Pages

Jul 26, 2009

THE FIVE PERCENT RULE

HARI INI saya terbaca suatu artikel pendek yang amat menarik dan saya ingin berkongsi di sini semoga dapat memberi manfaat kepada semua yang membacanya kelak.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
HAKIKATNYA semua orang mempunyai maklumat di dalam minda masing-masing tentang apa yang ingin dicapai, tetapi kurang daripada lima peratus yang tahu bagaimana untuk mencapainya. Bertahun-tahun atau berpuluh-puluh tahun daripada usia mereka berserta ratusan ribu ringgit telah terkorban semata-mata untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan itu. Tetapi sebenarnya semua yang dicari itu sudah berada di hadapan mereka! Hanya mereka yang tidak menyedarinya.

Hal ini berlaku sepanjang masa, ramai orang gagal mencari bagaimana untuk mendapat kejayaan atau kekayaan sedangkan jawapannya sudah sedia ada di dalam diri mereka. Saya teringat suatu kisah lama tentang "Acres of Diamond".

Seorang peladang tua yang memiliki sebuah ladang yang luas telah menjual ladangnya itu semata-mata kerana terpengaruh dengan cerita tentang lombong berlian. Lalu dia mengembara ke seluruh Afrika mencari ketulan berlian seperti cerita yang didengari selama ini. Setelah sekian lama mengembara dia masih belum berjumpa dengan apa yang dicarinya itu. Dia terlalu kecewa, putus asa dan mengambil keputusan untuk tidak mencarinya lagi.

Suatu hari orang yang membeli ladang peladang tua itu telah bertemu seketul batu yang bersinar-sinar di pinggir ladangnya. Dia mengambil dan membawa balik batu itu ke rumahnya. Dia menyangka batu itu adalah sebutir kristal yang menarik. Beberapa minggu kemudian, seorang rakan mengunjunginya dan dia terus bercerita serta menunjukkan batu yang bersinar itu kepada tetamunya. Kebetulan rakannya itu adalah seorang yang pakar tentang batu batan dan sumber alam. Alangkah terperanjatnya dia apabila rakannya memberi tahu, batu itu adalah berlian terbesar yang pernah ditemui! Akhirnya ladang yang dibelinya itu bertukar menjadi lombong berlian terbesar di seluruh Afrika.

Bayangkan, pemilik asal ladang itu yang telah menjualnya dengan harapan untuk mencari lombong berlian di tempat lain sedangkan di ladang asalnya itu telah tersedia khazanah untuk menukar hidupnya menjadi seorang yang terkenal dan kaya raya!
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Begitulah di dalam kehidupan kita kini, semua orang bertungkus lumus dan bersusah payah 'keluar' mencari sesuatu jawapan yang sebenarnya sudah ada di dalam 'diri sendiri'. Hanya satu jawapan yang masih belum diluahkan dari dalam diri anda selama ini kemungkinan boleh merubah kehidupan anda buat selama-lamanya.

Carilah jawapan itu di dalam diri sendiri! Jadikanlah diri anda sebahagian daripada lima peratus orang yang mencari di dalam diri dan bukannya sembilan puluh lima peratus yang merayau mencarinya di luar sana tetapi masih belum bertemu jawapannya!
_______________________________________________

"Kenalilah potensi diri anda meskipun itu adalah paling sukar untuk anda lakukan!"
_______________________________________________

Jul 14, 2009

MARI MEMBINA KEJAYAAN

SABTU 11 Julai 2009, saya tiba di tempat yang dijanjikan jam 8.10 pagi kerana program dijadualkan bermula jam 8.30 pagi.

"Program kami sepanjang hari. Slot untuk encik yang pertama sekali, 8.30 pagi sampai 10.00 pagi. Boleh kan?", saya teringat suara pesanan dan SMS daripada cikgu R. Saya akur.

Itulah sebabnya saya tiba di tempat itu 20 minit lebih awal. Lazimnya begitulah, kerana itu akan memberikan ruang masa kepada saya menyiapkan peralatan yang diperlukan termasuk sedikit masa untuk saya menarik nafas, menenangkan perasaan sebelum saya memulakan sesi.

Tetapi sebaik sahaja saya tiba pagi itu, saya lihat suasana di bangunan tersebut sunyi sahaja. Tiada sebarang pergerakan, tiada sesiapa di situ. Wisma UMNO Bahagian Jerlun seperti tidak mengalu-alukan kehadiran saya. Kelibat guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat juga belum kelihatan. Lantas saya telefon cikgu R untuk memastikan saya tidak tersilap tempat.

