Pages

Apr 7, 2009

ALIRKAN KREATIVITI ANDA KE SALURAN YANG BETUL

HARI ini 7 April 2009, tiga pilihan raya kecil berlangsung, iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Perak, Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Batang Ai di Sarawak. Orang-orang politik termasuk penganalisis, peminat dan pemerhati tertumpu ke tiga-tiga kawasan pilihan raya berkenaan, bukan sahaja pada hari ini malah sejak selepas penamaan calon 29 Mac 2009 yang lalu. Mereka semuanya memberi perhatian yang mendalam serta menaruh harapan yang tinggi kepada calon-calon parti masing-masing yang bertanding.

Melihat kepada suasana di ketiga-tiga tempat berkenaan, jelas para penyokong dan pekerja parti masing-masing mempunyai kreativiti yang tinggi, baik di dalam cara menyusun dan memasang bendera serta banners kepada acara-acara berkempen setiap siang dan malam. Berbagai rupa bentuk yang dicipta bagi menarik perhatian orang ramai di kawasan mereka. Ada yang mencipta kereta kebal, roket atau kapal terbang yang dibalut dengan bendera parti dan diletakkan di tempat-tempat strategik supaya mudah dilihat umum. Malah berbagai lagi kreativiti yang terpancar.

Namun di dalam kesibukan itu mungkin tidak ramai yang membaca berita di dalam akhbar Harian Metro (Edisi Utara) pada Isnin, 6 April 2009. Di muka hadapannya terpampang tajuk berita : Cerpen lucah pelajar yang memaparkan tentang satu peraduan menulis cerpen lucah anjuran sebuah syarikat penerbitan yang menawarkan bayaran sehingga RM150-00 bagi setiap cerita erotik terbaik yang dihasilkan. Penerbit berkenaan menetapkan syarat penulis perlu mengarang 'kisah benar' hubungan seks mereka tidak kurang daripada 3,000 patah perkataan sebelum dihantar melalui emel ke alamat yang ditetapkan. Sasaran penerbit berkenaan ialah para pelajar sekolah yang berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan cerpen dan ingin mendapat pendapatan sampingan.

Berita tersebut tersiar setelah seorang ayah terjumpa novel lucah di bawah katil anaknya. Sebagai seorang ayah yang bertanggung jawab beliau telah mendedahkan taktik kotor penerbit yang tidak bermoral itu ke mata umum. Menurut beliau, tawaran menulis cerpen lucah itu tertampang di halaman belakang novel berkenaan. Ini amatlah menyedihkan kerana penerbit terbabit menggalakkan para remaja kita menyalurkan kreativiti mereka ke tempat yang tidak sewajarnya. Malah lebih menyedihkan lagi, novel-novel lucah tersebut ditulis di dalam Bahasa Melayu!

Apabila saya membacar berita tersebut, saya merasa amat hampa dan kecewa kerana kemurniaan kreativiti seseorang telah diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Sedangkan jika diasah bakat dan kreativiti yang dianugerahkan Tuhan itu ke jalan yang baik, hasilnya pasti akan lebih memberangsangkan lagi.

Kenapa tidak ada syarikat-syarikat penerbitan yang lebih berwibawa menganjurkan peraduan menulis cerpen atau novel remaja yang dikhaskan penyertaannya kepada golongan remaja sahaja. Mereka digalakkan mencurahkan kreativiti mereka melalui cerita-cerita yang bermoral dan dapat menjadi pedoman pembaca. Sediakan hadiah yang lumayan serta peluang menerbitkan hasil karya mereka itu di dalam bentuk buku dan dipasarkan kepada khalayak ramai. Melalui cara itu, para remaja akan dapat menyalurkan kreativiti mereka ke jalan yang betul dan memberi faedah.

Saya amat kesal dengan sikap penerbit yang sanggup menawarkan hanya RM150-00 bagi sebuah cerpen lucah yang tidak bermoral untuk dibaca oleh generasi muda yang akan membesar menjadi peneraju negara dan bangsa pada masa hadapan. Cerita-cerita sedemikian bukan sahaja tidak mempunyai nilai-nilai murni yang sepatutnya dimiliki dan dihayati oleh para remaja, malah jalan cerita dan gaya bahasa yang digunakan sudah tentu terarah kepada nafsu buas semata-mata.

