Pages

Mar 17, 2010

YANG ADA HANYA SARANGNYA SAHAJA

PETANG kelmarin, semasa aku hendak membaca akhbar di teres rumahku, aku menjenguk ke ranting anggur isteriku yang berselirat di hujung cucur atap. Ibu merbuk yang mengeram telurnya sejak dua minggu yang lalu sudah tiada. Yang ada hanya sarangnya sahaja.

Sedih rasa hati memikirkan ke mana perginya burung itu. Aku teringat bagaimana aku dan isteriku beria-ia mahu memasang sesuatu untuk mengelak burung, sarang dan telur yang dieramnya itu ditimpa hujan. Sedangkan hakikatnya bantuan yang kami hulurkan itu mengganggu lumrah kehidupan burung itu.

Mungkinkah burung itu merajuk gara-gara kami mengganggu sarangnya? Atau mungkinkah burung itu sudah terkena jerat peminat burung yang saban pagi, tengah hari dan petang, memasang denak di padang berhadapan rumahku. Aku jadi sedih seketika. Aku lihat sarangnya sedikit berselerak manakala kulit salah sebiji telur yang dieramnya bertukar warna keperang-perangan dan sebiji lagi masih kekal warna asalnya.

Melihat keadaan sarang dan telur-telurnya itu aku mula faham burung itu sudah tidak lagi terus mengeram telur-telurnya itu. Aku tidak akan dapat melihat anak burung merbuk yang bakal tetas dari telur-telur tersebut.

Aku terasa bersalah kepada burung merbuk itu. Maafkan aku dan isteriku. Sebenarnya kami hanya mahu menghulurkan bantuan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

SEKETIKA
aku terdengar bunyi bising decitan suara burung. Nyaring dan agak membingitkan telinga. Mataku melilau memandang persekitaran laman rumahku. Tiba-tiba di hujung laman berhampiran pagar hadapan, aku terpandang dua ekor burung di atas ranting pokok bunga hiasan isteriku.

Rupa-rupanya seekor ibu burung (aku tak tahu nama burung itu) sedang menyuap makanan ke paruh anaknya yang masih belum gagah terbang. Si anak itu ternganga paruhnya menadah makanan yang disuap siibu. Terasa benar kasih sayang si ibu burung itu terhadap anaknya yang masih belum mampu terbang mencari makanan sendiri.

Walaupun si anak sudah lengkap berbulu ditubuh kecilnya, namun aku yakin dia masih belum dapat terbang sepenuhnya. Aku mendekati burung tersebut dengan perlahan-lahan. Aku tidak mahu mereka terkejut dan terbang. Di tanganku kamera digital kemas kugenggam.

Beberapa tapak dari pokok bunga hiasan itu tiba-tiba si ibu burung itu terbang melayang kerana terperanjat melihat aku semakin hampir kepadanya. Sedangkan si anak masih bertenggek di situ tidak terbang bersama ibunya. Jelas si anak masih belum mampu terbang lagi.

Aku mempotret si anak burung itu. Comel. Tetapi dalam masa yang sama kedengaran suara bising decitan si ibu burung itu yang terbang berlegar-legar tidak jauh dari situ. Aku dapat melihat si ibu burung itu bersuara lantang seakan-akan memberi arahan kepada anaknya supaya cepat terbang melarikan diri. Tetapi si anak itu masih tetap bertenggek di situ.

Mungkin kerana bimbang anaknya diapa-apakan, si ibu burung itu terbang semakin hampir sambil menjerit nyaring. Aku beredar sedikit memberi ruang untuk si ibu itu datang kembali ke anaknya. Benar, beberapa detik kemudian aku lihat si ibu burung itu sudah bertenggek di ranting itu bersebelahan dengan anaknya. Suaranya pun sudah tidak kedengaran lagi. Aku terus membelek akhbar. Mataku terpampang ke satu berita pembuangan bayi di tandas sebuah pasaraya di Kelang. Kejam!!! Orang yang melakukan perbuatan itu sememangnya tidak berperikemanusiaan!

Burung kecil itupun sayangkan anaknya, tetapi manusia sudah tidak sayangkan anaknya sendiri!

Apakah binatang memiliki jiwa kemanusiaan dan manusia memiliki jiwa kebinatangan?

__________________________________________________________

"Hargailah setiap anugerah Tuhan kepada kita kerana setiap anugerah itu mempunyai rahsia yang perlu dicari hikmahnya"
__________________________________________________________

No comments:

Post a Comment