Pages

Dec 25, 2008

ANAK-ANAK BELAJAR DARIPADA IBU BAPA

SEMUA sedia maklum bahawa ibu dan bapa adalah guru pertama kepada anak-anak, sebelum mereka dihantar ke pra-sekolah dan seterusnya ke sekolah. Anak-anak menjadikan ibu bapanya sebagai idola pertama mereka. Mereka akan belajar apa sahaja daripada ibu bapa mereka, sama ada yang baik ataupun sebaliknya.

Minggu lepas, anak bongsu saya yang berumur 15 tahun demam. Setelah beberapa hari tidak sembuh, saya membawanya ke klinik berhampiran rumah. Waktu kami sampai di klinik jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Orang agak ramai di dalam klinik tersebut kerana hari itu ialah hari Jumaat dan banyak klinik lain tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu. Selepas mendaftar, saya diberikan kad bilangan nombor 21. Kamipun duduk di kerusi tempat menunggu.

Beberapa orang yang berada di klinik itu datang bersama anak-anak mereka. Kebanyakannya berusia di antara 3 - 7 tahun. Bukan anak-anak itu yang sakit, tetapi sama ada ayah atau ibu ataupun anak-anak lain yang lebih tua daripada anak-anak tersebut. Oleh sebab itulah ramai yang tidak dapat duduk di kerusi menunggu kerana kerusi-kerusi itu dipenuhi oleh kanak-kanak yang tidak sakit tadi.

Jika ibu atau ayah bijak mendidik anak-anak mereka, atau sekurang-kurangnya memberi nasihat kepada anak-anak kecil mereka, tentulah tempat duduk yang tidak berapa banyak bilangannya itu diberikan kepada orang-orang tua ataupun mereka yang sakit untuk menunggu berjumpa dengan doktor. Tetapi anak-anak kecil itu terus duduk di kerusi-kerusi itu sedangkan orang sakit yang sepatutnya duduk dibiarkan berdiri.

Sepatutnya ibu atau ayah beritahu secara baik kepada anak-anak mereka, "jangan duduk di kerusi tu, biar pak cik tu duduk". Ataupun beritahu mereka, "tempat duduk tu untuk orang sakit nak berjumpa doktor, adik tak sakit, tak payahlah duduk di situ". Ataupun, pujuk sahaja anak-anak supaya duduk bersama ibu atau ayah sambil itu boleh diajak anak-anak membaca apa-apa sahaja yang ada di dalam klinik itu. Ibu atau ayah boleh ajak anak-anak mereka mengeja atau membaca sebarang poster yang ada di situ.

Itu juga salah satu cara untuk mengajar anak-anak supaya minat membaca selain daripada tidak membiarkan mereka membuat bising yang boleh mengganggu para pesakit.

Dua hari selepas itu, saya ke sebuah bank. Selepas mengisi borang untuk mengeluarkan wang, saya menunggu nombor giliran saya dipanggil. Pada masa itu nombor yang dipanggil ialah 103 sedangkan nombor giliran saya ialah 112. Masih ramai lagi yang sedang menunggu.

Tidak lama masuk seorang wanita bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun. Suara anak lelakinya begitu jelas membaca beberapa poster yang terpampang di dalam bank. Si ibu terus ke kaunter menulis borang, tetapi belum sempat mengambil borang dia berkata kepada anaknya, "Adik tekan butang merah tu..". Dia merujuk kepada butang merah pada mesin mengambil nombor giliran.

Tiba-tiba si anak membaca notis yang tertera di atas mesin tersebut, "Sila tulis borang sebelum mengambil nombor giliran". Kemudia dengan nada yang agak kuat si anak memberitahu ibunya, "Mak kena isi borang dulu, adik tak boleh tekan butang ni lagi".

Aku tersenyum sendirian. Memang sebenarnya anak-anak kecil cepat dan mudah belajar. Hati dan fikiran mereka masih bersih. Kedua-dua ibu bapa merekalah yang mencorakkan hati dan fikiran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi". Marilah sama-sama kita, sebagai ibu bapa, merenung dan menghayati mafhum sabda Rasul itu dan mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang elok dan positif.

Dec 24, 2008

BANGGANYA IBU BAPA

SEKARANG ini musim cuti sekolah sudah hampir tamat. Seminggu sahaja lagi sekolah akan dibuka semula. Para pelajar akan kembali semula ke bangku sekolah, berjumpa semula dengan kawan-kawan dan guru-guru yang hampir 2 1/2 bulan tidak berjumpa. Tentulah nanti berbagai pengalaman yang dikutip sepanjang cuti sekolah akan dikongsi bersama rakan-rakan di sekolah.

