Pages

Sep 28, 2011

SEKALI MELANGKAH




"AKU tidak akan putus asa. Biar apa sekalipun yang akan berlaku, aku tetap dengan keputusan ini!", nada suaranya penuh ketegasan bersulam keyakinan diri yang amat tinggi. "Aku pantang berundur!!".

Bola matanya merenung tepat ke arah situ. Tidak berkelip langsung. Dengus nafasnya jelas kedengaran kerana dia sedang melawan segala hasutan yang menerpa bagai taufan. Kesemua jari di tangannya tergenggam erat, mengepal tinju bagai pendekar yang bersiap siaga berhadapan musuh durjana. Kakinya tegap berdiri tanpa ragu-ragu.

"Kau boleh bersuara segegar halilintar! Aku tidak akan gentar!!". Suaranya terpancul lagi menendang hasutan yang tidak henti melanda perasaannya. Dia makin tegap berpijak di situ.

Darah panasnya mengalir lancar ke segenap urat nadi dan saraf dirinya, menderu bagai jeram tinggi di tengah belantara. Wajahnya tidak terusik langsung oleh taufan hasutan yang semakin kuat melanda. Malah kepanasan dari darah yang mengalir dalam tubuh terpancar di wajahnya. Panas dan kemerah-merahan. Ada percikan penuh di dahinya.

"Kau jangan sangka aku akan tunduk menyerah kalah!!". Dia terus bersuara perkasa. Suaranya terlontar menerobos ruang yang penuh dengan hasutan, igauan, fitnah dan segalanya. Genggam tinjunya tetap kemas, kakinya masih utuh pada tempat pijak yang asal, tidak berganjak walaupun seinci.

Sejak sekian lama dia berdiri melawan segala terjahan yang menerpa mahu menggoyah pendiriannya. Namun dia masih tetap berdiri segagah awalnya tanpa sedikitpun ada tanda-tanda untuk undur atau beredar. Dia pasti keputusannya adalah tepat!

Biar hari berganti minggu beredar ke bulan, hatta ke tahun yang akan datang, dia pasti tidak akan berundur ke belakang. Malah dia mensasarkan untuk berganjak ke hadapan, menghampiri tempat yang dihajatinya. Dia tidak akan pulang sebelum tiba ke tempat itu sepertimana yang diidamkannya selama ini.

"Kau tidak mungkin dapat menewaskan aku!!". Jeritannya bersiponggang melantun di dalam ruang itu. Berulang kali ucap kata itu menendang anak telinganya sendiri dan itu membuatkan dirinya semakin yakin untuk menghadapi segala yang menghalang perjalanannya.

Angin semakin kasar. Taufan semakin ganas. Ribut merembas deras. Kesemuanya bagai berpadu menghalangnya untuk melangkah ke hadapan. Namun dia tetap bertahan. Kakinya bagai terpaku kemas ke tanah. Tubuhnya menahan segala sergahan. Pandangannya tidak sedetikpun berpindah dari arah tumpuannya. Dia tidak mahu segala itu memadamkan impiannya.

Dia mahu tiba ke puncak itu biarpun terpaksa melawan terpaan duga ini sekian lama. Puncak itu adalah impiannya. Dia mahu berdiri di puncak itu sebagai seorang lelaki perkasa yang berjaya. Dia tidak mahu menjadi seorang lelaki yang tewas di tengah perjalanan.

"Sekali melangkah ke hadapan, aku tidak akan berundur". Kekuatan azam itulah yang menjadi pembakar semangatnya. Dia berpegang kepada kata-kata, 'orang yang kecewa adalah orang yang berhenti berusaha'.

Sep 11, 2011

KEJUTAN OGOS 2011



BULAN OGOS 2011 telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada negara dan warga Malaysia menyambut dua perayaan yang hampir serentak. Aidilfitri disambut pada tanggal 30 Ogos sementara 31 Ogos pula adalah hari ulang tahun kemerdekaan negara. Kedua-dua sambutan itu sepatutnya membawa makna yang mendalam di dalam setiap jiwa umat merdeka di tanah air tercinta ini.

Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kejayaan setelah sebulan melalui Ramadhan, setelah berusaha keras menangkis segala bagai dugaan dan cubaan. Aidilfitri adalah hari kejayaan kerana kita berjaya kembali ke fitrah asal.

Manakala hari kemerdekaan pula adalah hari di mana negara dan bangsa kita terbebas dari belenggu penjajahan. Kita mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat itu setelah sekian lama negara dan bangsa dijajah.

Oleh itu wajarlah kita merayakan kedua-dua tarikh itu.

Namun pada bulan Ogos tahun ini telah timbul polimik yang cukup menarik perhatian seluruh warga bangsa Malaysia, iaitu siapakah pejuang dan siapakah petualang bangsa? Isu ini tiba-tiba timbul setelah 54 tahun tanah air kita merdeka. Setelah sekian lama kita diajar melalui buku-buku ilmu sejarah tentang para pejuang kemerdekaan yang hebat dan terbilang. Tersenarai ratusan nama para pejuang yang menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta. Juga turut tersenarai nama-nama mereka yang gugur terkorban. Kesemua mereka itu sudah pasti berjuang dengan jiwa raga dan niat yang satu: menghalau penjajah!

Tetapi siapakah mereka itu? Pejuang atau petualang?

Kemudian di dalam kelocak isu tersebut muncul pula seorang ahli akademik tahap tertinggi, seorang professor mengeluarkan satu kenyataan yang amat mengejutkan: "Malaya Tidak Pernah Dijajah". Lalu berlakulah pertikaman pendapat di kalangan rakyat. Benarkah Malaya tidak pernah dijajah? Lalu masing-masing bertanya, kenapa British memeritah Tanah Melayu kemudiannya Malaya? Selepas Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah, kenapa British kembali ke Tanah Melayu? Kenapa British beria-ia mahu melaksanakan pelan Malayan Union? Kenapa sepanjang British berada di Tanah Melayu (Malaya) segala urusan pentadbiran diuruskan oleh British? Kenapa hasil mahsul negara dikaut pulang ke Britain?

Kalaulah British hanya menjadi penaung atau pelindung Tanah Melayu (Malaya) kenapa kuasa Raja-Raja Melayu disekat? Kenapa anak bangsa tidak diberikan hak dan keistimewaan sewajarnya? Kenapa mata wang pada masa itu masih menggunakan lambang Queen?

Soalan yang berjela-jela makin mencurah-curah. Keliru berada pada tahap tertinggi. Seluruh warga jadi keliru hanya dengan sepotong kalimat: Malaya Tidak Pernah Dijajah!.

Bagaimana agaknya landskap sejarah negara lima puluh tahun dari sekarang jika kenyataan profesor tersebut diterima pakai? Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kucar kacirnya kronologi sejarah bangsa yang mendiami Tanah Melayu-Malaya-Malaysia pada ketika itu nanti.

Jika waris-waris anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban sejak sebelum 31 Ogos 1957 amat marah kerana kenyataan bahawa datuk, nenek dan ayah bonda mereka bukan pejuang kemerdekaan bagaimana pula agaknya reaksi waris-waris mereka yang selama 54 tahun ini telah dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika Malaya tidak pernah dijajah, wujudkah pejuang kemerdekaan?