelas besar air epal hijau dicampur limau kasturi di salah sebuah gerai di situ.

Kemudian bergerak menyusuri jalan yang dahulunya terletak perhentian teksi. Kini teksi sudah tidak berhenti di situ lagi, sudah berpindah ke dua tempat lain dan kini perhentian teksi adalah berhampiran perhentian bas tidak jauh dari pasar besar, jauh dari tempat asalnya dahulu. Ini adalah kerana pembangunan bandar Kulim sudah melebar sehingga ke kawasan yang dahulunya tasik kesan lombong bijih timah.

Saya melihat Chong Wah Photo Studio masih ada di situ tetapi agak terkeliru apabila mencari-cari di mana letaknya Night Book Store sehingga saya terpaksa bertanya kepada pekerja salah sebuah kedai gambar di seberang jalan. Sambil menuding jarinya, wanita Cina di kedai gambar itu seperti kehairanan melihat gelagat saya. Saya pun bercerita yang saya sudah lama tidak melilau di sekitar bandar Kulim. Rupa-rupanya Night Book Store sudah bertukar nama menjadi NBS Kulim Sdn Bhd, dan sudah mempunyai tiga unit kedai di sebelah kedai asalnya. Tetapi petang itu NBS sudah menutup perniagaannya untuk hari itu.

Belok ke kiri, saya terpandang sederet kedai separuh kekal yang agak usang. Tiba-tiba terpandang kedai jahit Ee Hup Tailor, terus saya terkenangkan di kedai itulah pertama kalinya saya menempah seluar sekolah semasa di tingkatan satu dahulu (tahun 1970). Saya masih ingat saya datang bersendirian selepas waktu sekolah dengan berbekal wang sebanyak RM5-00 sebagai bayaran pendahuluan. Saya sendiri memilih jenis kain serta fesyen seluar yang ditempah itu. Seminggu kemudiannya baharulah saya datang semula mengambilnya. Harganya hanya RM20-00 sahaja.

Berhampiran kawasan itu dahulunya terdapat sebuah medan selera dikenali sebagai Esplanade yang polupar dengan berbagai jualan makanan dan minuman, dan yang paling istimewa sekali ialah ais kacang. Esplanade pasti menjadi tumpuan terutama sekali para pengunjung pawagam di seberang jalan, iaitu Panggung Capitol. Saya pernah beberapa kali menonton filem di pawagam tersebut seperti filem-filem Hindi, Inggeris dan juga Melayu. Bangunan pawagam itu masih tersergam, walaupun kini sudah tidak berfungsi lagi.

Kulim akan tetap dalam ingatan saya, walaupun kini segala yang lama sudah berubah dan bertukar.

Jun 3, 2009

KEKEJAMAN SEMAKIN BERLELUASA


SEJAK
akhir-akhir ini boleh dikatakan setiap hari kita didedahkan dengan berita kekejaman yang berlaku di tanah air kita. Jika dua puluh tahun yang lalu, kita tidak kerap mendengar kisah-kisah sedemikian terpampang di media massa, tetapi kini ia sebagai satu wabak yang sedang menular. Kenapa semua ini berlaku?

Apakah ini harga yang perlu dibayar oleh manusia yang semakin menanjak ke era kemodenan sehingga terabai nilai-nilai kemanusiaan?

Kisah yang menggemparkan negara tentang beberapa orang peminjam wang daripada ceti haram yang diculik dan dikurung seperti hamba amatlah memalukan semua pihak. Di manakah nilai kemanusiaan sehingga sanggup diperlakukan terhadap manusia lain seperti seekor haiwan? Mereka dirantai dengan rantai besi seberat 5 kilogram pada tengkok, kaki dan tangan. Hanya dibekalkan sebungkus roti dan sebotol air untuk seminggu lamanya. Ini adalah kekejaman yang berlaku di negara kita.

Semua itu adalah semata-mata kerana wang. Wang sudah mendominasi hidup manusia masa kini sehingga segala nilai-nilai murni dikesampingkan sama sekali. Kekejaman sedemikian bukan hanya dilakukan ke atas peminjam lelaki, malah peminjam wanita juga pernah mengalaminya. Di dalam akhbar Harian Metro Edisi Utara pada hari ini di muka surat 10 turut dipaparkan pengalaman seorang suri rumah yang pernah disumbat ke dalam 'neraka' itu selama tiga hari.

