Pages

Jan 30, 2010

CERAMAH DI MERDEKA BEACH RESORT

27 & 28hb Januari, 2010 - bertempat di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman, saya hadir menyampaikan ceramah kepada pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah. Dua slot ceramah di dalam dewan telah memberi kesempatan kepada saya mencurahkan sedikit sebanyak pengalaman kepada para peserta. Rata-rata semua peserta berusia di dalam lingkungan 28 - 40 tahun, kecuali seorang sahaja yang mengaku berusia lebih 50 tahun.

Budaya Kerja Sihat dan Menjana Kecemerlangan Melalui Kerja Berpasukan adalah dua topik yang saya sampaikan. Pada 27hb, bermula 9.00 malam saya sampaikan topik pertama. Saya menilai penerimaan peserta sekadar lingkungan 50 - 60% sahaja. Kemungkinan faktor keletihan minda menyebabkan penerimaan sedemikian. Hampir kesemua peserta kurang memberikan respons sehinggalah saya mendera mereka dengan permainan 'baling membaling' surat khabar lama. Selepas itu nampaklah sedikit respons. Alhamdulillah.

Esoknya, selepas sesi senamrobik, para peserta sekali lagi berhadapan dengan saya di dalam topik kedua mulai 9.00 pagi hingga 11.45 pagi. Saya mulakan dengan menarik perhatian mereka tentang pentingnya fokus terhadap sesuatu perkara, baik dalam kerjaya mahupun di dalam kehidupan sehari-hari. Tanpa fokus, tidak mungkin sesuatu kerja itu dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Saya tekankan tentang pentingnya setiap orang memberi fokus sepenuhnya terhadap apa sahaja yang dilakukan, lebih-lebih lagi jika melibatkan kerja berpasukan.

Saya tegaskan, "there is no I or U in a TEAM. I and U are eliminated in a TEAM. There is only WE in a TEAM". Para peserta faham maksud yang saya sampaikan. Akhir sekali saya berikan satu permainan berpasukan (team building game) untuk menilai setakat mana nilai-nilai kerja berpasukan dilaksanakan oleh para peserta. Dari penilaian saya, hampir 85% unsur-unsur kerja berpasukan telah diaplikasikan oleh para peserta. Akhirnya Kumpulan 1 telah berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan jayanya. Tahniah kepada Kumpulan 1!

Sayangnya saya tidak dapat menyertakan gambar di sini kerana masih menunggu kiriman email daripada En Othman atau mana-mana peserta.

Walau bagaimanapun, sebagai kesimpulannya, saya tegaskan terdapat tiga kelompok manusia di dalam mana-mana kumpulan, iaitu Leader (Pemimpin), Followers (Pengikut) dan Passengers (Penumpang). Cubalah sedaya upaya jangan menjadi penumpang di dalam sesebuah pasukan kerana penumpang hanya membebankan. Penumpang tidak memberi apa-apa sumbangan melainkan hanya mahu sampai ke tempat tujuannya sahaja. Penumpang hanya mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah untuknya. Ini adalah sikap yang amat tidak sesuai di dalam sesuatu kumpulan.

_______________________________________________________________

"Elakkan diri anda daripada menjadi penumpang yang tidak memberi sebarang makna kepada kecemerlangan pasukan".
_______________________________________________________________

Jan 17, 2010

MURNI KASIH


SEPANJANG seminggu berbagai berita terpapar di media. Berbagai cerita suka dan duka disiarkan. Berita-berita setempat, sedaerah dan senegeri hinggalah berita sedunia telah dipaparkan sama ada melalui akhbar-akhbar arus perdana ataupun melalui media elektronik. Semuanya telah kita baca dan kita tonton.

Daripada kesemua berita tersebut tentu ada suatu atau dua berita yang menyentuh perasaan kita. Sama ada berita tentang kemalangan negeri di waktu subuh atau berita tentang seorang ibu yang sanggup membakar dirinya sendiri akibat sikap anak gadisnya yang degil. Mungkin juga berita tentang gempa bumi di Haiti yang mengorbankan puluhan ribu penduduknya atau mungkin juga peristiwa gerhana matahari yang berlaku 15 Januari lepas genap 15 hari selepas berlakunya gerhana bulan pada 1 Januari dahulu.

