MURID dibelasah guru akhirnya meninggal menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar Harian Metro Edisi Utara hari ini, 4 April 2011, manakala di muka 6 pula tertulis tajuk beritanya, Guru ambil nyawa, amat menyayat perasaan sesiapa sahaja yang memiliki perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak.
Itu adalah kisah seorang anak kecil, Saiful Syazani bin Saiful Sopfidee, berusia 7 tahun, murid tahun satu di sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Perlis, yang koma selama tiga hari akibat dibelasah gurunya hanya kerana dituduh mencuri wang RM7-00 milik rakan sekelasnya. Saiful Syazani menghembuskan nafas terakhirnya jam 8.00 pagi kelmarin selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan kompilasi jantung. Dilaporkan mangsa dipukul dengan teruk oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma. Kejadian itu dilaporkan berlaku jam 7.00 malam Khamis, 31 Mac 2011 yang lalu.
Menurut laporan akhbar berkenaan, mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan. Selepas memukul kepala, guru tersebut dikatakan ‘naik hantu’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid tersebut mengalami pendarahan dalam kepala dan kompilasi jantung.
Berakhirlah perjalanan hidup seorang anak kecil yang kematian ibu kandungnya, Jahiyah bt Che Amat. Menurut kata ayahnya, Saiful Sopfidee Marzuki, wajah arwah anak tunggalnya itu seiras wajah arwah isterinya.
Saiful Syazani sudah kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang amat perit untuk ditanggung oleh seorang anak kecil yang memerlukan belaian dan kasih sayang. Tetapi akibat tindakan yang tidak dapat dikawal oleh perasaan, anak kecil itu menjadi mangsa. Walaupun dia dituduh mencuri, perlakuan guru tersebut bukanlah untuk mendidik, tetapi lebih kepada perbuatan mengikut emosi yang keterlaluan. Tidak sepatutnya guru tersebut yang juga warden asrama bersikap sedemikian. Dia sewajarnya menjadi penjaga kepada kanak-kanak yang tinggal di asrama sekolah berkenaan, termasuklah Saiful Syazani yang juga adalah seorang anak yatim, kematian ibu kandung. Dia sepatutnya menunjukkan sikap kasih sayang terhadap kanak-kanak tersebut.
Benarlah, itu adalah ketentuan Allah yang ditaqdirkan ke atas Saiful Syazani, tetapi banyak pengajaran yang perlu diambil untuk dijadikan pedoman semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun sebaliknya.
Perbuatan mencuri memangnya suatu kesalahan baik dari segi agama mahupun undang-undang negara. Tetapi menuduh seorang anak kecil berusia 7 tahun dengan perlakuan di luar batas kemanusiaan normal adalah keterlaluan. Bukan begitu caranya untuk memujuk seorang anak kecil mengaku perbuatan salahnya. Pendekatan yang lebih berhemah menggunakan pujukan dan sedikit gertakan sudah mencukupi. Lazimnya anak kecil seusia 7 tahun lebih mudah bercakap benar, tambahan pula jika anak itu seorang yang cerdas dan pintar.
Guru seharusnya memiliki sifat kasih sayang kepada anak-anak, menganggap murid-muridnya seperti anaknya sendiri. Selain memberikan pendidikan, para guru juga perlu membentuk sahsiah murid-muridnya supaya membesar menjadi seorang insan yang berguna. Proses pembentukan insan berguna itu amatlah rumit serta memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Guru perlu bersabar dan sentiasa memiliki nilai-nilai keibubapaan, sementelahan pula guru tersebut adalah seorang warden di asrama.
Pihak pengurusan sekolah juga perlu mempastikan guru yang dilantik sebagai warden adalah seorang yang berwibawa serta mampu memikul tugas dengan penuh bertanggung jawab. Usia juga memainkan peranan kerana lazimnya seseorang yang berusia tua lebih matang dalam pertimbangan, apatah lagi jika dia sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anaknya sendiri, berbanding dengan seorang yang masih muda atau belum berumah tangga.
Selain tahap ilmu serta latar pendidikannya, seseorang guru juga perlu dinilai dari aspek pemilikan emosi yang stabil dan berkualiti. Seorang guru yang stabil emosinya akan bertindak dengan penuh rasional serta mengambil kira kesan atau risiko yang akan berlaku jika dia bertindak sebaliknya.
Kini kisah hidup Saiful Syazani sudah berakhir. Apa yang akan ditanggung oleh guru yang menyebabkan kematiannya terletak kepada undang-undang kerana pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Demikian menurut Ketua Polis Daerah Arau, seperti yang dilaporkan di dalam akhbar pada hari ini.
No comments:
Post a Comment