Pages

Oct 31, 2009

SEJAUH MANA KEBERKESANANNYA?


BULAN
Oktober telah diiktiraf sebagai bulan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di seluruh negara. Di antara matlamatnya termasuklah untuk memantapkan, memperkukuhkan dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan, memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; dan menjadikan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu asas pembinaan tamaduan bangsa dan negara.

Terlalu murni bunyinya. Jika terlaksana semua matlamat yang digariskan pastinya seluruh warga Malaysia akan menjadi bangsa yang amat menyanjung tinggi bahasanya sendiri (saya lebih gemar menyebut bahasa Melayu).

Tetapi sejauh mana keberkenasannya Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut itu?

Sehari selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak saya entah bagaimana tertonton berita di TV. Di dalam salah satu berita yang dipaparkan, menteri bertanggung jawab sedang menjawab soalan wartawan di dalam sesi sidang akhbarnya. Pada mulanya dia menjawab dalam bahasa Melayu tetapi selang beberapa patah dia menukar menjawab di dalam bahasa Inggeris. Saya hairan apakah menteri berkenaan telah lupa bahawa sehari sebelum itu dia sendiri yang melancarkan BBK 2009?

Saya semakin merasa hairan, apakah beliau tidak merasa cinta serta megah bertutur dalam bahasa ibundanya sendiri?

Anak-anak remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah yang menonton berita itu tentulah merasa kehairanan. Mereka akan keliru lantas akan menganggap kempen BBK itu hanyalah satu gimik yang menelan belanja sahaja tanpa meninggalkan kesan mendalam. Jika menteri sendiri begitu sikapnya, tidak hairanlah jika rakyat tidak menghormatinya.

Sedih sekali kerana dalam keghairan seluruh rakyat mula menganggap tindakan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik adalah satu tindakan yang bijak, tiba-tiba kebanyakan pemimpin masih ragu-ragu menggunakan bahasa ibunda sendiri di dalam majlis-majlis bertaraf dunia.

Apa salahnya jika menteri menggunakan bahasa Melayu semasa berucap meraikan ketibaan dif-dif asing atau semasa menghadiri mesyuarat dan persidangan antara bangsa. Biarlah seluruh pemimpin dunia mendengar sendiri bahasa Melayu diucapkan para pemimpin negara semasa berada di luar negara. Biarlah kita menjadi rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Dalam konteks ini seharusnya pemimpin mendahuluinya.

__________________________________________________________________
Tiada bangsa di dunia ini yang tidak mempunyai bahasanya sendiri. Jika lenyap bahasa bererti bangsa itu juga ikut lenyap bersama. Benarkah tidak Melayu hilang di dunia jika bahasanya makin kurang digunakan.
__________________________________________________________________

Oct 26, 2009

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

HARI INI, Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Kedah telah dilangsungkan bertempat di Dewan Besar, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah. Majlis yang disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah telah dihadiri lebih kurang 500 orang jemputan dan tetamu bermula seawal jam 8.30 pagi.

Sekali imbas majlis tersebut tidak memberi sebarang makna besar kerana majlis seumpama itu sering diadakan saban tahun. Bulan Bahasa Kebangsaan adalah salah satu kempen yang ditunjangi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebuah organisasi yang diamanahkan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Lantas Bulan Bahasa Kebangsaan adalah satu cara memaklumkan kepada seluruh warga negara bahawa kita perlu memelihara martabat bahasa kebangsaan sejajar dengan kedudukannya di dalam Perlembagaan Negara.

Setakat manakah keberkesanannya kempen yang menelan belanja bukan sedikit ini perlulah diperhatikan. Sejauh manakah rakyat menggunakan bahasa Melayu secara yang betul, tepat dan menyeluruh? Berkesankah penggunaan bahasa Melayu di dalam bidang pendidikan, ekonomi, siasah, kesenian, perundangan dan kehakiman, sains dan teknologi, dan lain-lain bidang kehidupan rakyat di negara ini? Adakah seluruh rakyat sudah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya? Adakah jabatan dan agensi Kerajaan mematuhi perundangan yang memaktubkan penggunaan bahasa Melayu di dalam setiap urusan? Bagaimana pula penerimaan dan penggunaan di kalangan swasta dan korporat?

Pertanyaan itu mungkin akan bertali temali jika disusun atur satu persatu. Mungkin tidak berkesudahan. Namun, apa yang perlu diperhatikan ialah bagaimana bahasa Melayu itu digunakan pada masa kini. Betulkah cara penggunaannya atau perlu diperbaiki lagi?

Rakyat rasanya kerap terkeliru tentang bagaimana menggunakan bahasa Melayu yang betul, sesuai dengan tata bahasanya. Bagi rakyat yang mengikuti pengajian ilmu bahasa di pusat-pusat pengajian tinggi tentu tidak menghadapi banyak masalah, namun bilangan mereka tidaklah ramai. Selebihnya adalah sebilangan besar rakyat yang hanya menjadi pengikut tanpa faham dengan mendalam bagaimana penggunaan bahasa Melayu yang sebetulnya, termasuklah orang Melayu sendiri! Lalu, berlakulah berbagai tafsiran dan penggunaan bahasa Melayu di dalam masyarakat. Saya tiak merujuk kepada loghat daerah yang berbeza sebutannya di antara satu daerah dengan daerah yang lain.

Kecelaruan penggunaan bahasa Melayu yang betul tidak harus dipandang ringan. Ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh untuk menanganinya supaya tidak menjadi wabak yang sukar dihapuskan. DBP perlulah memikirkan cara-cara lain yang lebih mudah untuk menghebahkan kepada rakyat bagaimana penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat supaya seluruh lapisan masyarakat tidak akan terkeliru selama-lamanya.

Seminar dan kursus tidak dapat sampai kepada seluruh masyarakat. Ia hanya terhad kepada sebilangan mereka sahaja. Para sarjana, pengkaji atau penulis mungkin berminat untuk berseminar dan berkursus mengenai bahasa. Bagaimana dengan ahli korporat, peniaga-peniaga kecil, pegawai bank, kaki tangan Kerajaan, jurujual, petugas-petugas badan bukan kerajaan serta para ibu bapa sekelian? Mereka itu tentu sekali tidak berminat atau tidak berkesempatan untuk menyertai seminar dan kursus sedemikian.

Apa salahnya jika DBP menyalurkan maklumat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat melalui TV yang hampir 95% rakyat memilikinya di setiap rumah dan pejabat. Adakan satu rancangan khas 'Belajar Bahasa Kebangsaan' di setiap saluran TV (baik TV milik Kerajaan atau swasta) yang khusus memperbetulkan sebarang salah guna bahasa. Seorang munsyi perlu membuat pembetulan terhadap setiap kesalahan yang dilakukan. Siarkan petikan-petikan kesilapan penggunaan bahasa Melayu yang lazim berlaku dan diperbetulkan dengan secara jelas. Dengan cara itu, lebih ramai lagi rakyat yang akan dapat memahaminya. Cuma janganlah pula rancangan ini disiarkan pada waktu-waktu yang tidak munasabah, umpamanya selepas pukul 11.30 malam!

Media harus menyokong usaha ini. Rakyat perlu diberikan pendidikan berterusan. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa kita. Jangan dirosakkan! Perpaduan tidak akan terhasil jika rakyat tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan tepat.
__________________________________________________
Bahasa cerminan bangsa
Bahasa jiwa bangsa
Bahasa membentuk ketamadunan bangsa

__________________________________________________