Ibu bapa juga tentu sekali seronok kerana anak-anak akan kembali ke sekolah, meneruskan pelajaran mereka. Walaupun dari segi kewangan, ramai ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku-buku, pakaian dan segala persiapan anak-anak kembali semula ke sekolah nanti.

Dalam pada itu ramai ibu bapa yang berasa bangga kerana anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan umum pada tahun ini. Keputusan UPSR yang telah diketahui tentu sekali menggembirakan sebilangan ibu bapa yang anak-anak mereka memperolehi pencapaian 5A, terutama sekali bagi anak sulung di dalam keluarga. Ibu bapa pasti merasa bangga di atas pencapaian cemerlang pertama kali dicapai anak-anak mereka itu.

Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR 2008 baru-baru ini. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada murid-murid yang mendapat 4A 1B atau 3A 2B dan seterusnya. Murid-murid telah membuktikan kemampuan masing-masing melalui UPSR. Halangan pertama telah dilalui.

Minggu ini, bagi ibu bapa yang anak-anak mereka mendapat 5A, tentu sekali sudah menerima surat tawaran untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun hadapan. Ada yang sudah menerima tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada yag sudah menerima tawaran ke sekolah-sekolah premier di daerah dan negeri masing-masing. Kebanggaan pasti terpancar di wajah ibu bapa dan anak-anak yang telah berjaya itu.

Ibu bapa zaman sekarang bukan seperti ibu bapa zaman dahulu, lebih-lebih lagi ibu bapa di kawasan pendalaman. Ibu bapa zaman dahulu, tidak begitu prihatin dengan peluang-peluang pelajaran anak-anak mereka. Anak-anak yang tamat darjah 6 sekolah rendah di kampung akan hanya meneruskan pelajaran ke sekolah menengah yang berhampiran sahaja. Itupun sudah dikira cukup baik, kerana lebih ramai anak-anak yang tidak menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah. Alasan yang paling utama ketika itu ialah faktor kewangan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada keadaan itu. Waktu saya belajar di sekolah rendah dahulu, peluang menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh amatlah terhad. Meskipun saya adalah murid cemerlang di sekolah rendah di kampung, namun peluang amat terbatas. Arwah datuk saya tidak banyak mengetahui tentang peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk murid-murid di kawasan pendalaman. Di sekolah juga guru-guru tidak pernah memberi motivasi kepada kami untuk belajar dengan tekun supaya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Tinggallah murid-murid cemerlang di sekolah-sekolah pendalaman sebagai mangsa keadaan.

Pada masa saya di darjah lima (tahun 1968) dan tahun-tahun sebelumnya, ada peperiksaan khas untuk memilih calon-calon ke sekolah berasrama penuh. Saya masih ingat, abang sepupu saya berpeluang menyambung persekolahan di Ipoh selepas tamat darjah enam di sekolah kampung. Begitu juga dengan dua orang abang sepupu saya yang lain telah berjaya menyambung pelajaran ke tahap Special Malay di sekolah bandar selepas lulus peperiksaan darjah tiga di sekolah rendah di kampung. Itulah sahaja motivasi yang saya ada pada waktu itu, walaupun saya sendiri tidak faham langsung bagaimana proses pemilihan dilakukan. Arwah datuk tentu sekali lebih tidak faham walaupun ketiga-tiga sepupu saya itu adalah juga cucunya.

Tetapi sekarang jauh berbeza. Ibu bapa terdedah kepada segala macam maklumat tentang peluang untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah terpilih. Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah-sekolah elit dan premier di daerah dan negeri masing-masing dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adalah di antara pilihan yang tersedia menanti. Sejak anak-anak mereka berada di darjah tiga atau mungkin lebih awal lagi, ibu bapa sudah menanam cita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan persekolahan ke sekolah-sekolah terpilih tersebut. Perlumbaan itu menjadi lebih mencabar apabila anak-anak berada di darjah lima dan enam.