Namun bagi saya ada satu berita yang amat berkesan di jiwa saya. Di dalam sebuah akhbar tabloid saya terbaca kisah seorang ayah yang ditinggalkan anak kandungnya sendiri di perhentian bas berhadapan sebuah sekolah di Kangar, Perlis. Perbuatan anak tersebut ternyata perbuatan yang tidak berhati perut dan tidak mengenang budi. Ayahnya yang baru selesai menjalani pembedahan jantung serta masih lagi menderita kesakitan ditinggalkan begitu sahaja. Alasannya, ayahnya itu menyusahkan hidup dia dan keluarganya.

Bayangkanlah, betapa lunturnya rasa hormat dan kasih seorang anak terhadap ayah kandungnya yang sudah tua dan tidak berdaya. Siapakah yang bersalah di dalam soal ini? Anak atau ayah?

Dalam isu yang sama iaitu isu kasih sayang anak terhadap ayah dan ibu kandung sekali lagi menggegar perasaan saya apabila tersiar di dalam TV kisah seorang ayah yang ditinggalkan di pusat hemodelisis dan tidak diambil pulang oleh anak lelaki yang menghantarnya ke situ. Esak tangis ayah yang sudah tua itu terpampang di dalam TV sewaktu Jabatan Kebajikan Masyarakat datang untuk membawanya ke rumah kebajikan. Bayangkan betapa hancurnya perasaan si ayah tersebut akibat perbuatan anak lelakinya itu.

Saya semakin tersentuh lagi apabila di dalam rancangan Semanis Kurma yang lepas kisah yang hampir sama, malah lebih tragis lagi, telah berlaku di dalam masyarakat kita. Kisah seorang ibu yang diundang ke studio membicarakan tajuk 'Air mata ibu' telah menceritakan bagaimana perasaan rindunya kepada anak-anaknya yang terpisah setelah dia diceraikan bekas suaminya 18 tahun yang lalu. Dia yang teramat merindui anak-anaknya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah s.w.t supaya dipertemukan dengan mereka.

Akhirnya apabila dipertemukan, perkara yang amat tidak diduga telah berlaku ke atas dirinya akibat perbuatan anak kandungnya sendiri. Dengan esak tangis penuh duka nestapa, si ibu menceritakan peristiwa malang yang menimpa dirinya. Dia dirogol anak lelakinya sendiri! Na'uzubillah...

Sudah hilangkah pertimbangan di hati anaknya itu bahawa perempuan yang didurjanainya itu adalah perempuan yang telah mengandung dan melahirkannya? Apakah dia sudah tidak punya sekelumit kasih terhadap ibunya itu lagi? Apakah puncanya sehingga tergamak dia melakukan perbuatan sekeji itu terhadap insan yang telah melahirkannya ke dunia fana ini?

"Ya Allah, peliharakanlah zuraitku dan keluargaku daripada perbuatan-perbuatan yang engkau benci yang menyebabkan kami terhumban ke neraka-Mu. Ya Allah, berikan petunjuk yang jelas dan nyata untuk kami melalui jalan-Mu sehingga kami temui makna kasih sayang yang sejati".


_______________________________________________________________

"Kasih sayang seorang ibu atau ayah tidak pernah dapat dinilai kemurniaannya oleh anak-anak sehinggalah ibu atau ayah itu meninggal dunia. Ketika itu baharulah anak-anak akan mengenangkan segala kebaikan mereka namun pada waktu itu segalanya sudah terlambat"
_______________________________________________________________

Jan 13, 2010

PETAKA AWAL TAHUN

SUDAH dua minggu kita berada di tahun baru, 2010. Ini kali pertama saya menulis di blog ini. Bukannya tidak ada idea untuk menulis, cuma kesuntukan masa untuk mengarang. Ah, terpulanglah sama ada percaya atau pun tidak.