Setelah kisah-kisah kejam sebegini dipaparkan pelbagai pihak masih belum dapat mencari kaedah terbaik untuk membanteras gejala pemberi pinjaman haram ini (ah long). Kumpulan ini seperti tidak menghiraukan sesiapa, malah undang-undang sekalipun, demi menjalankan operasi mereka. Mangsanya ialah para peminjam yang benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.

Patutkah kita menuding jari mencari siapakah yang patut dikambing hitamkan? Sewajarnya kita sama-sama kembali ke pangkal permasalahan mencari jalan dan cara supaya tabiat meminjam wang daripada ahlong tidak diteruskan. Dalam masa yang sama ditingkatkan lagi secara bersungguh-sungguh membanteras kegiatan haram tersebut.

Peminjam wang daripada ahlong kebanyakannya terdiri daripada mereka yang kesempitan wang untuk pelbagai keperluan yang mendesak. Alasan yang kerap didengar ialah untuk mendapatkan pinjaman daripada agensi-agensi yang 'halal' terlalu lambat, melibatkan karenah birokrasi, memerlukan cagaran, penjamin dan sebagainya. Akibatnya mereka yang terdesak itu tiada pilihan lain untuk meminjam daripada ahlong yang tidak perlukan semua ragam birokrasi untuk meluluskan permohonan pinjaman mereka.

Apakah pihak berwajib tidak memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah birokrasi tersebut supaya lebih ramai warga yang memerlukan bantuan kewangan boleh mendapatkannya dengan lebih mudah dan selesa? Jika di Bangladesh pinjaman untuk orang miskin dipelopori oleh Bank Grameen yang banyak membantu golongan tersebut mengubah kehidupan mereka, kenapa tidak boleh berlaku di Malaysia?

Mengikut laporan, Bank Grameen telah meluluskan pinjaman RM21 billion sehingga kini yang mana 97% daripada peminjamnya adalah golongan termiskin dari 70,000 desa di seluruh Bangladesh!

Kini di negara kita sudah ada beberapa agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Tekun Malaysia (Tekun), namun kedua-dua agensi ini masih belum berjaya menandingi ahlong-ahlong yang berleluasa mencari pelanggan mereka.

Kini wajarlah, pihak berwajib di peringkat teratas merenung kembali dan menggubal dasar yang lebih komprehensif untuk benar-benar membantu golongan termiskin dan tidak berkemampuan di dalam negara kita supaya dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih terjamin.

Mungkin mulai sekarang AIM dan Tekun dapat memperbanyakkan iklan-iklan mereka dan lekatkan di merata-merata tempat supaya lebih mudah golongan yang memerlukan berurusan dengan agensi tersebut. Pihak berkuasa tempatan perlu mencegah secara tuntas iklan-iklan para ahlong yang bersepah di seluruh kawasan. Jangan dibenarkan sama sekali sebarang iklan atau pelekat tentang pinjaman wang oleh ahlong dipasang dan dilekatkan di mana-mana di dalam bandar-bandar kita.

Akhbar-akhbar juga jangan lagi memberi ruang kepada golongan ini membuat iklan mereka. Yang sudah itu sudahlah. Jangan dibajailah nilai-nilai kekejaman untuk terus tumbuh dan membesar di negara kita. Sebaliknya sama-sama kita tanam nilai-nilai murni yang harus diamalkan bersama perlu dihebahkan seluas-luasnya.
_____________________________________________

"Dengan mengamalkan nilai-nilai mulia akan dapat menghindarkan kekejaman sesama manusia"

Jun 2, 2009

SEPULUH SAHAJA

MENGIKUT laporan yang dibaca di akhbar, dan didengar melalui radio dan ditonton di TV, YAB Timbalan Perdana Menteri @ Menteri Pelajaran mengumumkan mulai tahun 2010, kesemua pelajar yang mengambil peperiksaan SPM hanya dibenarkan mengambil sepuluh mata pelajaran sahaja. Anak lelaki bongsu saya tiba-tiba mengeluh sebab dia tidak boleh mengambil lebih daripada jumlah tersebut pada tahun hadapan.

