Pages

Jun 6, 2012

SAYONARA PIALA THOMAS

SUDAH agak lama saya tidak menulis di blog ini. Masa terlalu suntuk di tambahi bebanan tugas dan tanggung jawab yang semakin menggunung. Lagi pula tidak ada perkara yang benar-benar menyentuh hati saya untuk saya tuliskan.

Tetapi hari ini ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Suatu perasaan yang tidak semena-mena menggetar perasaan, yang bagai diminta-minta supaya saya luahkan. Saluran lain sudah tentu tidak akan mendapat perhatian, melainkan di blog ini sahajalah.

Saya ingin menulis tentang sukan badminton. Ia satu jenis sukan yang mendapat tempat di hati rakyat negara Malaysia sejak sekian lama. Walaupun saya sendiri tidak begitu berminat dengan sukan ini malah jarang mengikuti perkembangannya, tetapi hari ini terasa ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama-sama pembaca. Apatah lagi apabila saya membaca komentar seorang bekas pemimpin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai kemerosotan sukan tersebut sejak akhir-akhir ini.

Bekas Presiden BAM Tan Sri Elyas Omar telah menyuarakan rasa terkilannya di dalam akhbar Harian Metro pada hari ini (Metro Edisi Utara: m/surat 60 : Arena), bahawa BAM tidak layak diberi peluang kedua kerana sudah terlalu kerap mengulangi kegagalan. Beliau yang memimpin BAM sehingga menjulang Piala Thomas tahun 1992 mengatakan BAM seharusnya bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan (responsible and accountable) terhadap prestasi pasukan yang semakin tidak ketahuan sekarang ini.

Saya dapat rasakan betapa kecewanya Elyas melihat prestasi pasukan badminton Malaysia yang dihambat kegagalan demi kegagalan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Sudah tentu sebagai orang kuat BAM suatu ketika dahulu, beliau tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Setidak-tidaknya beliau merasakan apa yang pernah dirancangkan dahulu tidak dilaksanakan sekarang.

Saya sendiri melihat kemelut di dalam sukan ini semakin meruncing. Malaysia yang suatu ketika dahulu merupakan kuasa dunia (world power) kini semakin tergugat. Bilangan kemenangan sudah beransur kurang dan yang lebih menyedihkan pemain-pemain Malaysia tewas kepada pemain-pemain negara lain yang jauh lebih rendah 'rangking'nya di dunia.

Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Hanya orang-orang di dalam BAM yang dapat memberitahu apakah sebenarnya yang melanda persatuan sehingga menyebabkan prestasi permainan semakin merudum. Orang luar hanya dapat menelah dan mengandaikan apa-apa sahaja, termasuklah bekas Presiden BAM sendiri!

Tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya juga ingin tahu hal yang sebenarnya yang menyebabkan kemerosotan sukan badminton sejak akhir-akhir ini. Sebagai rakyat yang mahu melihat Malaysia merangkul kejayaan demi kejayaan di pentas dunia, sudah tentu saya tidak dapat menerima alasan-alasan yang remeh dan meloyakan!

Malaysia sudah terlepas peluang untuk merampas Piala Thomas pada kali ini. Ini bermakna harapan rakyat untuk melihat Malaysia muncul kembali di persada dunia sebagai pasukan rasaksa turut terkubur. Malaysia tewas di peringkat suku akhir sahaja! Dan yang lebih malang pemain utama negara Lee Chong Wei (Datuk) tersadai akibat kecederaaan pada kaki kanannya. Alangkah malangnya Malaysia!

BAM harus membuka mata, membuka minda dan menerima teguran-teguran daripada pelbagai pihak yang cintakan sukan badminton serta mahukan Malaysia bangkit semula sebagai pasukan elit yang terkemuka. Perancangan perlu dilakukan dengan segera. Bukan itu sahaja BAM perlu menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk memperkemaskan lagi pasukan negara.