Petaka Awal Tahun. Tiba-tiba sahaja judul ini menerpa ke minda. Ya, rasanya judul ini sesuai sekali kerana sememangnya awal 2010 ini dimulai dengan petaka yang menimpa akibat daripada keputusan hari terakhir 2009 di Mahkamah.

Setelah sekian lama kita menghirup udara muhibbah yang nyaman tanpa sebarang kejadian buruk yang tidak diingini. Setelah sekian lama benih-benih perpaduan yang ditanam, dibaja dan disiram mula tumbuh segar, tiba-tiba awal tahun ini terasa ada api yang mula membakar. Dan api ini terlalu bahaya jika dibiarkan maraknya terus membakar! Mungkin seluruh ladang akan menjadi padang arang dan debu! Terlalu ngeri jika cuba dibayangkan.

Jika petaka yang tercetus itu hanyalah kerana sepatah kalimat, apakah tiada jalan lain untuk meluahkan kata-kata di tempat yang sesuai? Di dalam suasana yang harmoni dan nyaman? Di antara semua pihak dan semua yang berkepentingan? Bukankah muzakarah itu lebih baik dan murni sifatnya daripada melaung serta menjerit tidak tentu pasal yang belum tentu untung dan ruginya?

Nanti di meja muzakarah, tanyalah kepada mereka yang terlalu inginkan sepatah kalimat itu. Jika ikhlas ingin menggunakan kalimat tersebut, nilaikan kembali harga kalimat itu. Jika benar kalimat itu kalimat agung, maka mereka perlu menganggap Keagungan itu hanyalah milik Yang Satu. Buangkan Yang Tiga Bertiga itu. Akuilah sahaja Kebenaran Yang Maha Benar. Mahukah mereka mengakui kesilapan yang mereka anuti dan perjuangkan selama ini?

Itulah perlunya muzakarah. Itulah perlunya persefahaman. Semoga petaka awal tahun ini tidak berlarutan dan berpanjangan.

Wallahu 'alam.

Dec 27, 2009

KESEDIHAN AKHIR TAHUN

HARI INI kita semua sudah tahu, sama ada melalui TV atau media cetak, berita sedih dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh telah meragut 10 nyawa awal pagi semalam. Ia bukanlah kemalangan pertama yang berlaku malah sudah berpuluh kali kemalangan seumpama itu terjadi. Kesedihan amat dirasai oleh ahli keluarga malang tersebut, sama ada anak-anak, saudara mara, bakal tunang, kawan rakan dan sebagainya.

Seingat saya kemalangan di tempat yang sama sudah banyak kali berlaku. Semasa TOL Jelapang masih belum dirobohkan, beberapa kemalangan ngeri telah berlaku, sama ada dari arah selatan atau dari arah utara. Lalu mantan Menteri Kerja Raya menyarankan TOL Jelapang ditutup dan digantikan dengan TOL yang ada pada masa ini. Alasannya kerap sangat berlaku kemalangan di tempat yang sama.

Tetapi setelah TOL tersebut berpindah tempat dengan menelan belanja yang sekian banyak, kemalangan tetap berlaku. Pernah berlaku kejadian malang kenderan berat melanggar pondok TOL berkenaan. Ada juga kemalangan sebelum atau selepas TOL tersebut. Dan yang terkini ialah kemalangan ngeri dua hari lepas. 10 penumpang Sani Express telah meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandunya mengaku terlelap seketika sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Pernah suatu ketika dahulu selepas satu kemalangan ngeri pihak berkuasa telah mengadakan penguatkuasaan di setiap terminal bas sebelum bas bertolak. Anggota penguatkuasa telah ditempatkan di terminal untuk memeriksa dan mempastikan beberapa syarat dipatuhi. Di antaranya ialah setiap bas ekspres mempunyai dua orang pemandu, ujian air kencing dilakukan sebelum perjalanan bermula, pemeriksaan tiket penumpang dan sebagainya. Apakah tindakan tersebut berkesan? Satu persoalan lagi apakah tindakan penguatkuasaan itu masih berterusan hingga kini? Atau sudah diberhentikan kerana berbagai alasan yang tidak dimaklumkan kepada rakyat?