Dua hari lepas, saya terima panggilan telefon seorang rakan semasa di sekolah menengah dahulu. Dia minta saya berikan sokongan kepada anak ketiganya yang tidak berjaya menerima tawaran ke SBP walaupun syarat-syarat kemasukan telah dipenuhi, termasuklah kelulusan 5A UPSR. Anak sulungnya berjaya ke SBP (kini sedang menunggu masa untuk menyambung pelajaran ke India di dalam bidang perubatan), anak kedua (akan menduduki PMR tahun 2009) juga berada di SBP yang sama. Kini dia mengharapkan anak ketiganya mengikut jejak kedua-dua anaknya yang dahulu juga.

Dalam situasi rakan saya itu, tentu sekali dia berasa bangga apabila anaknya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR. Harapannya amat tinggi agar anaknya itu diterima memasuki tingkatan satu di SBP. Tetapi apabila tidak ada tawaran yang diterima, dia merasa amat kecewa. Malah saya yakin sebilangan besar lagi ibu bapa yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak ditawarkan ke SBP.

"Apa boleh buat pemilihan ke SBP dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran", itu yang dapat saya beritahu rakan saya itu. "Tetapi rasanya masih boleh berpeluang untuk membuat rayuan. Saya cadangakan saudara buat rayuan sebab pemilihan dibuat berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat ketiga nanti. Insya Allah jika ada rezeki tak akan kemana". Sekadar itulah sahaja yang dapat saya nyatakan sebagai seorang YDP PIBG sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Lebih daripada itu adalah di luar bidang kuasa saya.

Apa pun saya doakan agar anak kawan saya itu serta anak-anak yang lain akan berjaya mendapat tempat di mana-mana SBP. Jika ada tawaran, jangan sekali-kali menolak kerana apabila ditolak, peluang itu akan terus tertutup.

Rasanya tidak berapa hari sahaja lagi keputusan PMR pula akan diumumkan. Ramai lagi ibu bapa yang sedang berdebar menunggu pengumuman keputusan itu, termasuklah saya sendiri. Anak bongsu saya mengambil PMR tahun ini. Pastinya ramai ibu bapa yang akan merasa bangga jika anak-anak mereka memperolehi keputusan cemerlang nanti.

Saya doakan kejayaan kita semua.

Dec 22, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG. 2

UNTUK menjadi seorang insan memiliki minda kelas pertama tidaklah sesukar mana. Segalanya berpusat di dalam pemikiran kita sendiri. Di dalam organ yang paling penting, iaitu otak. Di situlah bermula segala-galanya.

Bayangkan kelebihan organ yang dianugerahkan Allah swt ini, terlalu istimewa kerana di dalamnya selain mengandungi beribu juta sel, ia juga memiliki keupayaan menyimpan ingatan yang tidak terhitung banyaknya. Otak juga mempunyai keupayaan untuk menukar persepsi kita terhadap sesuatu perkara, daripada negatif kepada positif atau sebaliknya. Itulah yang membezakan kita, sebagai manusia, daripada makluk-makluk lain yang diciptakan Allah swt di alam ini.

Oleh kerana itulah, sebagai manusia kita boleh memilih untuk menjadi baik atau jahat. Menjadi seorang yang berfikiran positif atau negatif. Tetapi, kita harus ingat kepada matlamat atau tujuan kita dijadikan oleh Allah swt, sebagaimana maksud firman Allah swt: "Sesungguhnya tidak Kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menjadi hambaKu dan beribadat kepadaKu". Jelas, firman Allah di dalam ayat ini memperjelaskan kenapa manusia dilahirkan ke muka bumi ini.

Sudah tentulah sebagai hamba Allah, kita dituntut untuk menuruti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kita dituntut supaya menjadi manusia yang sentiasa mengamalkan perbuatan-perbuatan yang baik dan menghindari diri daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Memikirkan perkara-perkara baik dan tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak baik. Itu semua adalah perintah Allah swt yang menciptakan kita.

Justeru, untuk memiliki minda kelas pertama, kita wajar menukar persepsi kita tentang kehidupan. Ibarat melontar bola getah dengan kuat ke dinding pejal, pastilah bola itu akan melantun sama kuatnya kembali ke arah kita. Maksudnya, sikap kita terhadap kehidupan menentukan sikap kehidupan terhadap kita. Jika kita memandang kehidupan ini penuh dengan ciri-ciri negatif, kita akan menikmati segala yang negatif sepanjang hidup kita. Begitu jugalah sebaliknya, jika memiliki pandangan positif di dalam kehidupan, kita akan menerima imbuhan positif yang berpanjangan.