Menurut berita itu lagi, novel yang dijual di antara RM8 hingga RM10 senaskah itu turut menyelitkan pelbagai gambar wanita separuh bogel untuk menarik perhatian pembaca yang rata-ratanya adalah remaja.

Demikianlah, di dalam usaha berbagai pihak untuk membina akhlak, maruah dan harga diri para remaja, ada pihak yang tidak bertanggung jawab dan bernafsu binatang mengambil kesempatan untuk merosakkan akhlak para remaja sekalian. Mereka itu sanggup menjadikan wang sebagai umpan semata-mata untuk merosakkan pemikiran dan sikap remaja yang masih belum mengenal erti kehidupan sebenarnya.

Saya menyeru kepada ibu bapa sekalian agar sentiasa memantau bahan bacaan anak-anak supaya tidak membaca novel-novel murahan dan tidak bermaruah seperti yang dipaparkan di dalam berita kelmarin itu. Jika anak-anak berminat untuk membaca hasil karya kreatif seperti cerpen atau novel, dapatkan sahaja buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit tersohor atau galakkan anak-anak meminjam daripada perpustakaan. Semoga anak-anak kita terhindar daripada segala gejala negatif tersebut.
_____________________________________________
" What the mind can conceive is what the man can achieve"

Apr 4, 2009

CERAMAH DI POLITEKNIK SEBERANG PERAI

2 APRIL 2009, pertama kali saya memasuki perkarangan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang (PSP). Sebelum ini, hanya melalui Jalan Permatang Pauh sahaja sama ada menziarahi keluarga sepupu saya di Kampung Belah Dua, ataupun sekali sekala ke Seberang Jaya.

Terasa amat tenang sewaktu saya memasuki perkarangan PSP pagi itu. Saya memandu dengan perlahan sekali sambil mata melilau mencari-cari di mana tempat yang harus saya tuju. Ikut kata Puan Maria dia sedang menunggu saya di bangunan selepas padang. Saya membelokkan kereta ke bangunan Perpustakaan, tetapi tiada tempat letak kereta. Memusingkan stereng keluar dari situ sambil mencari-cari ruang letak kereta yang kosong. Saya meletakkan kereta saya di tempat letak kereta di tepi padang.

Saya tiba jam 8.10 minit pagi dan Puan Maria sudah menanti ketibaan saya. "Maaflah, peserta belum sampai lagi, penceramah sudahpun tiba". Saya faham keadaan sebegitu kerana itu bukan pertama kali saya alami. Lagipun saya lebih suka tiba awal supaya saya dapat sesuaikan dengan keadaan, memasang laptop dan menyiapkan bahan-bahan yang saya sediakan terlebih dahulu.

Jam 8.20 minit, Pengarah PSP, Tuan Hj Azahan Othman tiba. Saya diperkenalkan kepadanya. Kami bersalaman dan berjalan masuk ke dewan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh seorang pelajar lelaki, kemudiannya ucapan aluan oleh Tuan Pengarah.
Di dalam ucapannya yang ringkas tetapi padat itu, saya dapat menyelami isi hatinya. Beliau adalah seorang yang memiliki sifat seorang ayah, kerana membahasakan 'anakanda' kepada para pelajarnya. Saya tertarik dengan sifat tersebut, kerana itu akan dapat merapatkan perasaan di antara para pelajar dengan beliau sendiri.

Saya menyampaikan ceramah motivasi kepada 60 orang peserta pada pagi itu. Topiknya ialah Membentuk Kecemerlangan Diri, topik yang dipilih oleh Puan Maria semasa kali pertama dia menghubungi saya dua minggu yang lalu. Di antara peserta termasuk juga beberapa orang pensyarah. Saya alu-alukan penyertaan mereka semua.

Kecemerlangan diri tidak mungkin dapat dicapai tanpa mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Namun proses mengenali diri itu amat sukar kerana sepanjang usia hingga kini, kita lebih kerap disogokkan dengan proses mengenali perkara-perkara lain.