Kemalangan akan terus berlaku kerana ia adalah kemalangan. Sesuatu yang tidak diduga akan berlaku atau ia berlaku di luar jangkauan fikiran dan perkiraan manusia. Namun kemalangan boleh dikurangkan atau dicegah jika sekiranya langkah-langkah awal diambil. Sekiranya berlaku juga itu adalah takdir. Tetapi ikhtiar harus ada, usaha perlu dibuat, tindakan mesti diambil.

Pihak pengusaha bas ekspres perlu memulakan langkah awal. Pendidikan dan ilmu pengatahuan perlu diterapkan ke dalam diri setiap pemandunya. Berikan sedikit sebanyak suntikan kerohanian supaya pemandu-pemandu sentiasa faham peranan dan tugas mereka bukan hanya untuk memandu kenderaan tersebut dari satu terminal ke destinasi yang lain. Mereka juga perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keselamatan para penumpang.

Fahamkan para pemandu bahawa mereka perlu sentiasa menggantungkan harapan kepada Allah supaya perjalanan mereka akan selamat. Tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Mereka semua perlu diajar beberapa doa sebelum dan semasa perjalanan. Ajarkan mereka supaya berhenti di R&R yang bersesuaian bagi membolehkan para penumpang beragama Islam menunaikan solat. Jangan terlalu mengejar waktu sehingga terlepas solat yang wajib dilakukan.

Saya pernah menaiki bas ekspres ke KL dan tempat-tempat lain. Kerap berlaku pemandu bas tidak berhenti di R&R di sepanjang PLUS, tetapi berhenti di tempat-tempat lain seperti hentian sebelah atau keluar dari lebuh raya untuk berhenti di kedai-kedai makan yang mungkin sudah ditentukan oleh pihak pengurusan. Akibatnya ramai penumpang beragama Islam yang tidak sempat bersolat. Pemandu perlu ditarbiyahkan tentang perkara ini supaya sepanjang perjalanan itu sentiasa di dalam peliharaan Allah s.w.t. Justeru, pemandu itu sendiri mestilah bersolat!

Sikap pemandu yang cuai, memandu melebihi had kelajuan, memandu secara tidak berhemah adalah penyumbang kepada kejadian kemalangan. Lalu pihak pengurusan perlu juga memberi motivasi kepada para pemandu mereka. Ataupun pihak LPKP mesti mewajibkan setiap pemandu mengikuti program motivasi dan kerohanian untuk tempoh masa yang ditetapkan. Wajibkan setiap pengusaha menghantar para pemandu mereka mengikuti program berkenaan.

Setelah segala ikhtiar dijalankan barulah selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t. Tetapi lazimnya kita berserah tanpa berusaha.
________________________________________________________
"Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah, doa dan ikhtiar dapat menghindar petaka yang tidak diingini berlaku"
________________________________________________________


Dec 16, 2009

PENANTIAN SUATU PENYIKSAAN?

BENARKAH penantian itu suatu yang menyiksakan? Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang pernah melalui pengalaman menanti seseorang atau sesuatu. Pasti ada perasaan resah, sangsi, curiga, tidak sabar dan sebagainya.

Jarang benar ada orang yang tidak berperasaan sedemikian ketika menanti ketibaan orang atau tarikh dan waktu yang dijanjikan. Selagi tidak bertemu dengan orang atau tiba tarikh dan waktu itu, berbagai perasaan bergelodak di dalam hati. Pada waktu itu timbullah bermacam-macam andaian dan sangkaan yang bukan-bukan.

Jika kita sedang menanti untuk bertemu seseorang, hati akan sentiasa berdegup kerana berbagai persoalan bermain di dalam benak kita. Sama jugalah jika kita sedang menanti untuk mendapatkan sesuatu keputusan, perasaan kita tidak akan merasa tenteram sehinggalah kita mendapat keputusan itu.

