Pages

May 21, 2008

KESALAHAN IBU BAPA



GEJALA sosial yang melanda dan menyiat-nyiat kehidupan remaja masa kini terlalu pedih dirasai, bagai sembilu yang menikam jantung. Tersayat rasanya. Tetapi gejala itu bagai tidak dapat dibendung lagi. Malah remaja pula semakin galak memeluknya.

Maka ramailah orang bertanya dan menyoal, salah siapa sebenarnya sehingga remaja masa kini begitu rapuh akhlaknya? Terlalu mudah diratah dan dibaham perbuatan yang tidak selayaknya dilakukan remaja? Berbagai pendapat dan pandangan bertaburan di merata-rata.

Namun, tiada siapa dapat menolak kenyataan bahawa, punca utama keruntuhan akhlak remaja yang semakin menggila itu adalah ibu bapa. Jangan menyangkal mafhum hadis Rasulullah : "Setiap anak yang lahir adalah fitrah, kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Maksudnya, tanggung jawab mencorakkan akhlak anak-anak adalah tanggung jawab ibu bapa. Ibarat sebuah lukisan, tersalah corak dan warna, tercemarlah lukisan itu. Sama seperti sehelai kain putih, diwarnakan merah, merahlah dia. Dipalitkan ungu tampaklah ungunya dan tercurah hitam, kelam pekatlah kain itu.

Anak-anak perlukan bimbingan, tunjuk ajar serta pedoman untuk melayari kehidupan masa depan mereka. Ibu bapa harus menyediakan segala kelengkapan secukupnya, baik dari segi material, emosi, kerohanian dan sebagainya. Hanya benteng yang kukuh akan dapat menangkis ombak yang melanda.

Saya akan berhadapan dengan ibu bapa di sebuah sekolah Sabtu nanti. Harap-harap mereka akan bersetuju dengan pendapat ini.

No comments:

Post a Comment