"Saya baru sampai", suara cikgu R agak lelah di hujung corong telefon. Seketika kemudian saya nampak sebuah kereta membelok masuk ke perkarangan dua tingkat itu. Sah, itu kereta cikgu R. Seketika kami berbual di hadapan pintu utama bangunan itu, cikgu R membuat panggilan telefon. Kemudian dia beritahu saya motorsikal kaki tangan yang bertanggung jawab membuka pintu dewan rosak dalam perjalanan. Sementara tiga buah bas yang membawa pelajar-pelajarnya juga baharu sahaja bertolak. "Kita mula lewat sedikitlah kalau macam ni", kata cikgu R seperti sedikit terkilan. Jam 9.30 pagi baharulah sesi pertama bermula. Dan saya membawa topik Mari Membina Kejayaan untuk dikongsi bersama 120 pelajar Tingkatan 5 SMKTB, Kodiang pada pagi itu.

* * * * * * * *
APAKAH itu kejayaan? Apakah kayu ukurnya? Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada kejayaan?

Itulah di antara persoalan-persoalan yang saya lontarkan kepada para pelajar. Pada mata umum, kejayaan itu dinilai dari segi pencapaian tertinggi atau kelulusan akademik terbaik atau kebolehan yang dibanggakan. Bagi seseorang pelajar nilai kejayaan adalah lebih terarah kepada pencapaian akademiknya. Soalan berapa 'A' yang diperolehi adalah soalan lumrah untuk mengetahui tahap kejayaan seseorang pelajar.

Namun nilai kejayaan tidak hanya tentang pencapaian akademik semata-mata. Kajayaan manusia merangkumi ketinggian siasah, kebolehan dan kemahiran (soft skills) serta pencapaian di dalam aspek-aspek lain. Budi bahasa yang tinggi, sikap positif, perlakuan terpuji juga menyumbang kepada kejayaan seseorang itu. Tidak bermakna jika seseorang itu hanya mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang akademik semata-mata tetapi tidak cemerlang di dalam aspek-aspek lain.

Faktor yang paling penting ialah perubahan sikap di dalam diri orang itu jika dia mahu mencapai kejayaan. Dia perlu mengubah sikapnya kepada positif dengan menolak serta menepis sikap-sikap negatif yang akan meruntunnya jauh daripada kejayaan. Dia perlu memiliki keinginan yang tinggi dengan semangat berkobar-kobar untuk mencapai kejayaan tanpa menyerah kepada rasa kecewa atau putus asa. Selain daripada itu, matlamat untuk berjaya perlu jelas dan terarah. Tanpa matlamat, tidak mungkin seseorang itu akan mengecap nikmat kejayaan!

Pengorbanan amatlah perlu untuk membina kejayaan. Para pelajar perlu korbannya segala perlakuan dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada kejayaan. Lebihkan tumpuan kepada matlamat untuk mencapai kejayaan. Kurangkan atau tinggalkan aktiviti-aktiviti yang merugikan masa, tenaga dan wang ringgit, seperti bermaian permainan komputer atau berlepak di tempat-tempat awam dan sebagainya. Elakkan daripada menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi faedah dan tidak membantu untuk berjaya.

Pilih rakan yang sentiasa memberi semangat untuk berjaya. Pilih rakan-rakan yang dapat membantu dan saling tolong menolong untuk sama-sama mengejar kejayaan. Tinggalkan rakan-rakan yang tidak gemarkan kejayaan, tinggalkan mereka jauh-jauh. Biarlah mereka berjalan dengan kelekaan dan janganlah kita menjadi mangsa mereka!

Kepada para pelajar sekalian ingatlah, tiada siapa yang akan dapat membantu anda berjaya. Hanya andalah sahaja yang dapat merancang dan berusaha untuk berjaya. Jangan diharapkan sesiapa tetapi percayalah kepada diri sendiri dan yakin dengan kebolehan diri. Kejayaan hanya akan tiba kepada orang yang berusaha.
___________________________________________
"Tidak ada orang yang tidak mahu berjaya, tetapi ramai orang yang tidak berjaya kerana mereka tidak mempunyai matlamat untuk berjaya"
___________________________________________

Jul 10, 2009

SETELAH TERCALAR

SETELAH sekian lama tercalar, terluka dan berdarah, hari ini ia dikembalikan ke pintu rumah ibunda. Diserahkan kembali untuk dijahit, dirawat dan disemarakkan kembali. Memperkasakan ia bukanlah tugas berat, tetapi tugas itu pasti menjadi teramat mudah jika ia tidak tercalar, terluka dan berdarah sekian lama.

Kita terima kembali, meskipun dengan pedih hati. Suara jerit sekian lama mungkin terubat. Luka juga mungkin akan sembuh. Tetapi tentu sekali parutnya pasti tidak akan hilang.

Episod PPSMI sudah tiba ke penghujungnya. Tahun 2012 akan mencatat sejarah baharu, Sains dan Matematik kembali diajar di dalam bahasa ibunda, tidak lagi di dalam bahasa Inggeris.

Tetapi alangkah eloknya jika jumlah mata pelajaran yang boleh diambil para pelajar di dalam SPM tidak hanya terhad kepada 10 sahaja.