Tetapi ada juga orang yang tenang semasa menanti seakan-akan tiada apa yang mengganggu perasaannya. Mungkin orang seperti itu sudah terlalu kerap menanti ataupun sudah dapat menduga apakah kesudahan penantiannya itu. Oleh sebab itu dia tidak perlu resah dan gelisah.

Sebenarnya sama ada penantian itu suatu penyiksaan atau pun tidak adalah bergantung kepada hati dan perasaan kita sendiri. Jika dilayan rasa resah dan gelisah pasti kita akan merasa penantian itu suatu penyiksaan walaupun tempoh menanti itu hanya dalam waktu yang singkat. Tetapi jika kita tenang dan bersifat sabar sudah tentu tidak ada tekanan atau perasaan gelisah yang melanda. Penantian sebegitu tentu sekali bukan suatu penyiksaan.

______________________________________________

"Setiap detik itu akan dirasai teramat panjang jika kita menggantungkan harapan yang terlalu berat pada penantian itu."
______________________________________________

Dec 12, 2009

SERI MUKA PULUT HITAM BAKAR


ENTAH betul atau tidak, saya pun tidak tahu. Tetapi itulah hakikatnya. Kuih yang saya makan sewaktu sarapan pagi tadi begitulah rupanya. Ia sama seperti kuih tradisional 'seri muka' yang biasanya dijual di warung-warung untuk sarapan. Tetapi seri kaya yang saya makan pagi tadi ada kelainannya. Lapisan bawahnya diperbuat daripada pulut hitam manakala lapisan atasnya pula adunan tepung berserta resepinya tersendiri. Manis berlemak rasanya. Kata isteri saya, seri muka itu dimasak dengan cara kukus dan kemudiannya dibakar.

Sebenarnya tiada apa yang pelik atau istimewanya kuih seri muka itu dan pagi tadi bukanlah kali pertama saya menjamah kuih tersebut. Setiap kali bulan Ramadhan kuih ini banyak dijual di pasar Ramadhan dan kami sekeluarga tidak pernah ketinggalan membelinya untuk juadah berbuka puasa. Rasanya yang sedap dan enak itu membuatkan timbul keinginan kami untuk membelinya walaupun bukan di bulan Ramadhan.

Tetapi pagi tadi sewaktu bersarapan, secara tiba-tiba perasaan saya tersentuh apabila menjamah kuih tersebut. Kata isteri saya, "tak lama lagi kita tak boleh nak makan seri muka ni lagi". Saya kehairanan, "kenapa?".

"Ya lah, kata orang yang jual seri muka ni, makcik yang membuat seri muka ni sudah tua. Kalaulah orang tu dah tak ada nanti, siapa yang akan membuatnya? Susahlah nak beli nanti".

Saya membuat tafsiran sendiri : Tidak mungkin anak atau cucu makcik pembuat seri muka itu tidak belajar resepinya? Masakan makcik itu tidak memperturunkan kemahirannya kepada anak cucunya? Kalaulah permintaan terhadap seri muka itu cukup tinggi, rugilah kalau anak cucunya tidak terus membuat kuih itu dan menjualnya di pasaran.


Orang zaman sekarang memang gemar membeli makanan segera mungkin kerana kesibukan waktu bekerja. Lebih senang ke warung dan membeli juadah di sana, sama ada untuk sarapan atau minum petang ataupun untuk hidangan tetamu yang datang. Harganya pun bukanlah mahal sangat jika hendak dibandingkan kos untuk memasaknya sendiri di rumah. Selain elemen kos, masa dan tenaga juga perlu diambil kira. Bukankah masa dan tenaga boleh digunakan untuk kerja-kerja rumah lain yang sedia menanti?


Mungkin kerana itulah orang muda zaman sekarang ini kebanyakannya sudah tidak tahu lagi memasak masakan atau kuih muih tradisional. Kalau ada pun hanyalah beberapa jenis yang biasa-biasa sahaja. Kesannya keenakan masakan atau kuih muih tradisional sudah tidak dapat dirasai seenak masakan aslinya.

