Aug 7, 2009
MENYIMPAN KATA DI SEBALIK DUKA
MENYIMPAN KATA DI SEBALIK DUKA
tiada lagi yang lebih bermakna
selain menyimpan kata di sebalik duka
biarlah diperam menjeruk sejuta rahsia
antara kita sudah terbentang jalan
pilihlah, penghujungnya pasti suatu titik jua.
kembaramu mencari aku di sini
terserpih dari kaca-kaca rindu, sekian lama
terselit pada awan malam yang sarat
mengusung air mata dan tangis dendam
seorang pencari yang belum pasti bertemu.
aku bernafas dalam lembut malam
dan kau berbisik antara kepuasan dan ketidakpastian
berselirat benang menyembunyi puncanya
jarum sudah tersedia, kain sudah terhampar
bilakah akan bermula jahitan itu?
jalin rasa pada kesongsangan waktu
sebuah lagu dengan lirik basah, nyanyikanlah
entah kenapa tiba-tiba sang biduanda
kehabisan suara kehilangan abjad
sepilah seluruh malam yang sunyi
kau mendakap album sayu dalam sendu
dan aku melakar potret seorang lelaki
berdiri antara rindu dan keliru.
Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
7 Ogos 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
tiada kata seindah bahasa
ReplyDeletepuisi adinda kekanda suka.
Masa sekolah dulu, bila sampai bab menganalisa sajak, interpretasi saya selalu tersasar dari makna sebenar bait-bait sajak itu. Guru BM masa tu memang pening dgn saya.
ReplyDeleteSedap bunyi sajak En Zaidin, sarat dgn perasaan! Benarlah...tiada kata secantik bahasa. Saya juga yg masih dungu, masih tersasar.