Pages

Feb 28, 2009

MENGHAYATI RUKUN NEGARA


SAYA mencuba sedaya upaya untuk tidak menyentuh hal-hal yang berkaitan politik. Tetapi oleh kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini membuatkan saya memaksa diri untuk menyentuh sedikit tentang topik berkenaan. Semua ini adalah kerana tekanan yang saya rasai sejak akhir-akhir ini.

Peristiwa yang benar-benar menyentuh hati saya ialah peristiwa 'serangan' beberapa Ketua Pemuda UMNO dari Selangor ke Parlimen sehingga berlakunya suasana yang amat memalukan. Saya beranggapan kejadian itu tidak seharusnya berlaku, tetapi kini ia telah berlaku dan menjadi satu sejarah yang tidak mungkin dapat dikikis lagi.

Saya tidak bercadang untuk melibatkan diri menuding jari siapa yang bersalah atau sebaliknya. Saya hanya sekadar mahu menyatakan isi hati yang menekan perasaan saya sahaja, tidak lebih dari itu.

Daripada peristiwa itu terserlahlah kepada kita betapa ada pihak yang tidak menghormati institusi yang kita hormati selama ini. Semasa saya bersekolah dahulu, kami diarahkan oleh guru-guru supaya menghafal Rukun Negara. Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Kami menghafalnya bersungguh-sungguh kerana itu adalah arahan daripada guru-guru, sehingga ada ketikanya kami terkeliru di antara rukun negara dengan rukun Islam atau rukun iman.

Begitulah, kami semasa di sekolah dahulu. Tetapi sejak sedekad dua kebelakangan ini menghafal rukun Negara sudah tidak diamalkan lagi. Pelajar-pelajar sekolah sudah tidak digalakkan menghafal dan mengingatinya dengan sepenuh hati. Jika ada sekalipun rukun Negara hanyalah tercetak di kulit belakang buku latihan sekolah sahaja. Itu hanyalah pameran bukan penghayatan. Saya yakin, Ketua-ketua Pemuda UMNO yang bertindak aggresif di Parlimen dua hari yang lalu, kemungkinannya tidak sempat melalui zaman persekolahan sezaman dengan saya dahulu. Akibatnya mereka hanya mungkin dapat menyebut setiap rukun itu sahaja tanpa menghayati makna sepenuhnya.

Kedaulatan Undang-undang yang merupakan rukun keempat daripada Rukun Negara itu kurang dihayati. Menyebutnya memanglah mudah, tetapi menghayati sepenuhnya amatlah sukar. Sebagai bakal pemimpin negara di masa muka, sewajarnya mereka menghayatinya mulai sekarang. Tidak melanggar undang-undang serta menghormati institusi yang menggubal undang-undang dan individu-individu yang dilantik sebagai penggubal undang-undang, wajarlah dihormati. Berbeza pendapat serta pandangan bukanlah bermakna kita boleh mengetepikan undang-undang. Di manakah letaknya kedaulatan undang-undang itu jika warga negara sendiri tidak menghormatinya? Samalah juga di manakah kedaulatan Raja-Raja jika rakyat sendiri tidak memartabatkannya?

Nilai-nilai murni seharusnya terpancar daripada penghayatan rukun negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan. Matlamat asalnya rukun ini diwujudkan adalah untuk melatih rakyat Malaysia menjadi rakyat yang memiliki serta mengamalkan nilai-nilai yang sopan serta bertata susila tinggi di dalam kehidupan mereka. Bukannya bersifat 'celupar' atau 'kurang ajar'!

Alangkah murni dan harmoninya Malaysia jika semua rakyat mengamalkan nilai-nilai murni yang diwarisi zaman berzaman samada melalui ajaran Islam atau adat budaya ketimuran yang tinggi dan luhur. Jika bakal-bakal pemimpin sudah tidak lagi mengamalkan sikap serta nilai-nilai murni yang sewajarnya, sudah pasti nanti watan akan menanggung akibatnya.

Siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk menjunjung tinggi Rukun Negara? Kepada para pelajar dan remaja masa kini, ambillah peristiwa hitam itu sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa-masa hadapan.

Gambar-gambar dipetik daripada Malaysiakini.com
_________________________________________

"Kesilapan yang dilakukan amat memeritkan perasaan, tetapi bertahun-tahun kemudian segala kesilapan yang dilakukan itu akan menjadi segunung pengalaman yang amat berguna sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama di dalam menjejaki puncak kecemerlangan"

2 comments:

  1. pendapat anda mengapakah rakyat masa kini kurang menghayati rukun negara....

    ReplyDelete
  2. kurang menghayati rukun negara ya kerana sebilangan generasi sekarang sudah selesa dengan kemudahan yg di mua2kan.. tidak pernah mengenal erti susah atau tidak menyingkap sejarah darurat, sejarah pertelingkahan antara kaum suatu masa dahulu.. marilah lita sama2 mendidik anak dan anak bangsa kita menmghayati rukun negara bagi mengekalkan keharmonian negara yang berbilang kaum..

    ReplyDelete