Jul 2, 2009

PENDIDIKAN vs EKONOMI

ANTARA pendidikan dan ekonomi, mana yang lebih penting?

Persoalan ini sering timbul dan diperkatakan, terutama sewaktu para pelajar menerima tawaran menyambung pelajaran ke IPT. Pada musim begini, dua persoalan ini tidak lekang di fikiran para ibu bapa sekalian, terutama ibu bapa yang di luar bandar dan pendalaman.

Persoalan ini pasti bergumpal di sanubari ibu bapa yang berada pada tahap ekonomi rumah tangga yang rendah. Ibu bapa yang miskin, berpendapatan kecil, ramai anak-anak yang sedang belajar serta mempunyai tanggung jawab yang berat. Sudah tentu persoalan ini menghantui jiwa dan fikiran mereka sama ada secara sedar atau pun tidak.

Apabila permohonan anak-anak melanjutkan pelajaran ke IPT telah berjaya, ibu bapa perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk yuran pendaftaran dan sebagainya seperti yang disyaratkan oleh IPT berkenaan, paling rendah jumlahnya mencecah RM1,000. Itu belum termasuk persiapan-persiapan lain seperti pakaian dan keperluan-keperluan peribadi yang lain. Mungkin sekitar RM 1,000 lagi diperlukan. Ini bermakna sekitar RM2,000 perlu dilaburkan pada peringkat awal sebelum anak mereka dapat memulakan pengajian di IPT.

Bukan itu sahaja, bagi keluarga yang tinggal jauh daripada IPT yang menawarkan tempat kepada anak mereka, perbelanjaan lain mungkin diperlukan. Ibu bapa tentu sekali mahu meraikan kejayaan anak mereka dengan menghantarnya semasa hari pendaftaran, terutama jika anak yang berjaya itu adalah anak sulung mereka ataupun satu-satunya anak yang berjaya ke IPT. Tentulah perbelanjaan lain perlu dikeluarkan. Jumlah wang yang diperlukan bukanlah hanya RM2,000 sahaja, malah mungkin menjadi RM3,000 atau lebih.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, mengeluarkan RM3,000 bukanlah satu masalah besar. Tetapi bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah, miskin dan tinggal jauh daripada IPT berkenaan, mengeluarkan sejumlah itu amatlah memeritkan.

Beberapa hari lepas saya bertemu seorang rakan lama di sebuah bank. Dia menemani anak saudaranya yang mahu membuat pembayaran memasuki IPT di ibu kota. Dia memberitahu saya, abang iparnya tidak mempunyai pendapatan tetap, hanya bekerja sambilan mengambil upah di kampung. Kakaknya pula seorang suri rumah yang tiada berpendapatan. Anak saudaranya itu adalah anak sulung yang cemerlang di dalam pelajarannya.

"Kalau tidak sambung belajar, rugilah sebab dia lulus cemerlang. Tapi ayah dan emaknya memang tidak mampu", ujar rakan lama saya itu.

"Mujurlah bapa saudaranya ini boleh membantu", saya memberikan sedikit penghargaan kepadanya.

"Saya pun kerja kilang sahaja, pendapatan tidak seberapa. Mujurnya anak-anak saya masih kecil lagi. Masih belum memerlukan perbelanjaan yang banyak. Lagipun saya kasihankan kakak dan abang ipar saya itu", balasnya merendah diri. "Harapan saya suapaya anak saudara saya ini dapat belajar sehingga berjaya nanti boleh membantu emak dan ayahnya".

Tetapi tidak mustahil ada ibu bapa yang tidak dapat mengeluarkan perbelanjaan untuk anak mereka ke IPT. Oleh kerana kesempitan hidup mereka terpaksa memilih pendidikan atau ekonomi keluarga. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada ibu bapa yang mengambil jalan mudah, tidak membenarkan anak mereka melanjutkan pendidikan. Mereka lebih rela anak mereka mencari pekerjaan untuk menampung keperluan ekonomi keluarga dan meringankan beban ekonomi keluarga mereka.

Dalam keadaan sedemikian, tentu sekali anak itulah yang menjadi mangsa. Peluang untuk lebih berjaya tidak kesampaian serta masa depannya terjejas. Sekaligus peluang memperbaiki ekonomi diri dan keluarga juga akan terbantut.

Tetapi di dalam apa keadaan sekalipun, kita amat berharap agar pendidikan tidak akan dikomersialkan keterlaluan sehingga ia menjadi komoditi ekonomi semata-mata. Jika itu berlaku ia akan menyebabkan lebih banyak golongan berpendapatan rendah akan tersisih daripada mendapat peluang pendidikan tinggi yang lebih sempurna.
___________________________________________________
"Nilai seseorang insan ialah pada ketinggian ilmu pengetahuannya. Dengan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dapat menjamin masa hadapan yang cemerlang"
___________________________________________________