Pemain-pemain muda yang berpotensi tidak perlu diperap atau disimpan lebih lama. Mereka perlu diberikan pendedahan di peringkat antara bangsa yang lebih mencabar. Jangan dibiarkan potensi mereka terbuang dengan sia-sia. BAM perlu bertindak dengan lebih pro-aktif dan agresif lagi untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai persediaan di masa hadapan. Lihat sahaja pasukan China contohnya, barisan pemain mereka silih berganti. Ada sahaja pemain-pemain muda yang diketengahkan dan itu membina keyakinan diri pemain-pemain tersebut. Sedangkan Malaysia seperti ketandusan pemain-pemain muda yang berpotensi. Atau pemain-pemain itu disimpan di dalam peti sejuk beku?

Lihat apa yang berlaku sekarang, apabila Chong Wei sudah tidak dapat bermain, pasukan Malaysia seperti kehilangan arah. Sampai bila BAM mahu mengharapkan tenaga dan kederat Chong Wei? Tidak berapa lama lagi pasti dia akan menggantung reketnya. Apakah pada masa itu baharu BAM mahu mencari dan menggilap bakat-bakat baharu?

Kata Tan Sri Elyas Omar lagi, "pemergian Rexy dan Yong-sung adalah satu petanda buruk. Apa yang berlaku sebenarnya? Situasi ini berlaku ibarat api dalam sekam, siapa yang merancang kita tidak tahu, mereka bersembunyi".

Jelas tokoh yang menjulang badminton Malaysia suatu waktu dahulu amat kesal apabila beliau menyelar sikap BAM mengenai isu kejurulatihan sehingga dua orang jurulatih bertaraf dunia itu meletak jawatan menjelang saingan Sukan Olimpik, London pada bulan hadapan. Harapan untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik juga turut terjejas. Tidak lama dahulu jurulatih Misbun Sidek (Datuk) juga turut meletak jawatan.

Sehingga kini kita sudah ucapkan Sayonara Piala Thomas. Apakah pingat emas Olimpik juga akan turut terlepas?

Apr 20, 2012

PTPTN DAN MASA DEPAN BANGSA


ISU PTPTN kini hangat diperdebatkan. Ada pihak yang sanggup menganjurkan sesi debat di antara wakil-wakil parti pemerintah dan parti pembangkang untuk berhujah tentang isu berkenaan. Pada ketika saya menulis ini, sebilangan mahasiswa sedang berkhemah di Dataran Merdeka, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sebagai menyatakan pendirian mereka mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Keadaan menjadi lebih hangat lagi apabila awal pagi semalam, diberitakan 40 orang individu tidak dikenali telah menyerang mahasiswa yang berkhemah di tempat berkenaan.

Tuntutan yang disuarakan mahasiswa tersebut adalah suara generasi masa kini yang merasa PTPTN perlu dimansuhkan dan kerajaan sepatutnya menyediakan pendidikan secara percuma kepada rakyat. Itu motif perjuangan mereka. Tetapi suara-suara politik begitu galak memberikan pelbagai tafsiran mengenai isu berkenaan. Pihak pembangkang menyatakan jika mereka menang pilihan raya akan datang, PTPTN akan dihapuskan. Manakala pihak kerajaan pula menegaskan jika PTPTN dihapuskan negara akan muflis.

Apabila dilihat menggunakan kaca mata politik, tentu sekali akan ada perbezaan pendapat. Masing-masing mempunyai alasan kenapa mereka menyokong atau membantah isu yang berbangkit. Namun, rakyat tidak sepatutnya dikelirukan tentang kedudukan sebenar PTPTN ini. Pihak kerajaan yang melahirkan institusi PTPTN ini perlulah memberikan penjelasan yang telus mengenainya. Tidak perlu berselindung di sebalik sebarang alasan kerana ini akan melibatkan masa depan bangsa.

Semantara itu pihak pembangkang juga harus membuat kajian mendalam sekiranya PTPTN dimansuhkan nanti, mampukah pendidikan diberikan secara percuma kepada anak bangsa?

Manakala rakyat pula seharusnya bijak membuat keputusan kerana pilihan rakyat akan menentukan masa depan bangsa sendiri.