Sebenarnya dia bercadang untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Jepun pada SPMnya tahun hadapan. Dia amat yakin dengan kemampuannya memperolehi A di dalam mata pelajaran tersebut. Dengan pengumuman Menteri itu hasratnya sudah pasti terbantut.

Saya segera menjadi hairan, kenapa Menteri tiba-tiba membangkitkan isu ini. Apakah mengambil lebih daripada sepuluh mata pelajaran membebankan pelajar? Atau merugikan mana-mana pihak? Tidakkah selama ini pun ramai pelajar yang mengambil lebih daripada jumlah tersebut? Tahun lalu, pelajar cemerlang SPM mengambil 20 mata pelajaran dan berjaya kesemuanya! Jadi apa masalahnya?

Jika alasannya untuk mengimbangi peluang mendapat biasiswa sekalipun, tidaklah ada cara lain yang boleh dilakukan? Jika ada pelajar yang dapat A di dalam lebih daripada 10 mata pelajaran, itu tidak bermakna secara automatik dia harus mendapat biasiswa. Bukankah biasiswa itu untuk pelajar cemerlang dari keluarga miskin dan memerlukan? Bukannya pelajar cemerlang dari keluarga golongan hartawan dan jutawan!

Secara logiknya berapa ramai sangatlah para pelajar yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran selama ini? Baik di Sek Berasrama Penuh atau MRSM atau sekolah bestari atau sekolah cluster sekalipun, rata-ratanya mengambil paling maksima 10 mata pelajaran sahaja. Mungkin sekolah aliran agama atau sekolah Cina mengambil lebih daripada itu. Jadi saya tidak nampak di mana perlunya dihadkan jumlah sepuluh mata pelajaran sahaja!

Walau apa pun keputusan tetap di tangan Menteri dan jemaah Menteri. Yang sedihnya peluang para pelajar untuk mempelajari lebih daripada sepuluh mata pelajaran akan menguncup meskipun ada cadangan supaya para pelajar terus belajar demi untuk mendapat ilmu, bukan untuk lulus peperiksaan.

Seperkara lagi, kedengaran juga mata pelajaran teras akan dikurangkan daripada jumlahnya sekarang ini. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Agama Islam/Moral adalah mata pelajaran teras di peringkat SPM pada masa ini. Mata pelajaran manakah yang agaknya akan menjadi korban jika jumlahnya akan dikurangkan? Sejarah atau Pendidikan Agama Islam/Moral?

Sudah tentu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan tetap menjadi mata pelajaran teras apatah lagi dasar PPSMI masih diteruskan. Jika itu terjadi, bermakna Sejarah dan PAI/Moral akan diketepikan. Dan jika andaian ini berlaku, suatu petaka akan berlaku sekali lagi sama seperti tahun-tahun 1970-an dahulu apabila Kerajaan membenamkan pelajaran tulisan jawi. Akibatnya 10-20 tahun selepas itu, ramai remaja kita tidak tahu menulis dan membaca jawi yang mengakibatkan terjejasnya pembacaan dan penghayatan terhadap Al-Qur'an.

Malanglah sekali lagi warga tanah air ini yang cintakan agamanya, jika mata pelajaran PAI/Moral tidak menjadi mata pelajaran teras di dalam SPM lagi pada tahun hadapan. 10-20 ke hadapan, bagaimana rupa sikap dan jati diri anak cucu kita nanti?

Sewajarnya pada masa ini Menteri berikan perhatian kepada permohonan rakyat agar PPSMI dimansuhkan, tidak perlulah menimbulkan isu baharu pula.

Jika benar-benar mahu menghadkan 10 mata pelajaran sahaja untuk diambil di dalam SPM 2010, saya ingin mengesyorkan supaya mata pelajaran teras seperti berikut : Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, PAI/Moral, Sejarah dan Sastera & Budaya. Lima mata pelajaran lain bolehleh dipilih daripada mata pelajaran-mata pelajaran sedia ada, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia, Perdagangan, Akaun, Kemahiran Hidup, Geografi, Seni Lukis dan sebagainya.

