Pages

Apr 29, 2010

PENGORBANAN SEORANG SAHABAT

HARI ini aku mendengar rancangan Riuh Pagi ERA (RPE) di saluran Radio ERA. Mendengar satu cerita yang diceritakan oleh sorang pemanggil melalui telefon ke studio. Lazimnya aku tidak begitu sangat beri perhatian kepada rancangan RPE itu kerana rancangan itu hanya diisi dengan hal-hal yang kurang menarik. Tetapi hari ini bagai ada sesuatu yang menarik perhatianku apabila pemanggil itu membuat panggilannya dan bercerita tentang suatu perkara. Bagi aku perkara yang diceritakan itu amat menarik meskipun mungkin ramai yang akan mengatakan sebaliknya.

Pemanggil tadi (namanya Rizal) bercerita tentang pengalamannya sewaktu berusia 17 tahun (tidak pula diberitahu usianya sekarang, tetapi aku mengagak usianya sekitar 30-an pada masa ini) sewaktu hampir menduduki SPM. Biasalah, zaman persekolahan semua orang berpengalaman melalui detik-detik manis 'bercinta monyet'. Rizal itupun tidak terkecuali. Dia berkawan rapat dengan seorang pelajar perempuan sebayanya tetapi dari sekolah yang berlainan.

Tiap-tiap hari selepas waktu sekolah mereka akan berjumpa di suatu tempat sebelum pulang ke rumah. Hari demi hari persahabatan mereka menjadi putik-putik cinta. Rizal dan pelajar perempuan itu seperti sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Rakan-rakan sekolah mereka tahu hubungan mereka berdua. Suatu hari, seperti biasa selepas waktu sekolah Rizal sampai di tempat pertemuan mereka. Tetapi hari itu kekasihnya tidak muncul. Rizal resah menanti, namun kekasihnya tetap tidak kunjung tiba. Beberapa hari selepas itupun, Rizal masih menanti, tetapi hampa. Perasaannya mula bimbang. Dia bertanya kepada rakan-rakan kekasihnya dan daripada mereka dia dapat tahu kekasihnya itu sakit dan sudah pulang ke kampungnya di Sabah. Kekasihnya itu tinggal bersama emak saudaranya di Kuala Lumpur semasa belajar di sekolah berkenaan.

Atas dasar cinta, Rizal terus pulang dan memecahkan tabung wang simpanannya. Berbekalkan wang tersebut dan maklumat tentang kampung kekasihnya itu, Rizal berlepas ke Sabah dari Lapangan Terbang Subang bersendirian. Setibanya dia di kampung kekasihnya itu baharulah Rizal dapat cerita sebenarnya bahawa kekasihnya itu sedang bergelut dengan hidup akibat menghidap sakit buah pinggang yang sudah sampai ke tahap kronik.

"Pada waktu itu juga saya mengambil keputusan untuk berkorban demi seorang sahabat", suara Rizal yang aku dengar melalui corong radio agak sebak bunyinya.

Kata Rizal dia segera menawarkan diri untuk menyumbang buah pinggangnya. Setelah diperiksa oleh pasukan doktor mereka mendapati buah pinggangnya sesuai untuk didermakan dan jenis darahnya juga sama dengan jenis darah kekasihnya yang sedang bergelut dengan hidup itu! Terus sahaja Rizal memberi tahu emak dan ayahnya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu dan keizinan mereka. Kedua orang tuanya berlepas segera ke Sabah dan bertemu Rizal serta keluarga kekasihnya di sana.

"Awak dermakan buah pinggang awak, Rizal?", tanya DJ bertugas.

"Ya, saya dermakan buah pinggang saya demi kerana simpati saya terhadap seorang sahabat", balas Rizal, masih kedengaran sebak. "Tetapi usia kekasih saya itu tidak lama. Setahun kemudian, dia dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya". Suara Rizal tersekat di situ.

Aku menganggap kisah ini adalah kisah tentang pengorbanan yang amat luar biasa. Pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya yang menderita. Mungkin pada masa itu Rizal mempunyai perasaan cinta terhadap sahabatnya itu, tetapi bagi aku, Rizal sebenarnya adalah seorang sahabat atau kekasih yang berhati mulia. Dia jujur dalam persahabatan (percintaan) kerana itu dia rela berkorban meskipun dia belum pasti sahabatnya itu akan menjadi teman hayatnya.

Mari kita bertanya dan menjawab secara jujur:

i) Berapa ramaikah sahabat yang mempunyai kemuliaan seperti Rizal?
ii) Berapa ramai pula sahabat yang dengan mudah melupakan sahabatnya ketika sahabatnya itu mengalami kesusahan?
iii) Berapa ramaikah sahabat yang tidak mahu meneruskan persahabatan hanya kerana mendengar cerita-cerita fitnah dari orang lain?
iv) Berapa ramaikah sahabat yang bersahabat hanya kerana material serta kedudukan sahabatnya itu sahaja?
v) Berapa ramaikah sahabat yang sanggup memaafkan kesilapan sahabatnya yang berlaku tanpa sengaja?

Marilah sama-sama kita memberi nilai kepada makna persahabatan yang kita jalin dengan sahabat-sahabat kita selama ini. Semoga akan wujudlah kebahagiaan di dalam hati kita bersama.