Mungkin ada kebenarannya kata isteri saya pagi tadi jika pada masa ini anak cucu makcik pembuat seri muka pulut hitam bakar itu tidak belajar resepinya dan cara-cara memasaknya, kemungkinan dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang seri muka pulut hitam bakar yang sedap dan enak itu tidak dapat ditemui lagi. Itu bermakna satu lagi khazanah bangsa akan pupus dan lenyap.

Memikirkan hal itulah saya rasa remaja masa kini perlu mengambil berat dan belajar mulai sekarang segala pengetahuan dan kemahiran orang tua-tua sementara hayat mereka masih ada. Janganlah nanti apabila mereka meninggal dunia kita akan meratapi di mana lagi mahu dicari resepi masakan atau kuih muih seperti itu. Mungkinkah nanti kita akan kehilangan kuih peneram, kuih jawa, karas, dan lain-lain lagi.

_____________________________________________________

"Jika tiada yang tua masakan ada yang muda. Jika tiada yang lama tidak mungkin ada yang baru".
_____________________________________________________

Dec 11, 2009

KAHWIN LARI

SEBENTAR tadi di dalam rancangan di TV9, Semanis Kurma, topik perbincangannya ialah 'Kawin Lari'. Ahli panel telah mengupas dan memberi pendapat tentang topik tersebut mengikut pandangan masing-masing. Walaupun secara keseluruhannya kesemua ahli panel, termasuk peneraju rancangan, mengatakan bahawa perbuatan kahwin lari adalah satu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan adat resam dan perintah agama. Namun kerap juga kita masih lagi mendengar cerita kahwin lari masih lagi terjadi. Kenapa?

Lazimnya kejadian kahwin lari terjadi ke atas pasangan yang ingin berumah tangga tetapi tidak mendapat restu sepenuhnya daripada keluarga. Sama ada keluarga perempuan tidak dapat menerima lelaki pilihan anak mereka ataupun sebaliknya. Lantaran tidak mendapat restu keluarga, pasangan tersebut mengambil jalan mudah dengan lari daripada keluarga dan berkahwin secara senyap di tempat lain, contohnya di negara jiran, Thailand.

Setelah berkahwin pasangan muda itu tidak berani untuk pulang ke rumah bertemu dengan keluarga, terutama ayah ibu yang tidak merestui perkahwinan tersebut. Lalu pasangan tersebut akan membawa diri melayari kehidupan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga lagi. Akibatnya, ikatan kekeluargaan terputus.

Perbuatan kahwin lari ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukan sahaja akan merosakkan ikatan kekeluargaan, malah mengundang banyak masalah lain di hari muka. Jika perkahwinan mereka di negara luar tidak didaftarkan semula di Malaysia, ia adalah satu kesalahan yang jika disabitkan di mahkamah, mereka akan dihukum. Tetapi hukuman mahkamah adalah kecil jika dibandingkan dengan hukuman kerana memutuskan hubungan kekeluargaan. Lebih besar lagi hukuman yang akan menimpa mereka jika pasangan tersebut terus menerus tidak memohon maaf daripada kedua orang tua mereka.

Di dalam Semanis Kurma sebentar tadi, seorang pemanggil dari Melaka telah menelefon dan meluahkan perasaannya mengenai topik yang diperbincangkan itu. Dia menceritakan betapa hancur luluh perasaannya apabila anak perempuannya kahwin lari dengan pasangan pilihannya. Setelah anak itu dipelihara 'bagai menatang minyak yang penuh' itukah balasan yang diberikan kepada kedua orang tuanya?

Mengikut pemanggil tersebut, anaknya itu kini sudah tidak dapat dihubungi. Dia sendiri sudah tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dan apa yang paling menyayat hati ialah si ayah tersebut sudah membuang segala ingatan terhadap anaknya itu, jika ada sekalipun tidak lebih daripada 2% sahaja lagi. Katanya, kini dia dan isterinya sering mendoakan supaya kehidupan anak perempuannya itu akan hacur berkecai! Na'uzubillah....