Secara zahir apa yang dapat dilihat sejak PTPTN diwujudkan sehingga kini, seramai 1.9 juta pelajar telah menikmati manfaat pinjaman yang diberikan oleh PTPTN untuk mereka melanjutkan pengajian di institutsi pengajian tinggi di dalam negara, sama ada awam atau swasta. Jumlah 1.9 juta orang itu bukanlah satu bilangan yang kecil. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa dengan adanya pinjaman PTPTN itu 1.9 juta orang anak bangsa telah dapat melanjutkan pengajian mereka. Bilangan itu akan semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Apa tidaknya, sebaik sahaja keputusan SPM atau STPM diumumkan, para pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke mana-mana IPT akan menerima sekeping cek RM1,500-00 sebagai bayaran pendahuluan bagi membolehkan urusan pendaftaran di IPT dilakukan. Dengan kemudahan yang sampai ke rumah masing-masing itu, tentulah tidak akan ditolak. Tetapi apabila surat perjanjian diserahkan untuk ditanda tangani, baharulah masing-masing sedar bahawa terdapat pelbagai syarat yang dikenakan, termasuklah tindakan undang-undang jika pinjaman itu tidak dilunaskan kemudiannya.

Surat cara itu bukan sahaja perlu ditanda tangani oleh para pelajar (peminjam) malah oleh dua orang penjamin yang lazimnya terdiri daripada ayah dan ibu atau ahli keluarga terdekat. Ini bermakna penjamin-penjamin tersebut juga terlibat bertanggung jawab sekiranya peminjam gagal melunaskan pinjamannya kelak. Hanya jika peminjam berjaya memperolehi kejayaan cemerlang di dalam pengajiannya, baharulah pinjaman itu ditukarkan menjadi biasiswa dan tidak perlu lagi dibayar balik kepada PTPTN.

Senario inilah yang perlu diperdebatkan. Jika pinjaman PTPTN itu tidak ditawarkan secara terus kepada para pelajar tetapi mereka perlu membuat permohonan, wajarlah dikenakan pelbagai syarat tersebut. Tetapi oleh kerana tawaran itu dihulurkan tanpa sebarang permohonan, ia seolah-olah menyuapkan 'racun' yang disalut manisan ke dalam mulut para pelajar. Tentu sekali sukar untuk mereka dan para ibu bapa menolaknya. Keadaan hanya bertukar menjadi perit setelah manisan itu habis dan meninggalkan 'racun' di dalam kerongkong. Mahu tidak mahu pada ketika itu, ia sudah tidak dapat diluah lagi kecuali menelannya.

Seperkara lagi yang perlu diperdebatkan ialah, bebanan yang harus dipikul oleh para graduan selepas mereka tamat pengajian. Bagi mereka yang mudah mendapat tawaran pekerjaan dengan pendapatan lumayan, tidak sukar untuk melangsaikan hutang pinjaman PTPTN tersebut. Tetapi bagi mereka-mereka yang tidak mendapat pekerjaan tetap dengan pendapat lumayan, membayar balik pinjaman tersebut amatlah memeritkan. Kos sara hidup semakin meningkat saban waktu. Bagi mereka yang baharu hendak memulakan kehidupan akan terasa bebanan untuk menjelaskan hutang. Mereka sudah menanggung hutang seawal mereka bergelar graduan! Siapakah yang membuatkan mereka terjebak ke dalam kancah hutang itu? Tentulah PTPTN! Dan hal ini tidak mungkin dapat disangkal lagi.

Benar, hutang mesti dilunaskan. Bukan sahaja ia termaktub di dalam perjanjian pinjaman, malah di dalam ajaran agama sekalipun, hutang wajib dilangsaikan. Namun, keadaan yang begitu menekan para graduan menjadikan mereka tidak mampu melangsaikan hutang tersebut, walaupun secara beransur-ansur. Akibatnya nama mereka di'senaraihitamkan' pihak berwajib sekaligus menyekat kebebasan mereka pada masa hadapan. Siapakah yang rugi? Pastinya, bangsa kita akan rugi!