Setuju???
___________________________________________

"Bangunan akan kekal beribu tahun jika asas pembinaannya daripada bahan-bahan yang bermutu, kukuh dan tahan uji. Sama seperti membina sebuah bangsa, asas utamanya ialah pendidikan yang dapat membina jati diri warganya"

Jun 1, 2009

KEGIATAN SEMASA CUTI SEKOLAH

CUTI sekolah penggal pertama 2009 telah bermula. Lazimnya pada musim cuti sebegini banyak kegiatan yang dijalankan. Ada ibu bapa mengambil kesempatan melawat sanak saudara yang jauh, atau membawa anak-anak melancong sambil berehat di tempat-tempat menarik. Pihak sekolah juga ada yang menganjurkan kegiatan lawatan sambil belajar untuk pelajar-pelajar mereka, seperti lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sebagainya. Ada juga kegiatan-kegiatan luar seperti khemah ibadah, perkhemahan pengakap, kem motivasi dan lain-lain lagi.

Namun yang paling ketara sekali, majlis walimatul'urus rancak diadakan sepanjang cuti sekolah seperti kini. Rata-rata ahli masyarakat mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melansungkan perkahwinan anak-anak mereka. Ini kerana musim cuti persekolahan sebegini tidak mengganggu persekolahan anak-anak masing-masing. Ahli keluarga jauh dan dekat dapat berkumpul. Jiran-jiran, sahabat handai dan kawan rakan mudah menyusun masa kerana tidak terikat dengan masa persekolahan anak-anak. Banyak sungguh jemputan majlis kenduri kahwin kali ini. Saya sendiri sudah menerima lima jemputan sehingga kini. Rasanya akan ada lagi beberapa jemputan selepas ini.

Namun, bagi para pelajar, kegiatan musim cuti sekolah perlulah lebih tertumpu kepada kegiatan yang berfaedah untuk kemajuan pelajaran. Tambahan pula cuti penggal pertama hanyalah dua minggu sahaja. Selepas itu para pelajar akan kembali semula ke sekolah, meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Musim cuti yang pendek ini eloklah jika dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan yang memberi nilai tambah kepada pelajaran para pelajar sekalian. Elok jika boleh mengikuti kelas-kelas khas untuk mata pelajaran-mata pelajaran yang kurang cekap. Contohnya jika para pelajar merasakan sehingga tahap ini, pemahaman para pelajar tentang mata pelajaran Fizik masih belum memuaskan, eloklah pada musim cuti sebegini mengikuti kelas-kelas tusyen mata pelajaran tersebut. Begitu juga di dalam mata pelajaran yang lain seperti Matematik Tambahan, Kimia, Biologi dan sebagainya.

Mungkin juga ada para pelajar yang masih belum khatam Al-Qur'an, eloklah sepanjang dua minggu cuti sekolah ini berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan dan khatam. Ibu bapa pula sewajarnya mengambil berat tentang perkara ini dan menggesa anak-anak yang masih belum khatam Al-Qur'an supaya berbuat demikian secepat mungkin.

Mengikuti kem motivasi semasa cuti sekolah juga merupakan kegiatan yang baik dan berfaedah, apatah lagi jika di dalam kem tersebut diselitkan dengan ceramah-ceramah agama selain daripada ceramah-ceramah motivasi dan kegiatan fizikal yang lain. Suntikan nilai-nilai agama yang luhur dan murni perlu diberikan kepada para pelajar supaya jiwa mereka dipenuhi dengan nilai-nilai agama bagi menjadi dinding dan penghadang kepada unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan diri dan jiwa mereka.

Tetapi apapun kegiatan yang boleh dilakukan, satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah kegiatan untuk lebih mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Ibu bapa yang sepanjang masa sibuk mencari rezeki perlu meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak pada musim cuti sekolah sebegini. Bersama-sama melakukan kegiatan yang digemari dengan matlamat untuk lebih mengeratkan rasa hormat dan kasih sayang sesama ahli keluarga. Ikatan kekeluargaan amat perlu dijaga bagi menjamin tautan kasih sayang berpanjangan dan berkekalan.

____________________________________________

"Tiada yang lebih bermakna di dalam hidup kita selain memiliki sebuah keluarga yang hormat menghormati dan berkasih sayang sesama sendiri"

May 31, 2009

SAKIT ITU JUGA RAHMAT

LAMA juga saya tidak demam atau sakit. Seingat saya tahun 2009 ini belum pernah tidak sihat seperi dua hari yang lepas. Saya diserang demam, batuk dan sakit tekak sehingga tidak dapat bersuara dengan sempurna. Memanglah pada masa itu terlalu perit dan terseksa kerana apa yang saya cuba cakap tidak dapat didengar dan difahami orang lain dengan jelas. Terasa bebal juga pada masa itu.