Umpama seekor anak helang yang membesar di kalangan anak-anak itik akibat telurnya dieramkan siibu itik sehingga menetas bersama beberapa ekor anak itik yang lain. Apabila si ibu itik mengajar anak-anaknya berenang di tasik, si anak helang ini tidak dapat berenang seperti anak-anak itik yang lain. Setelah dia merenungi ke dalam dirinya, mencari siapa dirinya, akhirnya dia dapati dia bukan seekor itik. Tetapi dia adalah seekor anak helang yang sama seperti helang-helang yang berterbangan di angkasa. Bukan itu sahaja, dia sendiri tidak tahu bahawa itik-itik itu adalah mangsa yang boleh dijadikan makanannya!

Betapa kisah itu boleh menjadi iktibar kepada kita, kerana tanpa mengenali diri sendiri, kita tidak dapat mencapai kecemerlangan yang diidam-idamkan. Benarlah kata pujangga bahawa "Mengenal diri itu punca segala ilmu" serta mafhum hadis Rasulullah s.a.w "Barang siapa yang kenal dirinya, sebenarnya dia sudah mengenali Tuhannya".
Kecemerlangan diri bukan sahaja diukur dari segi luaran tetapi juga perlu meliputi ke dalam diri. Jika dari segi perwatakannya kita tampak cemerlang sedangkan masih bersikap negatif, maka itu bukanlah kecemerlangan yang sebenarnya. Justeru, keseimbangan di antara cemerlang luaran dan dalaman amatlah perlu sekali dimiliki.

Persiapan untuk cemerlang harus mula ditanam di sanubari lebih awal lagi kerana proses itu amat panjang. Umpama menanam sebutir benih, jika mahu ia tumbuh membesar menjadi sepohon rendang yang bermanfaat, perlulah dibaja, disiram, dijaga sepanjang masa. Tanpa penjagaan yang rapi benih itu kemungkinan akan mati terlebih awal.

Kepada para peserta Seminar Motivasi Kecemerlangan Diri tempoh hari, saya doakan anda semua beroleh kejayaan di dalam kehidupan anda. Saya akan tumpang berbahagia jika benih yang saya bawakan itu ditanam dan dijaga dengan sebaik mungkin, sehingga ia membesar menjadi pohon rendang yang berguna.

Selamat berjaya!
_______________________________________________

"Kecemerlangan tidak akan tercapai tanpa melalui proses mengenal kekuatan dan kelemahan diri terlebih dahulu"

Mar 30, 2009

BENARKAN GURU BERPOLITIK?

DI DALAM Perhimpunan Agung UMNO yang baharu selesai, timbul suara cadangan supaya guru-guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik. Tetapi pada masa ini terdapat larangan guru-guru bergiat aktif di dalam politik supaya tugas hakiki para guru tidak terabai.

Malaysiakini.com hari ini menyiarkan berita seperti berikut:-

Guru berpolitik boleh timbul masalah
Mar 30, 09 10:09am

Cadangan pemimpin kanan Umno membenarkan guru aktif semula berpolitik dibimbangi boleh menimbulkan masalah, termasuk menjejaskan pelajar.

Saranan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga menteri pelajaran, dipersoalkan oleh Persatuan Bekas PegawaiPerkhidmatan Pendidikan yang menganggap rancangan Menteri Pelajaran itu bakal menimbulkan masalah kelak, lapor Bernama.

"Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu.

"Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadinanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa," yang dipetuanya Abdul Karim Abdullah dipetik berkata.

Tambahnya, rancangan itu waar diperhalusi dan dibincangkan ke peringkat akar umbi kerana ia bukan isu remeh.

Semasa menggulung perbahasan mengenai isu pendidikan pada perhimpunan agung Umno kelmarin, Hishammuddin mencadangkan guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik.

Bagaimanapun beberapa pihak berpendapat langkah itu wajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan tersebut bagi membuka peluang berpolitik kepada guru, lapor agensi berita itu lagi.

"Ini merupakan perkembangan positif yang diberikan kepada guru, jadi lebih ramailah golongan profesional dan berpendidikan akan terlibat secara langsung.