Bagi generasi terdahulu yang kini dalam usia emas, zaman mereka belajar dahulu tidak ada PTPTN. Mereka belajar sehingga ke peringkat universiti tanpa sebarang pinjaman. Malah kerajaan menyediakan biasiswa, baik biasiswa negeri atau pun biasiswa persekutuan. Mereka belajar dengan sempurna dan kini berjaya menjawat jawatan-jawatan tinggi baik di sektor kerajaan ataupun swasta. Mereka bebas daripada hutang sebaik sahaja tamat pengajian masing-masing. Mereka membina kehidupan dengan tenang dan bebas hutang. Kenapa keadaan seperti itu tidak boleh diwujudkan kembali di Malaysia?

Rasanya tidak ada siapa yang akan menuduh kita mundur jika berpatah balik kepada sistem pendidikan percuma untuk rakyat negara kita. Daripada peringkat pra-sekolah sehingga tamat pengajian ijazah sarjana muda di universiti sepatutnya diberikan secara percuma kepada semua anak bangsa yang layak. Pihak universiti pula tidak seharusnya mengenakan yuran pengajian yang tinggi sehingga menafikan para pelajar dari golongan miskin untuk mendapat peluang belajar. Pada masa kini, hanya UiTM sahaja yang mengenakan yuran pengajian yang rendah dan mampu dibayar, sedangkan univerisiti-universiti lain yurannya adalah jauh lebih tinggi. Itu tidak termasuk universiti-universiti swasta yang bercambah di negara kita pada masa ini yang mengenakan yuran pengajian yang berlipat kali ganda tingginya daripada universiti-universiti awam.

Apa yang menyedihkan ialah anak bangsa kita sudah ditambah dengan jerut hutang seawal usia mereka, lantas menjadikan mereka terikat dan terpasung tanpa banyak kebebasan. Bilangan mereka akan meningkat setiap tahun dan kerumitan ini akan lebih kusut jadinya. Ayuh, segeralah kita sedar perkara ini dan perbetulkan demi kelangsungan bangsa di hari muka.

Mar 17, 2012

RM700 UNTUK SATU TUGAS?

TERKEDU saya mendengar berita terkini tentang tuntutan bayaran gaji minima RM700 sebulan untuk pembantu rumah warga Indonesia yang mahu diambil bekerja di Malaysia. Tambahan pulan jumlah tersebut hanya untuk satu tugasan sahaja!

Maknanya, jika pembantu rumah tersebut diambil sebagai tukang masak, dia hanya akan memasak sahaja, tugas-tugas lain di rumah majikannya tidak akan dilakukan. Begitulah juga jika dia diambil bekerja sebagai penjaga bayi, anak-anak lain di dalam rumah majikannya tidak akan dijaganya. Kalau dia hanya ditugaskan sebagai pembasuh pakaian, pasti nanti kebersihan pakaian sahajalah yang akan dijaga, tempat-tempat lain tidak akan dibersihkannya.

Nampaknya sehingga kini pembantu rumah Indonesia sudah mula 'meletakkan harga' dan 'meletak syarat' kepada warga Malaysia yang terdesak dan amat memerlukan khidmat mereka. Ini sudah keterlaluan kerana 'harga' tersebut amatlah tinggi kerana kebanyakan warga Malaysia yang memerlukan khidmat 'bibik' adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan sederhana. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin itu tidak menjadi masalah, kerana mereka berkemampuan menggaji beberapa orang 'bibik' pada satu-satu masa.

Bagi sepasang penjawat awam yang jumlah pendapatan bersama suami isteri lebih kurang RM7,000 sebulan misalnya, untuk membayar 10% daripada pendapatan mereka kepada seorang 'bibik' untuk satu tugasan sahaja, amatlah besar jumlahnya. Mereka sudah tentu tidak mampu menggaji seorang 'bibik' lain untuk menguruskan anak-anak mereka yang berkemungkinan di antara 3-4 orang ramainya.

'Harga' yang diletakkan oleh pihak berkuasa Indonesia itu terlalu tinggi dan perlu dikaji semula. Pihak Kementerian Sumber Manusia Malaysia juga perlu benar-benar mengkaji perkara ini dengan memikirkan bebanan yang akan ditanggung oleh rakyat jika 'harga' tersebut diterima pakai. Bukan itu sahaja, warga Malaysia juga perlu mengkaji semula menggaji 'bibik' dari Indonesia jika tawaran sedemikian tidak dapat dikompromikan.