Tetapi apabila saya menyingkap kembali nikmat sihat yang saya kecapi sebelum ini, perasaan kembali lega kerana sebenarnya sakit sedikit begini adalah dugaan semata-mata. Jika tidak ada dugaan seumpama ini, tentu sekali saya akan kurang mensyukuri nikmat sihat yang saya kecapi sebelum ini.

Lantas saya menilai kembali apa yang saya lakukan sepanjang saya mengecapi nikmat sihat sebelum mengalami sakit dua hari yang lepas. Saya kurang bersenam, kurang tidur dan terlalu banyak menggunakan otak, berfikir dan menulis, serta kurang rehat yang secukupnya. Mungkin itu salah satu sebab saya menerima dugaan tersebut.

Buktinya, semasa saya berjumpa doktor pagi Sabtu kelmarin, tekanan darah saya 140/98. Mengikut doktor tekanan darah saya berada pada tahap yang membimbangkan. "If I am your personal physician, I would recommend you on medication as soon as possible". Itu kata doktor yang saya temui pagi itu. Saya tersenyum kerana saya juga sudah menjangka tekanan darah saya akan meningkat. Lazimnya tekanan darah saya pada tahap 130/90 malah pernah pada tahap 120/80.

Itu salah satu daripada kelekaan saya sendiri kerana selama ini menganggap tekanan darah saya berada pada tahap ideal, tetapi apabila sakit sebegini baharulah saya tahu ia meningkat sedemikian tinggi. Setidak-tidaknya saya mula merasa peri pentingnya bersenam.

Sudah hampir 3 tahun saya tidak bersenam secara konsisten. Tiga tahun lepas waktu anak saya masih bersekolah, setiap pagi saya menghantarnya ke sekolah, kemudian saya terus pergi bersenam di taman rekreasi tidak jauh dari rumah saya. Berjalan di sepanjang laluan yang disediakan pihak berkuasa tempatan di taman itu beberapa kali, kemudian membuat gerakan-gerakan tertentu di tempat-tempat yang dikhususkan serta berjalan di atas laluan batu tajam untuk refleksologi sehingga badan benar-benar berpeluh baharulah saya pulang, mandi dan bersarapan.

Tetapi sekarang ini semua itu sudah tidak saya lakukan. Tahap kolestrol dalam badan juga sudah meningkat. Enam bulan dahulu saya membuat ujian darah dan keputusannya tahap kolestrol saya ialah 8.5 Saya diberitahu doktor bahawa bacaan tersebut adalah tinggi daripada yang sepatutnya iaitu di bawah paras 5.0.

Kesemua itu tidak memberi sebarang makna kepada saya jika tidak kerana sakit yang saya alami dua hari lepas.

Di dalam keadaan sakit begitu tiba-tiba telefon bimbit saya memberi isyarat ada SMS diterima. Benar, seorang kawan mengirimkan SMS ini: "Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita menangis dan tertanya-tanya kemana menghilangnya sinar, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi"

Saya tersenyum sambil berfikir seorang diri apa yang harus saya jawab. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjawabnya di sini sahaja, supaya dapat dikongsi lebih ramai lagi, jika ada yang membacanya nanti.

Kita sering berungut kenapa kita tiba-tiba sakit sedangkan selama ini kita sihat? Atau kenapa kita tidak menikmati sihat berterusan, kerana sakit itu hanya menyebabkan kita tidak selesa dan sengsara? Atau kenapa sakit kita ini terlalu lambat sembuhnya sedangkan kita perlukan sihat untuk meneruskan kehidupan? Malah berbagai lagi persoalan dan rungutan yang berpintal-pintal di dalam benak kita.

Sebenarnya Tuhan sedang menduga kita setakat mana tahap kesabaran kita menghadapi sesuatu musibah.