"Kalau boleh biarlah guru sahaja yang terlibat, bukan pegawai kerana kelak tidak mahu ada masalah di kalangan pegawai," presiden NUTP Hashim Adnan dilaprkan berkata.

Namun Hashim tidak menolak ada risiko yang bakal timbul, makabeliau mencadangkan satu garis panduan yang jelas dan nyata mengenainya dikeluarkan.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nardin Awang turut bersetuju dengan cadangan Hishammuddin itu dan berharap ia dilaksanakan.

"Jika diimbas semula dalam sejarah politik negara, guru adalah pencetus dan penggerak Umno. Guru memainkan peranan kerana sebagai pendidik, guru mempunyai pengaruh untuk memandu pemikiran masyarakat.

"Jadi cadangan Hishammuddin untuk membenarkan guru kumpulan A berpolitik amatlah baik. Cuma perlu dibuat pindaan tentang perkara ini kerana sekarang terdapat larangan guru menyertai politik," katanya.


Kita tidak pasti kenapa tiba-tiba isu ini ditimbulkan kembali setelah sekian lama para guru dilarang aktif di dalam politik? Biar apa sekalipun alasan dan rasionalnya, kita wajar melihat kepada tugas dan tanggung jawab para guru sekalian.

Guru diamanahkan untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi insan cemerlang di hari muka. Guru wajar memainkan peranan menjadi pencetus semangat gigih anak bangsa untuk mengejar ilmu setinggi mungkin. Guru perlu berada di dalam dunia pendidikan dengan memiliki kesedaran yang jelas tentang peranan mereka.

Tugas dan tanggung jawab guru masa kini sudah jauh berbeza daripada zaman dahulu. Tugas dan tanggung jawab mereka semakin mencabar dan memerlukan lebih banyak masa untuk menanganinya. Pada zaman saya bersekolah dahulu, tugas dan tanggung jawab guru hanyalah setakat di sekolah sahaja. Di luar masa sekolah para guru boleh mempunyai masa untuk melakukan bidang-bidang lain yang diminati mereka.

Tetapi mutakhir ini, tugas dan tanggung jawab para guru jauh lebih besar. Bukan hanya mengajar mata pelajaran di sekolah, malah turut terlibat di dalam berbagai kegiatan dan aktiviti untuk melahirkan para pelajar yang cemerlang akademik dan juga kokurikulum. Pembinaan insan cemerlang bermula di alam persekolahan dan gurulah orang penting untuk melahirkan insan-insan cemerlang yang diharapkan itu.

Bukan itu sahaja, para guru juga terlibat dengan berbagai tugasan lain selain mengajar. Rata-rata para guru masa kini kerap bersungut tugasan hakiki mereka agak terabai kerana tugasan-tugasan lain yang turut dibebankan ke atas mereka.

Lantaran itu, wajarkah para guru dibenarkan berpolitik?

Jika kebenaran itu diberikan, akan ada guru-guru yang mengambil kesempatan berpolitik di dalam waktu sekolah. Apabila terlibat dengan politik dan tambahan pula memegang jawatan parti, maka guru-guru berkenaan pasti sekali akan kurang memberi perhatian kepada tugasan hakiki. Mereka akan lebih sibuk dengan aktiviti politik dan akan lebih kerap meninggalkan kelas.

Saya pernah berjumpa dengan seorang guru yang aktif berpolitik di peringkat Bahagian. Beliau kerap tidak datang ke sekolah dengan alasan menghadiri mesyuarat di sana sini. Oleh kerana beliau adalah seorang Guru Besar, guru-guru lain tidak dapat berbuat apa-apa, tetapi masing-masing tahu beliau terlibat di dalam politik. Akibatnya, pengurusan sekolah terabai.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika di dalam sesebuah sekolah, seorang guru Penolong Kanan dan Pengetua sama-sama terlibat di dalam politik. Guru Penolong Kanan memegang jawatan Ketua Bahagian sementara Pengetua pula adalah Setiausaha Bahagian yang sama. Kedua-dua mereka adalah orang penting yang mengemudikan pentadbiran sekolah tetapi dalam masa yang sama terlibat aktif di dalam politik. Lebih membimbangkan lagi jika di dalam politik mereka berada di dalam kem yang berbeza, tidak sehaluan dan saling berusaha membunuh karier politik antara satu sama lain.