Apr 20, 2010

SUARA HATI

MUNGKIN tidak ramai di antara kita yang menyedarinya, kadang-kadang ada suara halus dari dalam diri kita sendiri. Bisikan yang tidak semena-mena terjelma, seperti terucap tetapi bukan melalui lidah. Itulah suara hati.

Suara hati kita sama seperti sikap kita. Ada yang bernada positif dan ada yang bernada negatif. Suara hati positif menjadi pendorong dan yang bernada negatif sebaliknya. Begitu jugalah dengan sikap kita sendiri, ada yang positif dan ada yang negatif.

Jika diamati, suara hati yang positif jarang kedengaran berbanding yang negatif. Suara hati negatif lebih mudah tercetus kerana di dalam diri kita 75% hingga 85% dipenuhi rasa negatif. Ditambah pula negatif itu diwarisi sejak kita masih kecil lagi dan ditimbun saban tahun sehingga kita dewasa lalu ia menjadi sebati di dalam diri kita. Akibatnya kita menjadi sukar membezakan antara negatif dan positif.

Suara hati negatif sering membisikkan apa sahaja. Tetapi setiap kali ia berbisik kita yang sukar mengatakan bisikan itu negatif. Dan apabila orang lain menegur dengan mengatakan itu adalah negatif, kita sukar menerimanya kerana sekian lama ia bersemadi di dalam diri kita tanpa kita ketahui ia adalah negatif. Lalu yang sering tercetus adalah berbagai rasa seperti kurang senang, marah, cemburu, tidak puas hati dan sebagainya. Bukankah itu semua suara-suara negatif?

Jarang terpancar di dalam hati kita suara puji-pujian, rasa syukur, terima kasih atau kasihan belas. Simpati dan dorogan juga kurang kedengaran. Oleh sebab itu lebih ramai di antara manusia lebih senang bertindak mengikut nafsu daripada melakukan sesuatu mengikut hati dan perasaan positif.

Lalu, seharusnya kita belajar melatih diri kita berbicara dengan suara hati positif dengan mengungkapkan kata-kata semangat, dorongan, kasih sayang, puji-pujian, mesra dan lain-lain lagi yang dapat menimbulkan rasa positif. Supaya dengan itu segala gerak laku dan tutur kata kita akan bertukar menjadi positif dan lebih memberi kesan baik di dalam kehidupan.

Prosesnya mungkin agak sukar dan mengambil masa, tetapi kita harus bermula segera. Jangan tunggu sehingga segala negatif itu terus sebati dengan darah daging kita. Waktu itu kita akan menjadi manusia yang memandang sesuatu perkara atau kejadian itu dengan pandangan negatif semata-mata, tanpa sekelumit rasa positif. Kita akan tenggelam di dalam kerugian walaupun kita merasai kita sudah terlalu untung!

Ayuh, mulakan segera! Sekaranglah masanya!

_______________________________________________________

"Sesungguhnya di dalam hati anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik daging itu baiklah dirinya dan apabila busuk daging itu busuklah dia. Daging itu adalah hati".
_______________________________________________________

Apr 11, 2010

PRASANGKA

ADA pepatah Inggeris berbunyi: "Don't judge a book by its cover". Ia membawa maksud jangan menilai seseorang itu hanya melalui luaran sahaja. Ini disebabkan apa yang dapat dilihat dan dipandang orang ialah sifat luaran. Tiada siapa yang dapat melihat ke dalam diri orang lain dan melihat apa yang difikirkan oleh orang itu.

Maksudnya pepatah itu adalah suatu pesanan supaya di dalam kita menilai kejujuran seseorang, jangan hanya melihat kepada sifat lahiriahnya sahaja. Seperti buku itu sendiri, jika hanya melihat gambar atau lakaran di kulitnya sahaja kita tidak akan dapat mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Mungkin di dalam buku itu tersisip pelbagai maklumat, petua atau pemikiran yang bermanfaat. Tetapi oleh kerana kita hanya melihat kulitnya yang tidak menarik itu kita tidak membacanya. Lalu kita tidak mungkin memperolehi segala kebaikan dan manfaat yang terdapat di dalam buku itu.

Sama juga apabila kita menilai seseorang manusia. Contohnya seorang Pengurus adalah tidak wajar memberikan penilaian yang rendah kepada pegawai dan staf bawahannya semata-mata berdasarkan kepada sifat luarannya yang kurang menarik atau tidak kemas. Sewajarnya sang Pengurus tersebut juga turut menilai pemikiran, idea, sikap serta semangat pegawai atau staf berkenaan. Semua yang berada di dalam diri pegawai atau staf tersebut tidak dapat dibaca oleh Pengurus tadi tanpa diajak berbual, berbincang dan berdiskusi dengan cara yang penuh hikmah.

Seorang guru umpamanya juga tidak wajar menilai kebolehan seseorang pelajarnya hanya melihat sifat luarannya sahaja. Begitu juga seorang ayah dan anaknya. Elakkan prasangka.

Sebenarnya apabila kita hanya menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja, sebenarnya kita melakukan penilaian tersebut dengan seribu prasangka yang sememangnya tidak tepat sama sekali.

__________________________________________________

"Apa yang terpancar di luaran seseorang itu bukan sepenuhnya seperti apa yang terkandung di dalam dirinya".
__________________________________________________