Membaca beberapa kali SMS kawan saya itu saya ingin membuat pembetulan terhadap apa yang tulisnya itu. Jika saya yang menulisnya, saya akan tuliskan begini: "Jika Allah sembunyikan pelangi dan mendatangkan ribut petir, jangan kita menangis kerana sebenarnya Allah mahu menghadiahkan kembali sinar matahari yang lebih indah"

Jika hanya pelangi yang kita harapkan dan keindahan pelangi itu sahaja yang diidamkan, kita perlu menyedari bahawa pelangi tidak akan kekal kerana pelangi akan hilang apabila matahari bersinar kembali. Tamsilannya dalam kehidupan kita, jangan terlalu mengejar keindahan sementara kerana keindahan yang lebih kekal tersedia untuk dinikmati.
_____________________________________________

"Bukankah sakit itu juga salah satu daripada Rahmat Allah? Jangan bersedih kerana didatangkan dugaan kerana di sebalik dugaan ada rahmat dan kenikmatan"

May 20, 2009

DI PADANG HAYAT

sekali lagi putaran waktu
kembali ke titik mula
menghitung masa
menambah angka,
tibamu hari ini
imbau kenangan silam
berlari di padang hayat
memburu mimpi
dalam episod perjuangan.

menakah lagi
dalam perjalanan ini
sebelum tiba detiknya
kembali ke asal.


Pinggiran Taman Bayu
20 Mei 2009

DUIT KERTAS TIDAK DITERIMA



SEKALI lagi saya ke bank yang sama saya pergi pada cuti Hari Pekerja dahulu. Sampai di depan bank, nampak ramai orang sedang beratur hingga ke pintu masuk. Jam baharu pukul 10.10 pagi. Mata melilau mencari kalau-kalau boleh mencelah, tetapi nampaknya saya terpaksa beratur panjang. Ah, malaslah.

Di mesin ATM tidak berapa ramai, ada lebih kurang 5-6 orang sahaja. Saya masuk dan beratur sama menunggu giliran. Tidak lama sampai giliran saya. Masukkan kad ke mesin, menekan butang mengikut keperluan : Pengeluaran. Masukkan nombor PIN kemudian jumlah wang yang perlu dikeluarkan. Akhir sekali takan butang: YA. Beberapa saat, kad saya dikembalikan dan wang pun terbit daripada perut mesin ATM itu mengikut salurannya.

Tanpa mengira (selalu yakin jumlah mesti betul), terus sahaja memasukkan ke dalam kocek. Berpindah ke CDM (Cash Deposit Machine) untuk mengirimkan sejumlah wang kepada anak di Shah Alam. Menekan butang-butang pada mesin mengikut arahan dan keperluan. Memasukkan sejumlah wang seperti yang diarahkan. Saya memasukkan tujuh helai wang kertas RM50-00. Jumlahnya RM450-00

Tetapi salah satu keping wang kertas RM50-00 itu dihulurkan kembali. Tiada alasan diberikan. Saya faham, itu tandanya wang kertas tersebut ditolak (reject) oleh mesin tersebut. Lantas saya keluarkan sekeping lain sebagai ganti. Masukkan ke tempat yang ditetapkan dan menekan butang: YA. Kemudian baharulah selesai urusan kiriman wang kepada anak saya.

Apa yang terkilan di hati saya ialah kenapa wang kertas RM50-00 tersebut tidak diterima oleh CDM itu? Saya membelek-belek wang kertas itu semasa di dalam kereta sebelum beredar pergi dari kawasan bank. Di bahagian belakang wang tersebut terdapat setompok warna hitam seperti terkena tumpahan dakwat. Adakah ini puncanya CDM itu menolak wang kertas ini? Saya bertanya kepada diri sendiri. Tetapi kenapa pulak ATM tadi boleh mengeluarkan wang kertas yang sama melalui perutnya, sedangkan wang kertas itu adalah wang kertas yang sama.

Teras pelik juga, ada mesin yang boleh meluluskan pengeluaran wang yang tercemar oleh dakwat tumpah dan ada mesin lain pula yang tidak boleh menerima wang tersebut. Kedua-dua mesin tersebut adalah dari bank yang sama!

Pening dibuatnya.

_____________________________________

"Kecanggihan mesin buatan manusia kadang-kadang menyukar manusia sendiri"

May 17, 2009

INFLUENZA H1N1

SEHINGGA pagi ini sudah disahkan dua kes Influenza H1N1 berlaku di negara kita. Kedua-dua kes ini dikesan ke atas dua orang pelajar Malaysia yang baharu pulang ke tanah air dari Amerika Syarikat. Walaupun penyakit ini belum menular namun kita semua harus berwaspada dan menjaga kesihatan masing-masing agar tidak dijangkiti.