Jika pada tahun-tahun 70-an dahulu, isu pembantu rumah tidak timbul malah tidak sesukar sekarang. Dahulu rata-rata pembantu rumah terdiri daripada rakyat tempatan dengan bayaran yang mengikut kesesuaian dan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja. Tidak ada sebarang cerita negatif tentang pembantu rumah ketika itu, sama ada kisah pembantu rumah melarikan diri, mencuri dan melarikan hakmilik majikan, melarikan anak majikan dan sebagainya. Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara sedemikan makin menjadi-jadi?

Serupa juga dengan kisah-kisah penderaan majikan ke atas pembantu rumah. Jika dahulu kisah-kisah sedemikan tidak kedengaran, kini kerap timbul laporan-laporan seumpama itu. Di mana silapnya? Siapa yang perlu disalahkan?

Mungkin kerana beberapa kes penderaan oleh majikan ke atas pembantu rumah yang berlaku dan telah dibesar-besarkan, ia menyebabkan pihak sebelah sana terpaksa 'meletakkan harga' sedemikian bagi menjaga kebajikan warga mereka yang bakal bekerja di sini. Sebenarnya semua pihak mengecam tindakan kejam segelintir majikan berhati binatang seperti itu. Tetapi dengan 'harga' sedemikian pasti akan membebankan majikan di sini yang benar-benar jujur memerlukan khidmat 'bibik'.

Walau bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia pihak Kementerian masih belum menerima secara rasmi sebarang usul Kerajaan Indonesia berhubung gaji minima RM700 tersebut. Sehingga kini terma-terma di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua Kerajaan masih belum ada sebarang pindaan dan semua terma seperti yang dipersetujui pada bulan November tahun lepas masih kekal.

Bagi mengurangkan bebanan rakyat yang memerlukan pembantu rumah warga asing, rasanya sudah sampai masa dan ketikanya, Kerajaan menyediakan pusat asuhan bayi dan kanak-kanak di setiap pejabat kerajaan. Ini akan memudahkan penjawat awam mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing. Bagi mendapatkan kaki tangan berkelayakan mungkin tidak menjadi masalah lagi kerana dewasa ini sudah banyak institusi pengajian yang menyediakan kursus-kursus berkaitan seperti Diploma Penjagaan Awal Kanak-kanak atau Diploma Penjagaan Kanak-kanak. Bilangan pemegang sijil dan diploma sudah mula memenuhi pasaran tenaga kerja.

Kenapa tidak ditawarkan kerja kepada pemegang-pemegang sijil atau diploma berkenaan? Mereka semua adalah warga negara kita sendiri. Di samping memberikan peluang pekerjaan kepada mereka, ibu bapa yang merupakan penjawat awam juga akan lebih tenang bekerja kerana masalah penjagaan bayi dan anak-anak mereka lebih terjamin.

Perkara utamanya sekarang ialah kerajaan perlu menyediakan pusat penjagaan bayi dan asuhan kanak-kanak di setiap pejabat dengan segera.

Feb 8, 2012

TIDAK SESUKAR MANA

BUKANNYA sukar untuk mengenali seseorang. Tidak susah untuk anda mengetahui peribadi seseorang itu walaupun hanya mengenalinya dalam waktu yang singkat.

Mungkin orang akan berkata itu hanyalah kenyataan retorik semata-mata. Namun hakikatnya begitulah. Jika anda benar-benar mengetahui teknik dan caranya, anda pasti akan dapat mengenali kenalan baharu anda itu dalam tempoh yang singkat.

Peribadi seseorang akan terserlah melalui gerakan di beberapa bahagian tubuhnya. Ia dikenali sebagai 'Bahasa Tubuh' atau 'Body Langguage'. Perhatikan gerakan-gerakan tersebut dengan teliti, anda pasti akan dapat mengenalinya.