"Di dalam diri manusia terdapat satu perbezaan kecil yang menyebabkan perbezaan yang besar. Perbezaan kecil itu adalah sikap, manakala perbezaan besanya ialah sama ada sikap itu positif atau negatif".

Kedua-dua sikap ini saring bertarik-tarikan antara satu sama lain untuk mengusai jiwa dan pemikiran manusia. Jika positif berjaya menguasainya, manusia itu akan tampil bersikap positif, begitu juga sebaliknya. Mengikut satu kajian, 85% daripada kenaikan pangkat di dalam apa jua bidang kerjaya adalah disebabkan oleh SIKAP, baki 15% lagi adalah kerana kebolehan-kebolehan lain. Ini jelas menunjukkan manusia boleh berjaya dengan cemerlang jika memiliki sikap yang betul.

Bersikap positif menjadi pendorong utama mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Bersikap positif boleh mengangkat nilai diri seseorang insan dan seterusnya menjadi manusia yang berhemah tinggi. Minda kelas pertama akan hanya tercetus jika minda dipenuhi dengan pemikiran dan sikap positif yang tinggi.

Dec 20, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG 1

MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA adalah tajuk ceramah saya pada 15 Disember 2008 di Institut Pengurusan dan Integriti Kedah Darul Aman (INSPIN) kepada 46 orang peserta yang terdiri daripada kaki tangan beberapa jabatan Kerajaan Negeri Kedah. Saya teruja sejak awal lagi selepas menerima undangan daripada pegawai INSPIN.

Membina minda kelas pertama merupakan satu proses untuk membangun dan memajukan daya pemikiran seseorang manusia bagi mencapai peringkat terulung. Daya pemikiran atau akal fikiran yang bagaimana yang boleh ditakrifkan sebagai minda kelas pertama? Untuk merungkai persoalan ini memerlukan kupasan yang panjang dan itulah satu proses yang memakan masa. Namun secara mudahnya proses itu bolehlah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama ialah proses untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Seseorang manusia wajar mengenal dirinya sendiri kerana mengenal diri adalah permulaan segala ilmu. Jelasnya, tanpa mengenal diri sendiri, seseorang itu tidak mungkin akan dapat menimba ilmu pengetahuan selanjutnya. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w, "Barang siapa yang kenal dirinya, sesungguhnya dia telah kenal Tuhannya" amatlah jelas maksudnya. Oleh kerana segala ilmu berada di dalam penguasaan Allah swt, maka sesiapa yang mengenali Allah pasti akan dapat menimba segala ilmu. Tetapi untuk mengenal Allah, kita perlu kenal diri kita sendiri terlebih dahulu.

Mengenal diri bukan hanya sekadar mengetahui asal usul kejadian dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada kita semata-mata. Tetapi harus meliputi maksud mengenali diri dengan lebih meluas lagi. Kita mesti belajar mengenal kehebatan dan kelemahan yang terdapat di dalam diri sendiri. Mengenal kehebatan untuk menggunakan potensi diri ke arah kecemerlangan. Sementara mengenal kelemahan pula adalah untuk mempertingkatkan lagi usaha memperbaikinya.

Ramai manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri, malah ramai yang tanpa sedar tidak pernah berusaha untuk mengenal diri sendiri. Ini suatu kerugian besar kerana jika kita masih belum kenal diri sendiri, bermakna kita masih belum tahu kekuatan dan kelemahan yang ada di dalam diri. Malah yang paling menyedihkan, kita masih belum mengenal Tuhan.

Lihat ke dalam diri sendiri, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan semenjak kita lahir sehingga kini? Tentulah tidah terhitung banyaknya, kerana nikmat Allah swt tidak terbatas dan tidak terjumlah. Pernahkah anda sorot kembali menilai tahap syukur yang anda miliki?

Perhatikan maksud ayat 9 Surah Assajadah,
"Kemudian Dia menyempurnakan kejadian-Nya serta meniupkan padanya Roh ciptaan-Nya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".

Kejadian manusia yang sempurna adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Allah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran) yang kesemua itu tidak dianugerahkan kepada makluk lain. Betapa Allah menjadikan manusia dengan segela kesempurnaan supaya manusia bersyukur, tetapi amat sedikit yang mensyukurinya.

Apakah anda termasuk di dalam kelompok manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah swt?

Proses pertama untuk memiliki minda kelas pertama perlu dilalui dan dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak walau setinggi mana sekalipun daya pemikiran anda, masih belum menepati maksud kelas pertama itu sendiri.