Hancur luluh perasaan seorang ayah terhadap anak sulungnya itu yang sanggup melarikan diri seolah-olah membuang keluarga sendiri. Puncanya menurut si ayah tadi ialah ketika dia diperkenalkan kepada teman lelaki anaknya itu, si ayah dan si ibu terasa ada gerakan di dalam hati kecil mereka yang menyatakan lelaki itu bukanlah pilihan terbaik untuk menjadi suami anaknya. Sebagai seorang ayah dan ibu, jentikan perasaan sebegitu kerap kalinya ada kebenaran. Mungkin itu anugerah Allah s.w.t kepada insan-insan yang bergelar ayah dan ibu. Lantas si ayah dan ibu tidak bersetuju untuk menerima pinangan lelaki berkenaan. Akibatnya, si ayah dan si ibu itu kini kehilangan seorang anak yang amat mereka sayangi semata-mata kerana perbuatan kahwin lari.

Situasinya kini, perkara itu sudah berlaku kerana sudah ditakdirkan begitu. Si ayah dan si ibu tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka sudah berkahwin, walaupun kahwin lari. Akibat daripada itu wajarkan si ayah dan si ibu tadi mendoakan kehancuran hidup anaknya? Apakah sudah benar-benar tidak wujud lagi rasa kasih dan sayang terhadap anak mereka itu kini? Dan wajarkah pula si anak tadi terus membuang keluarganya, tidak pulang memohon kemaafan daripada kedua ayah dan ibunya?

Lupakah mereka, bahawa 'air dicincang tidak akan putus' dan 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula'. Pepatah Melayu itu amat dalam maksudnya samalah seperti 'umpama daging, dicincang-cincang dimakan juga'.

Kepada si ayah dan si ibu, janganlah berdoa supaya kehidupan anak mereka itu hancur berkecai tetapi keraplah berdoa supaya hatinya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan dan pulang memohon kemaafan. Kepada anaknya pula, segeralah pulang kepada ayah dan ibu serta melutut memohon keampuan mereka sebelum kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Lupakan segala yang telah terlanjur berlaku dan jadikan semua itu sebagai pedoman di dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Semoga dengan itu kejernihan akan muncul selepas keruh yang melanda.
_____________________________________________________

"Setiap pembinaan perlukan asas yang kukuh, teguh dan kekal bertahan. Begitu jugalah membina sebuah rumah tangga, asas paling utama ialah restu kedua orang tua"
_____________________________________________________

Nov 26, 2009

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA


SAYA mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua pembaca budiman.

Nov 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

10 DZULHIJJAH 1430 = 27 November 2009 telah diisytiharkan sebagai Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini. Seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Pada hari kita di Malaysia merayakannya, seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci akan berkumpul dan bermalam di Mina selama tiga hari bagi memenuhi kewajiban di dalam ibadah tersebut. Selama di Mina jemaah haji akan melakukan kerja-kerja wajib haji iaitu melontar di ketiga-tiga jamrah sebelum berangkat semula ke Mekah bagi menyempurnakan rukun-rukun haji yang selebihnya. Semasa di Mina inilah jemaah haji akan mengambil kesempatan melakukan ibadat qurban, satu daripada syariat Islam yang disunatkan.

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka. Menurut Mazhab Syafie, ibadah ini disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan diri dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji. Ibadah Qurban ini adalah untuk memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

Justeru kepada yang berkemampuan, rebutlah peluang untuk melakukan ibadah Qurban ini sempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha nanti. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Seterusnya Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu". Manakala Rasulullah s.a.w. pula bersabda, maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Sabda Rasullah s.a.w lagi, yang bermaksud: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Di dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

Sempena ketibaan Aidil Adha ini, saya mengambil kesempatan memohon kemaafaan daripada rakan-rakan pembaca sekalian. Semoga kita sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan peliharaan Allah s.w.t.
__________________________________________
"Memohon kemaafan adalah sifat yang mulia, namum orang yang memaafkan orang lain jauh lebih mulia sifatnya"
__________________________________________

Nov 22, 2009

KISAH MASYARAKAT


SAYA
ingin berkongsi suatu kisah masyarakat yang berlaku ke atas seorang kenalan lama saya yang pernah berjiran. Dia seorang duda kematian isteri hampir 2 tahun yang lalu. Saya namakan dia sebagai D.

