Pages

Apr 6, 2011

AWAS, PANGGILAN POKAI




AWAS dan sentiasa beringat-ingat! Saya perlu sampaikan peringatan ini kepada orang lain seramai mungkin supaya mereka tidak terjebak ke dalam perangkap durjana ini.

Itulah kesan pertama yang muncul di hati saya sebaik membaca berita di dalam Harian Metro Edisi Utara hari ini, 6 April, 2011. Tajuk berita di muka hadapan tertulis: Panggilan Pokai.

Hanya menerusi panggilan telefon, satu sindiket penipuan antarabangsa yang mempunyai kepakaran tinggi boleh membuatkan anda muflis. Setakat ini hampir 200 orang menjadi mangsa kumpulan dipercayai didalangi warga Taiwan itu membabitkan kerugian kira-kira RM10 juta. Itulah yang terpampang di muka depan akhbar berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato’ Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata mangsa terbaru sindiket itu ialah seorang lelaki dari Sabah berusia 30-an yang tertipu sebanyak RM250,000-00. Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut memerangkap mangsa dimulai dengan menelefon mangsa dan pemanggil menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman atau kakitangan Bank Negara. Mangsa akan dimaklumkan akaun bank atau kad kredit mangsa diceroboh pihak ketiga dan jika tidak segera memindahkan wang ke akaun lain, mangsa akan kerugian kerana wang akan dicuri sindiket penipuan.

Menurut Dato’ Wira Syed Ismail lagi mangsa yang pada mulanya tidak percaya akan menghubungi semula nombor telefon terbabit, namun panggilan mereka akan dijawab oleh mesin operator elektronik sama seperti sistem yang digunakan di Bukit Aman atau bahagian perkhidmatan pelanggan Bank Negara. Siasatan polis mendapati sindiket tersebut menggunakan perisian khas dikenali sebagai Voice Internet Protocol iaitu sistem panggilan telefon melalui pelayan komputer bagi memudahkan proses penyamaran.

Seterusnya pemanggil yang mendakwa pegawai polis Bukit Aman atau kakitangan Bank Negara itu akan memberikan satu siri nombor yang didakwa kod atau kata laluan untuk proses transaksi pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM). Selepas mangsa memindahkan wang ke dalam akaun ketiga yang diberikan, mereka diminta menghapuskan resit bank atas alasan keselamatan. Kemudian mangsa diarah menunggu tiga jam, kononnya untuk proses kemaskini akaun sebelum diminta menghubungi semula si pemanggil bagi membolehkan mereka mengambil semula wang yang dipindahkan itu.

Tetapi suspek gagal dihubungi selepas itu dan terus menghilangkan diri. Ketika itulah mangsa tersedar mereka tertipu tambahan pula apabila mendapati wang di dalam akaun masing-masing sudah lesap manakala mereka tiada akses untuk ke akaun ketiga di mana wang mereka dipindahkan sebelumnya.

Siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan ini adalah taktik baru sindiket berkenaan kerana sebelum ini skim penipuan mereka ialah tawaran melancong ke Macau kononnya sebagai hadiah istimewa yang dimenangi mangsa. Namun mangsa terlebih dahulu perlu memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan selepas itu anggota sindiket tersebut menghilangkan diri.

Kisah-kisah penipuan sebegini atau seumpamanya begitu berleluasa masa kini. Dengan kemudahan dan kecanggihan ICT berbagai helah dan taktik telah digunakan oleh mereka-mereka yang berniat jahat melalui penipuan. Kita seakan terdedah kepada segala macam skim penipuan yang berselindung di sebalik berbagai nama termasuklah agensi-agensi kerajaan di negara kita ini.

Kenapakah begitu mudah sebilangan rakyat negara kita ini mempercayai segala skim dan penipuan yang ditawarkan sindiket-sindiket terbabit? Sekian banyak tangkapan dan pembongkaran skim-skim penipuan telah dilakukan oleh pihak polis sejak kebelakangan ini terpampang di dada-dada akhbar atau disiarkan di dalam media elektronik. Namun masih ada di kalangan rakyat negara kita yang tertipu dengan berbagai pujukan sindiket-sindiket terbabit. Inilah yang menghairankan. Adakah rakyat negara kita tidak membaca atau mendengar bagaimana modus operandi sindiket-sindiket tersebut? Atau mungkinkah rakyat negara kita tidak ambil kisah dengan semua yang didedahkan oleh media selama ini?

Sepatutnya, warga negara kita perlu lebih berhati-hati dan sentiasa ingat tentang pendedahan kes-kes seumpama ini supaya kita tidak mudah terjebak ke dalam tipu muslihat sindiket-sindiket jahat tersebut. Kepada orang-orang muda ambillah ingatan dan sentiasalah mengikuti perkembangan semasa melalui berita-berita yang disiarkan kerana semua itu akan menjadi ilmu untuk menghadapi cabaran kehidupan masa kini dan masa hadapan.

Terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman yang telah mendedahkan secara terperinci modus operandi sindiket tersebut dan berharap pendedahan ini boleh menyedarkan warga negara kita tentang penipuan-penipuan seumpama itu supaya kita lebih berhati-hati setiap waktu.

No comments:

Post a Comment