Bagaimana pula jika ada lebih ramai guru di sebuah sekolah yang aktif di dalam politik parti pembangkang berbanding dengan guru-guru yang menyertai parti politik kerajaan? Kesannya pasti akan dirasai oleh para pelajar serta guru-guru yang tidak menyertai politik. Keadaannya pasti amat menyedihkan! Siapa yang akan untung?

Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan membenarkan guru berpolitik! Biarlah guru dengan tugas murni sebagai pendidik anak bangsa yang turut sama melahirkan ahli-ahli politik yang berjaya walaupun mereka bukan seorang tokoh politik!
________________________________________

"Jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari"

Mar 28, 2009

SAYANG DAN SUKA

"JANGAN tinggalkan orang yang kita SAYANG untuk orang yang kita SUKA, kerana orang yang kita SUKA itu akan tinggalkan kita untuk orang yang mereka SAYANG. Jangan cuba dapatkan apa yang kita SAYANG, tetapi SAYANGlah dengan apa yang kita ada"

Inilah SMS yang saya terima lewat petang kelmarin. SMS ini masuk ke telefon saya sewaktu saya sedang memandu. Apabila tiba di rumah saya membacanya. Tetapi malang sekali, saya tidak kenal siapa pengirimnya. Kemungkinan pengirim ini kenal saya tetapi saya tidak kenala kerana tidak menyimpan nombor telefonnya di dalam kotak simpanan saya. Saya mohon kemaafan daripada rakan pengirim ini.

Saya tertarik dengan kiriman SMS berkenaan kerana ia membuatkan saya berfikir. Menilai isi yang tersurat dan makna yang tersirat. Dua kata kunci yang amat jelas ialah SAYANG dan SUKA. Kedua-dua kata kunci itu membawa makna yang boleh dikupas dengan lebih terperinci.

Memang antara SAYANG dan SUKA ada bezanya. SAYANG bermaksud kita mengasihi atau mencintai sama ada seseorang atau sesuatu benda atau sesuatu perkara dan sentiasa berharap akan dapat bersama-sama dengan yang kita sayangi itu sentiasa. Jika sayangkan seseorang, kita berharap dapat bersama orang itu selalu. Jika sayangkan sesuatu benda kita ingin benda itu berada di dalam keadaan yang terbaik. Begitu juga jika sayangkan sesuatu perkara, kita mahu perkara itu sentiasa menjadi pendorong untuk kita menanjak ke tempat yang lebih tinggi dan memuaskan.

SUKA pula membawa erti ingin atau minat atau gemar kepada seseorang, sesuatu benda atau sesuatu perkara. Apabila kita sukakan seseorang maknanya kita ingin atau minat atau gemar untuk mendampingi orang itu. Jika sukakan sesuatu benda pula, kita ingin, minat dan gemar untuk melihat benda itu. Dan begitu juga jika kita suka kepada sesuatu perkara.

Jelasnya, SAYANG itu lahir daripada rasa SUKA. Tidak mungkin SAYANG akan berputik tanpa bunga-bunga SUKA berkembang mekar terlebih dahulu. Itu adalah lumrahnya, urutan yang berlaku di dalam kehidupan insan.

Oleh itu, di dalam persahabatan, pastikan anda dapat bezakan di antara SAYANG dan SUKA itu terlebih dahulu supaya anda tidak akan kecewa kemudian nanti. Sebelum menyayangi seseorang itu dengan lebih mendalam, perlulah anda pastikan anda benar-benar SUKA kepadanya. Dan yang lebih penting pastikan sama ada orang yang anda suka itu tahu yang anda sukakannya serta dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadap anda.

