Pages

Apr 3, 2011

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Datuk Mustafar Ali, Pengarah Siasatan SPRM

PERIBAHASA lama itu kini terbukti tepat. Hari ini di dalam akhbar-akhbar tempatan terpampang cerita tentang Ops 3B yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kisah yang terbongkar adalah menepati makna peribahasa: "Harapkan pagar, pagar makan padi".


Akhbar Metro Ahad Edisi Utara di muka surat 4 yang memuatkan tajuk berita: 'SPRM tahan 62 pegawai kastam' turut mendedahkan telah menahan pegawai-pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun sejak operasi besar-besaran yang dikenali Ops 3B di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.


Datuk Mustafar Ali, Pengarah Siasatan SPRM berkata, daripada jumlah itu 53 orang adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita. Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.


Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan SPRM mengesan tujuh transaksi dijalankan.


Malah SPRM turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas. Mustafar juga berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250 selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.


Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek. SPRM masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana di dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgit, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih di dalam siasatan.


Seterusnya Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Membaca berita tersebut, membuak rasa marah, benci dan jijik terhadap perbuatan pegawai-pegawai kastam yang ditahan itu. Berbagai persoalan timbul, sudah berapa lamakah perbuatan terkutuk itu berlaku? Tidak adakah satu mekanisma tertentu yang digunakan untuk mengesan pengelewengan tersebut? Kenapa perkara tersebut boleh berlaku sehingga melibatkan pegawai pelbagai pangkat? Kenapa dan beribu kenapa yang semakin sendat di fikiran meminta penjelasan dan jawapan.


Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) adalah satu jabatan penting yang menjaga proses import eksport di pelabuhan-pelabuhan di negara kita. Pegawai-pegawai yang ditugaskan di situ adalah mereka yang diberikan tanggung jawab menjalankan tugas dengan penuh amanah. Mereka tidak sepatutnya berkompromi apabila melibatkan proses import barangan dari luar negara, begitu juga barangan eksport ke negara-negara luar.


Terdapat prosidur-prosidur tertentu yang perlu dipatuhi oleh para pengimport dan pengeksport yang mana pegawai-pegawai kastam mesti memastikan pihak-pihak terbabit mematuhinya. Tiada alasan prosidur-prosidur tersebut boleh diabaikan ataupun dilonggarkan pematuhannya.


Tetapi, hasil Ops 3B oleh SPRM itu kini telah terbongkar segala kejahatan dan perbuatan tidak bertanggung jawab para pegawai kastam yang terlibat itu. Mereka tergamak bukan sahaja berlaku tidak amanah malah menjual maruah negara dengan harga yang tidak seberapa. Akibat perbuatan mereka, bukan sahaja negara kehilangan pendapatan tetapi juga secara tidak langsung mereka telah merampas hak rakyat keseluruhannya. Perbuatan tersebut tidak sepatutnya dimaafkan.


Tahniah kepada SPRM yang berjaya membongkar perbuatan keji dan jijik oleh mereka-mereka yang terlibat. KDRM perlu mengambil langkah proaktif dan memastikan pegawai-pegawai terbabit dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman sewajarnya. Tidak perlu ada sebarang perlindungan lagi buat mereka itu!


Malah, Menteri yang bertanggungjawab terhadap KDRM perlu tampil memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat serta membuat pengumuman perletakan jawatan!

No comments:

Post a Comment