Sebetulnya tidak sesukar mana untuk memahami bahasa tubuh seseorang. Gerakan-gerakan yang berlaku atau dilakukan oleh orang itu mencerminkan sikapnya. Biar gerak tangan, gerak bibir, gerak mata atau gerak jarinya sekalipun, kesemua itu memberi gambaran terhadap sikapnya. Sikap diri itu memberi makna tentang peribadi orang tersebut.

Anda harus kerap melihat setiap gerak tubuh seseorang dengan penuh teliti, menghalusi dan mentafsirnya. Tafsiran yang diberikan tidak semestinya tetap seratus peratus, namun lebih daripada 80 peratus adalah benar.

Tetapi awas, jangan pula melihat susuk tubuhnya! Itu amat membahayakan!

Jan 6, 2012

AWAL TAHUN BAHARU

Gambar hiasan : Dipetik daripada portal rasmi JAKIM


AWAL Tahun 2012 ini telah ditandai dengan berita sedih, kematian salah seorang ahli keluarga. Dia adalah suami kepada anak saudaraku.

Tepat 6.45 pagi awal tahun dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat penyakit kencing manis yang kronik. Dua hari sebelum itu aku bersama isteri dan dua orang anakku sempat melawatnya di rumahnya di Kampung Sakan, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar. Masa itu dia sudah tidak berdaya, hanya terbaring di atas katil di tengah rumahnya.

Dua bulan sebelum itu dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada sama tarikh kereta Kancil milik isteriku dicuri. Beberapa hari di wad, doktor tidak dapat menyelamatkan keadaan kaki kanannya melainkan terpaksa memotong di paras pangkal paha kerana tahap penyakitnya yang terlalu serius. Setelah dua bulan terlantar di hospital, keadaannya menunjukkan tanda-tanda positif sehinggalah doktor membenarkan dia dikeluarkan daripada hospital. Tetapi hanya tiga hari di rumah, dia diserang sesak pernafasan dan dihantar semula ke hospital. Doktor terus memasukkannya ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Dia hanya bertahan genap sehari.

Sesungguhnya pada setiap kematian itu ada iktibar yang dapat dikutip. Ada keinsafan yang dapat dirasai. Ada kesyukuran yang harus memenuhi jiwa.

Dia sudahpun tiba ke titik akhirnya di dunia fana ini. Dia sudah dijemput kembali ke kampung asalnya di sisi Allah s.w.t. Namun bagi kita yang masih lagi berkelana dan bermusafir harus segera insaf bahawa detik kita akan tiba jua akhirnya. Suatu hari suatu waktu akan datang entah bila, kematian akan tiba menamatkan hayat di dunia ini.

Persoalannya apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi detik itu? Biar apa pun punca kematian kita nanti, itu hanyalah kebetulan. Sedangkan hakikatnya, detik kematian kita sudah ditentukan Allah s.w.t sejak Azali lagi. Ketentuan itu tidak mungkin dapat dirombak.

Sesudah kematiannya, isteri dan anak-anak tentu merasa kehilangan. Bersedih untuk sekian waktu sehingga keadaan kembali pulih. Namun, kehidupan mesti diteruskan. Yang meninggal sudah pasti tetapi yang hidup masih belum ada kepastiannya. Mereka harus segera menerima hakikat ketentuan Allah s.w.t selain bersyukur kerana kematian orang yang mereka sayang itu berlaku dengan mudah dan urusan pengkebumiannya berjalan dengan lancar.

Selepas ini mereka mesti bangkit daripada kesedihan dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa tulang belakang keluarga. Namun bagi Saodah, dia mesti bersyukur kerana masih mempunyai dua orang anak lelaki yang sudah dewasa untuk menjadi dahan semangat tempat dia berpaut.

Manakala untuk Syazwan dan Nazirul, mereka harus berubah. Mereka perlu segera menjadi dewasa dan matang di dalam setiap tindak tanduk. Berusaha dengan gigih untuk menyekolahkan adik bongsu mereka, Siti supaya dapat mengubah keadaan keluarga pada masa hadapan.

Anggaplah semua musibah adalah dugaan Allah s.w.t yang akan menjadikan kita lebih gigih, matang dan tabah.

Alfatehan buat Allahyarham Khalid bin Mat.