Sayang tidak akan dapat menjadi indah dan bermakna jika kedua-dua belah pihak tidak mempunyai perasaan yang sama.
____________________________________________

"Sayangi dirimu terlebih dahulu sebelum menyatakan sayang kepada orang lain kerana orang lain tidak mungkin menyayangimu lebih daripada mereka sayangi diri mereka sendiri"

Mar 23, 2009

PESTA PANTUN PIALA TNC, UUM SINTOK

SUNGGUH asyik mendengar kepetahan para peserta Peringkat Akhir Pesta Pantun Piala TNC, Universiti Utara Malaysia, Sintok menjual dan membeli pantun. Acara berlangsung di Dewan MAS, Desa Penginapan Pelajar MAS, pada 20 Mac 2009 yang lalu. Saya diundang sebagai Panel Juri bersama Sdr Ahmad Sukri Ismail dan Pn Meriyah Nanyan.

Kepetahan para peserta mengungkapkan baris-baris pantun yang dicipta sungguh mengagumkan. Dengan lenggok suara dan intonasi yang dibentuk sedemikian rupa menjadikan pantun-pantun yang dilafazkan itu lebih berseri.


Namun, saya berpendapat gaya melafazkan pantun tidak seharusnya begitu. Tidak seperti yang dilafazkan di dalam acara-acara pesta pantun yang kerap diadakan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan sekalipun. Malah telah sampai ke peringkat IPTA serta jabatan Kerajaan dan Sektor Korporat juga. Ini semua dapat dikesan melalui pertandingan berbalas pantun yang sering diadakan dari masa ke semasa.

Gaya intonasi yang mendayu dan melankolik bukanlah gaya melafazkan pantun. Seharusnya pantun dilafazkan mengikut kesesuaian makna yang terserlah di dalam dua baris akhir pantun berkenaan.

Di peringkat IPT seperti di Universiti Utara Malaysia contohnya, tahap dan gaya melafazkan pantun tidak seharusnya sama seperti di peringkat sekolah menengah lagi. Saya dapati para peserta tidak mengetahui bagaimana cara sebenarnya pantun dilafazkan. Mereka hanya mengikut apa yang pernah didengar seperti di dalam acara pesta pantun yang dijalankan sebelum ini sahaja.

Begitu juga dengan isi dan gaya bahasa yang digunakan di dalam pantun-pantun mereka. Saya dan rakan-rakan panel juri berpendapat isi pantun-pantun yang dicipta oleh para peserta agak kurang menyerlah dari kedua-dua aspek ini. Pantun-pantun yang diketengahnya kurang bernas dari segi isinya dan begitu juga dengan pemilihan diksi-diksi atau gaya bahasa yang digunakan. Meskipun kedengaran seperti indah dan menawan, namun apabila diamati gaya bahasa yang digunakan agak kurang tepat seolah-olah terlalu dibuat-buat supaya kedengaran hebat!

Perhatikan pantun-pantun berikut yang saya ambil daripada kedua-dua pasukan yang bertanding pada malam tersebut:-

Tekad diatur menyusun langkah,
Turun bertandang memburu gelaran,
Hajat diukur tinggi menggalah,
Seni budaya warisan berzaman.

Seri selembar lilitnya renda,
Mengguris cahaya hiasan melati,
Seninya sirna adat ibunda,
Tertiris budaya mana pengganti?

Tiupan bayu angin membelai,
Tingkah bersenda awan memutih,
Santunan Melayu lemah gemalai,
Benarkah bonda baru bertatih?

Walau apapun, syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah berjaya mengadakan acara tersebut dengan jayanya. Juga tahniah diucapkan kepada Juara iaitu DPP Sime Darby yang telah menewaskan DPP Yayasan Al-Bukhary. Semoga akan bersemaraklah lagi pantun tradisional di persada bumi Sintok yang nyaman ini.
Berkat sokongan pihak Hal Ehwal Pelajar serta Dekan dan Pengetua DPP MAS, saya amat mengharapkan supaya acara sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

______________________________________________

"Budaya sendi keutuhan bangsa"

PUISI


DEMI HARGA SEBUAH BANGSA BERBAHASA

Sempat aku melihat
dia berjalan meredah pedih
di dadanya ada api
menggunung semangat juang
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Sempat aku dengar
suara resah dan amarahnya
di atas pentas kesempatan
dia tidak diperalatkan
tapi dia dimanfaatkan
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Suara resahnya mengalir
dari dinding ke dinding
sekian lama berlegar di situ
kini suaranya lantang menggegar
langit bumi tercintanya
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Hilang lelahnya bila berbicara
terpancar sayang kasihnya
erat berpadu semangat
perjuangannya telah lama bermula
lewat ungkapan-ungkapan puitis
pada lembar-lembar sopan
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.

