Rehat Setiap Hujung Minggu
Pertama sekali, bekerja lima atau enam hari sahaja seminggu dan rehat sepenuhnya pada hari ketujuh. Setiap kajian yang dijalankan menunjukkan anda akan lebih produktif jika bekerja lima atau enam hari sahaja seminggu jika dibandingkan anda terus bekerja selama tujuh hari berturut-turut.
Semasa cuti rehat jangan libatkan diri dengan laporan, jadual kerja, menyediakan cadangan atau sebarang kerja lain yang memerlukan bebanan mental. Biarkan minda anda berehat sepenuhnya, dan sibukkan diri anda membuat kerja-kerja lain bersama keluarga atau rakan-rakan anda. Mungkin anda boleh melakukan kerja-kerja rumah, mencuci kereta, berjalan-jalan dan bersiar-siar di sekitar kediaman anda, melakukan senaman, menonton TV atau wayang gambar atau bermain-main dengan anak-anak di rumah. Apa sahaja yang anda lakukan pada hari cuti, latih minda anda tidak memikirkan soal-soal kerja sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam!
Pergi Bercuti
Kedua, ambil tiga hari cuti rehat setiap tiga bulan dan sepanjang cuti tersebut, elak diri daripada melakukan sebarang kerja. Jangan langsung cuba melakukan kerja walaupun sekecil-kecilnya. Jika anda lakukan juga, anda akan mengerakkan minda anda sehingga akhirnya anda tidak dapat berehat atau bekerja dengan sebaik-baiknya.
Anda boleh juga mengambil cuti rehat yang panjang setiap hujung tahun misalnya. Pada waktu itu jangan sama sekali memikirkan tentang kerja anda. Anda perlu memilih sama ada bekerja atau berehat; tetapi tidak boleh melakukan kedua-duanya sekaligus. Jika anda cuba bekerja pada masa anda bercuti, anda tidak akan dapat member peluang kepada minda anda untuk berehat dan segar semula. Akibatnya anda akan pulang daripada percutian anda itu dalam keadaan letih sama seperti sebelum anda bercuti.
Nikmati Alam Semula Jadi
Anda boleh juga berjalan-jalan menikmati alam semula jadi, contohnya mendaki bukit atau meredah hutan atau berehat di air terjun untuk merehatkan emosi dan minda anda. Apabila anda menggerakkan tubuh badan anda, minda dan emosi anda akan berehat dengan sendirinya.
Kurangkan Makan
Proses pencernaan dan penghadaman makanan di dalam tubuh menyebabkan banyak tenaga digunakan. Justeru jika anda kurangkan makan, anda akan merasa lebih selesa kerana kurangnya penggunaan tenaga. Jika anda banyak memakan buah-buahan, sayur-sayuran system penghadaman memerlukan tenaga yang sedikit untuk memproses makanan tersebut. Lebih baik jika anda amalkan berpuasa.
Oleh kerana pemakanan mempunyai impak ke atas tenaga fizikal yang juga mempengaruhi tenaga mental dan emosi, anda perlu berhati-hati dengan pemakanan anda. Makanan yang tinggi lemak, gula atau garam tidak baik untuk kesihatan anda. Anda makan makanan yang berkhasiat akan memberikan lebih tenaga kepada anda.
Tindakan Segera
Tiga perkara yang perlu anda lakukan dengan segera bagi merealisasikan teknik-teknik tersebut, iaitu:-
Pertama : Rancang cuti mingguan anda lebih awal supaya anda mendapat sekurang-kurangnya satu hari untuk berehat sepenuhnya.
Kedua : Tempah atau bayar lebih awal untuk tiga hari percutian ke tempat-tempat yang anda gemari. Apabila tempahan atau bayaran telah dilakukan, anda tidak mempunyai alasan untuk membatalkannya.
Ketiga : Ambil keputusan untuk tidak melakukan sebarang kerja semasa bercuti. Anda perlu kerja pada masa bekerja dan perlu rehat sepenuhnya pada masa bercti. Ini amat penting sekali.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Demikianlah salah satu daripada puluhan kiriman yang masuk ke dalam kotak e-mail saya setelah tiga hari saya tidak membukanya. Ada sesuatu yang saya rasa boleh dikongsi bersama pembaca sekalian dan itulah sebabnya saya salinkan ke dalam blog saya ini. E-mail asalnya ialah di dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya sudah alih bahasa ke Bahasa Melayu mengikut kefahaman saya seperti apa yang tertulis di dalam teks e-mail tersebut.
Semoga anda mendapat manfaatnya.