Berbagai iklan dan kempen menjaga kebersihan diri ditayangkan di dalam TV, dipaparkan di dalam akhbar-akhbar, semata-mata bertujuan untuk mendidik rakyat bagaimana untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit berbahaya itu. Khabarnya di Jepun sudah 17 kes, di Mexico pula sudah hampir 80 nyawa terkorban akibat H1N1 ini. Di Amerika Syarikat pun penyakit ini sudah mula merebak di beberapa kawasan.

Menjaga kebersihan diri perlu dimulakan di rumah lagi. Melatih anak-anak menjaga kebersihan tempat tidur, permainan dan barang-barang diri amat perlu. Ibu bapa mesti tegas menangani disiplin kebersihan ini supaya anak-anak terdidik dan sentiasa menjaga kebersihan sepanjang masa.

Menjaga kebersihan diri seperti bersabun semasa mandi, memberus gigi, memotong kuku dan sebagainya walaupun pada zahirnya nampak kecil dan remeh, namun jika ditekankan semenjak kecil, ia akan menjadi kebiasaan yang tidak perlu disuruh-suruh lagi apabila anak-anak membesar. Sama jugalah dengan menjaga kebersihan rumah tangga dan kawasan persekitarannya. Suasana bersih akan menjamin kehidupan terhindar daripada penyakit-penyakit jangkitan. Anak-anak yang berusia lebih 10 tahun sudah boleh diajak membersihkan kawasan rumah dan persekitaran. Ajar mereka di mana tempat yang betul untuk membuang sampah dan tegur mereka dengan tegas jika mereka melemparkan apa sahaja ke dalam longkang umpamanya. Beritahu mereka kesan-kesan yang akan dihadapi jika tidak menjaga kebersihan persekitaran rumah.

Manakala anak-anak pula janganlah terlalu mengharapkan ayah ibu sahaja untuk menjaga kebersihan rumah. Pada hari-hari cuti atau hujung minggu hendaklah ringankan tulang membantu mereka membersihkan kawasan rumah dan persekitarannya, seperti membasuh lantai, membersih bilik air, membersih longkang, memotong rumput, membakar sampah dan sebagainya. Selain rumah serta kawasan menjadi bersih, tubuh badan juga jadi sihat kerana mengeluarkan peluh. Hubungan kekeluargaan juga akan menjadi lebih rapat dan mesra.

Jika perkara ini diamalkan sepanjang masa, kita tidak perlu lagi kepada kempen-kempen menjaga kebersihan setiap kali wabak menyerang. Apabila amalan menjaga kebersihan sudah berakar umbi di dalam diri setiap warga, kesihatan akan lebih terjamin.

Saya pernah melihat semasa memandu di jalan raya, sampah dibuang dari dalam kereta di hadapan saya. Anak-anak saya melihat perbuatan itu dengan rasa geram dan marah kerana mereka sedar itu bukanlah perbuatan yang baik kerana akan mencemarkan kebersihan. Sejak anak-anak masih kecil lagi mereka telah diajar, jangan sekali-kali membaling sampah keluar daripada kereta kerana perbuatan itu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Sehingga kini mereka sudah faham dan tidak melakukannya!
___________________________________________
"Amalan yang baik untuk diri sendiri perlulah dilakukan sepanjang masa. Kebersihan akan menyebabkan terhindar daripada penyakit"

May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU

KEPADA semua guru, saya hulurkan ucapan Selamat Hari Guru dengan iringan doa dan harapan semoga para guru terus bersemangat menyumbang bakti mendidik anak bangsa ke mercu kejayaan. Segala jasa dan pengorbanan guru perlu dikenang dan diingati sepanjang zaman, sepanjang hayat. Tanpa guru siapalah kita pada hari ini?

