Pages

Feb 22, 2011

MEMBINA PENGEMBANGAN MINDA ANAK-ANAK

ANTARA cara yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menidurkan anak-anak kecil mereka ialah dengan mendodoikan lagu atau bercerita. Ibu-ibu terutamanya sewaktu mahu menidurkan anak sama ada di dalam buaian ataupun di atas tilam, lazimnya mendodoikan anak-anak mereka dengan lagu-lagu tertentu.

Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan penting sewaktu menidurkan anak-anak. Mereka boleh membacakan kisah atau cerita daripada buku atau memainkan kaset rakaman kisah klasik kepada anak-anak yang mahu tidur.

Menurut seorang pelatih korporat, Ronny M Cole, perkara ini secara tidak langsung akan menggalakkan perkembangan minda anak-anak serta mewujudkan kasih sayang antara mereka dan ibu bapa. Membacakan kisah daripada buku adalah bagus dan ia salah satu cara paling mudah. Contohnya, mereka dapat menggunakan kisah teladan untuk memberi panduan kepada anak-anak agar mereka menjadi gembira dan lebih produktif. Mencipta kisah yang hebat dan menarik akan menukar waktu tidur anak-anak anda kepada aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan.

Menurutnya, kisah daripada buku cerita yang ditulis khas itu boleh membantu anak-anak mengenal pasti emosi yang mereka alami sepanjang hari sambil membawa kepada fokus kegembiraan yang mereka rasai.

"Apabila kali pertama anda mencuba, anda akan berasa agak sukar kerana kisah yang anda rekakan itu tidak menarik perhatian anak anda. Menceritakan kisah sendiri lebih menyebabkan anda terlibat dan sering meletakkan diri anda sebagai subjek. Namun sama ada anda mula bercerita dengan baik atau sebaliknya, anak-anak anda akan membesar dengan menyukai cerita yang anda reka bersama mereka," jelasnya.

Cole menegaskan aktiviti itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama sebulan sebelum anda dapat merasai kesannya. Selepas sebulan, anda akan mengetahui sama ada anak anda menyukainya atau mendapat sesuatu pengajaran daripada kisah yang anda ceritakan. Setelah itu, anda juga boleh menyelitkan kisah-kisah pengajaran mengenai moral, sains dan apa sahaja yang anda inginkan.

Ibu bapa yang bercerita kepada anak-anak sebelum tidur membawa kesan jangka panjang yang positif dalam diri masing-masing. Salah satunya ialah ibu bapa akan belajar menjadi kreatif dan secara tidak langsung membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih profesional. Lebih banyak anda bercerita, anda akan menjadi lebih kreatif dalam setiap perkara yang dilakukan. Anda akan dapati idea-idea baru muncul di fikiran anda setiap masa. Manakala kebaikan untuk anak-anak pula ialah mereka turut mempelajari perkara baru dan menjadi lebih aktif dalam proses pembelajaran berdasarkan kreativiti.

Bagi sebuah keluarga Islam umpamanya, membacakan kisah-kisah Nabi, keluarga serta para sahabat sudah tentu akan dapat menimbulkan rasa kecintaan terhadap Nabi s.a.w di dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Lantaran itu jiwa keislamannya akan tumbuh segar setelah mereka membesar.

Oleh itu ibu bapa Muslim perlulah mengamalkan kaedah membaca kepada anak-anak sewaktu menidurkan mereka sebagai satu kaedah pengajaran yang berkesan.

No comments:

Post a Comment