Pages

Apr 22, 2008

BERUBAH SIKAP

Berubah daripada sikap negatif kepada sikat positif amatlah baik. Namun perubahan itu tidak semudah disebut. Ia mungkin memakan masa yang cukup lama, malah mungkin bertahun-tahun lamanya.

Tetapi apa yang penting ialah kesedaran dan kesungguhan. Jika tidak ada kesedaran untuk berubah, kesungguhan pasti tidak akan timbul. Kesedaran cuma akan lahir di dalam hati dan perasaan orang itu sahaja.

Biar apa sekalipun alasannya, kesedaran untuk berubah itu perlu lahir terlebih dahulu. Kesedaran itu haruslah lahir daripada hati yang jujur. Tanpa kejujuran, perubahan itu hanyalah kosmetik.

Perubahan sikap berlaku kepada semua orang: tua, muda, lelaki, perempuan. Tetapi tahap perubahan itu yang mungkin berbeza. Perubahan sikap pada orang tua mungkin lebih lambat terjadi jika dibandingkan dengan perubahan sikap remaja. Orang tua yang sikapnya sudah sebati dengan kehidupan mungkin sukar berubah. Remaja yang terdedah kepada segala kecanggihan teknologi masa kini mungkin lebih mudah melakukan perubahan. Tambahan pula jika remaja itu memang mahukan perubahan di dalam dirinya.

Lazimnya perubahan berlaku apabila seseorang itu ditimpa sesuatu musibah berat. Pengalaman pahit yang dilalui boleh mendorong kepada berlakunya perubahan sikap. Daripada sikap negatif kepada sikap positif.

Namun, tidak dapat disangkal ada juga perubahan sebaliknya berlaku ke atas seseorang manusia. Semua itu bergantung kepada kesedaran dan kesungguhannya untuk berubah.

Tetapi jika anda ingin berubah, lebih baiklah berubah daripada sikap yang negatif kepada sikap positif kerana lebih banyak kebaikan yang akan anda nikmati.

No comments:

Post a Comment