Saya tidak pernah lupa kepada bekas guru-guru yang pernah mendidik saya semenjak zaman sekolah rendah dahulu lagi, seperti Cikgu Sham bin Kadim, cikgu Ghazali Ismail (arwah), cikgu Ismail Jusoh (arwah), cikgu Bahari (arwah) dan ramai lagi yang pernah mengajar saya di Sek Keb Labu Besar (1963-1968) dahulu. Kemudian semasa di Sek Men Sultan Badlishah, saya masih ingat guru-guru saya dahulu seperti Puan Siti Faridah Mohd Noor, cikgu Mokhtar (arwah), Ustaz Abdullah Zawawi, Mr P.S Rou, Mr Thiagarajah, Mr Tan Ban Kheng, Cikgu Nordin, Ustaz Baharom, (arwah) dan ramai lagi. Segala jasa dan didikan mereka tidak pernah saya lupakan.

Para guru selayaknya mendapat pengiktirafan dan penghargaan yang tinggi daripada ahli masyarakat. Oleh kerana gurulah, ahli masyarakat tidak lagi buta huruf dan dapat mencari ilmu dengan lebih mudah. Guru adalah pendidik kedua selepas kedua ibu bapa di rumah. Anak-anak pelajar hari ini harus menyedari semua itu. Melalui kurikulum yang tersedia, para guru memberi pendidikan secara yang tersusun di dalam usaha membentuk insan cemerlang, dunia dan akhirat. Di dalam proses itu, tentu sekali berbagai cabaran dan dugaan yang mereka tempuhi. Kerenah para murid yang datang dari berbagai latar belakang keluarga, sikap dan pemikiran sudah tentu mengundang berbagai cabaran kepada mereka. Namun berkat kesabaran dan profesionalisma yang tinggi, para guru telah berjaya menginsankan murid-murid mereka.

Bertepatanlah dengan tema Hari Guru Tahun 2009, Guru Pembina Negara Bangsa, yang lebih mendorong kepada penekanan terhadap peranan guru di dalam pembentukan sebuah negara. Guru memainkan peranan yang amat besar di dalam membentuk warga negara yang berkualiti tinggi melalui pendidikan.

Guru bertanggung jawab menanam perasaan cintakan ilmu pengetahuan di hati nurani para pelajarnya di samping tidak meminggirkan sejarah kegemilangan bangsanya sendiri. Para pelajar perlu disuburkan dengan perasaan kasih dan cinta kepada bangsa dan negara. Mempelajari sejarah kegemilangan dan kejatuhan bangsa amat perlu bagi membina jati diri yang kukuh di dalam diri para pelajar. Para pelajar hari ini adalah aset negara yang perlu dipelihara supaya tidak dirosakkan sebelum tiba masanya untuk digunakan bagi membangun negara.

Walau bagaimanapun, para guru tidak harus dibiarkan bersendirian dalam proses membina negara bangsa. Ibu bapa perlu sama seiring memberi sokongan padu kepada para guru di dalam merealisasikan misi tersebut. Tanpa gemblengan tenaga bersama usaha tersebut mungkin tidak dapat dicapai dengan sempurna. Ibu bapa harus menyuntik rasa ingin belajar di jiwa anak masing-masing, tanamkan perasaan ingin berjaya, semangat meneroka dan mencapai tahap kejayaan tertinggi serta sentiasa memelihara jati diri dan kesucian agama. Gabungan kesemua unsur-unsur positif itu perlu dicanai bersama dengan kesungguhan para guru sekalian sehingga matlamat tercapai.

Tetapi, jika hanya pihak guru dan ibu bapa sahaja yang bersungguh-sungguh berusaha sedangkan pelajar itu sendiri mengambil sikap tidak bersungguh-sungguh, tentu sekali hasrat murni tersebut tidak akan tecapai. Para pelajar sendiri perlu memiliki kesungguhan dan daya saing yang tinggi untuk berjaya dengan kejayaan cemerlang. Guru hanya boleh membimbing, menunjuk cara dan mengajar tetapi para pelajarlah yang harus lebih bersungguh-sungguh. Hindarkan segala sikap negatif dan fokus kepada pelajaran.

Kepada para guru sekalian, tiada kata yang dapat dilafazkan selain daripada "Terima kasih, cikgu". Segala budi baik cikgu saya junjung hingga ke mati.
______________________________________________
"Guru yang terbaik adalah guru yang mengajar dengan ketegasan tetapi disulam kasih sayang, bukannya guru yang mengajar dengan tegas tetapi penuh kebencian".