D seorang pesara jabatan Kerajaan, berusia 60 tahun, masih tegap, walaupun pernah mengalami sakit teruk dan berada di ICU selama 44 hari. Sejak kematian isterinya, D tinggal di rumahnya seorang diri. Tetapi sejak enam bulan yang lalu anak ketiganya (lelaki) pulang tinggal bersama-samanya setelah rumah tangganya berkecai oleh kerana perceraian. Manakala empat orang anaknya yang sudah berumah tangga masing-masing tinggal di tempat berlainan.

D menjalani hidupnya seperti biasa, melakukan kerja rumah bersendirian. Membasuh, membersih rumah, memasak dan lain-lain kerja yang biasa dilakukan allahyarhamah isterinya dahulu. Setiap pagi dia akan pergi bersenam di satu kawasan riadah yang disediakan oleh Majlis Bandaraya untuk warganya. Di situlah D berkesempatan bertemu rakan-rakan lamanya sambil berbual-bual mengenang kembali nostalgia zaman bekerja dahulu.

Y pula adalah seorang balu (bukan janda) yang sudah kematian suami sejak lebih 3 tahun yang lalu. Allahyarham suami Y meninggal dunia akibat penyakit misteri yang tidak dapat diubati oleh para doktor. Y memelihara 3 orang anak yang masih bersekolah. Untuk menampung keperluan keluarganya, Y bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran. Rumah Y dan rumah D tidak jauh, malah di dalam satu kawasan perumahan, hanya dipisahkan oleh beberapa blok rumah sahaja.

Ada beberapa orang duda di kawasan perumahan itu yang menaruh hati kepada Y, termasuklah D sendiri. Namun D tidak pernah menyuarakan perasaannya melainkan dipendamkan sahaja. Namun, pada suatu hari pecah cerita, D dan Y memadu cinta! Akibatnya anak-anak D menyerang Y bertalu-talu dengan pelbagai cemuhan dan amaran!

D teramat sedih kerana anak-anaknya sanggup bertindak melulu tanpa usul periksa terlebih dahulu. Semuanya hanya kerana fitnah semata-mata. Anak-anak perempuannya begitu lantang sekali memarahi Y malah bukan itu sahaja, mereka turut memarahi D yang dituduh sudah tidak sayang lagi kepada allahyarham ibu mereka. D menerangkan segala-galanya kepada anak-anaknya. Dia memang suka pada Y tetapi Y tidak pernah tahu perasaan hatinya selama ini. D sendiri tidak pernah meluahkan perasaannya kepada Y. D hairan bagaimana cerita dia bercinta dengan Y itu tersebar sehingga anak-anaknya dapat tahu? Bukan itu sahaja, yang peliknya ada cerita yang D selalu menghantar Y ke tempat kerjanya setiap pagi dia pergi bersenam. Malah ada juga cerita Y menghantar makanan ke rumah D.

Itulah fitnah namanya. Fitnah mengakibatkan banyak perkara buruk, pecah belah di dalam keluarga dan di kalangan masyarakat. Apa faedah yang diperolehi mereka-mereka yang suka menabur fitnah sebegitu? Puaskah hati mereka melihat D dan anak-anaknya bertegang leher dan bermasam muka? Anak-anak sudah tidak menghormati ayah mereka sehingga sanggup meninggikan suara terhadap orang yang banyak berjasa di dalam hidup mereka selama ini.

D dan Y adalah mangsa perbuatan manusia yang tidak beriman. Melempar fitnah demi untuk memuaskan nafsunya sahaja. Kepada D diharap akan sentiasa bersabar menghadapi dugaan itu. Begitu juga dengan Y. Biarlah Allah sahaja yang memberikan pembalasannya nanti.
____________________________________________

"Elakkan diri daripada menabur fitnah kerana perbuatan itu dimurkai Allah s.w.t.
____________________________________________