Dialah penyambung lidah rakyat
suara yang mula berdengung
kini tiba ke tangga parlimen
dalam ungkapan bahasanya sama
untuk dimengertikan kegelisahan ini
demi harga sebuah bangsa
berbahasa.


23 Mac 2009
Pinggiran Taman Bayu
_________________________________________________________

"Bahasa itu adalah jiwa bangsa. Bangsa akan hancur tanpa bahasanya sendiri"

Mar 14, 2009

TAHNIAH DAN SYABAS

TAHNIAH dan syabas saya ucapkan kepada para pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang di dalam SPM 2008 yang diumumkan 12 Mac yang lalu. Sesungguhnya kejayaan yang diraih oleh para pelajar sekalian itu merupakan hasil usaha dan kegigihan menekuni pelajaran selama dua tahun selepas PMR terdahulu. Ia juga menjadi bukti bahawa anda semua mampu melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Melihat wajah-wajah ceria penuh kegembiraan semasa menerima slip keputusan masing-masing yang tersiar di dalam media massa sehari dua ini, saya tumpang merasainya sama. Selain merasa syukur dan gembira di atas kejayaan anak saya yang mendapat 5A 4B 1C, saya memang amat bersyukur melihat kejayaan yang diraih para pelajar sekalian.

Kepada para guru dan ibu bapa yang anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang, saya ucapkan syabas kerana telah menanamkan rasa yakin dan percaya kepada diri anak-anak semasa mereka menghadapi detik-detik pertarungan di dalam peperiksaan itu dahulu. Berkat usaha dan kesungguhan serta doa para guru dan ibu bapa sekalian, anak-anak kita sudah mendapat keputusan seperti mana yang sudah diumumkan itu.

Sekalung tahniah kepada Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, dari Maahad Muhamadi Perempuan, Kota Bharu, Kelantan, yang mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 di peringkat kebangsaan. Walaupun hanya anak seorang nelayan dan penyampu sampah, Madihah membuktikan kemiskinaan bukan batu penghalang untuk cemerlang. Saya tertarik dengan kenyataan Madihah seperti yang disiarkan melalui TV malam semalam, dia tidak mengikuti kelas tusyen kerana percaya dan yakin kepada kewibawaan guru-gurunya di sekolah. Dia mengatakan bahawa dia memelihara hubungan baik dengan guru-gurunya serta sering bertanyakan sebarang soalan jika dia tidak faham dengan apa yang diajari mereka.

Sikap ini amat baik dan perlu dimiliki oleh setiap pelajar yang ingin berjaya. Mendampingi guru sambil bijak memanfaatkan hubungan baik itu untuk mencungkil dan mendapat lebih banyak ilmu daripada para guru. Para pelajar jangan sekali-kali memusuhi guru kerana sikap itu akan merugikan anda sekalian.

Saya juga tertarik dengan berita di dalam http://malaysia.yahoo.com/ tentang kejayaan cemerlang seorang pelajar aliran sains berketurunan India dari SMK Ibrahim, Sungai Petani, G Muneswaren yang berjaya memperolehi 15A1 serta lulus mata pelajaran Tasawwur Islam. Agak jarang kita mendengar berita pelajar bukan Islam yang lulus dengan cemerlang di dalam mata pelajaran Agama Islam. Ini membuktikan bahawa jika ada kemahuan dan kesungguhan yang mendalam, para pelajar tidak akan menghadapi kesukaran untuk berjaya. Pucuk pangkalnya ialah keyakinan kepada diri dan potensi diri sendiri.

Menurut laporan, lebih 180,000 orang pelajar yang lulus semua mata pelajaran dengan hampir 11,000 orang mendapat 10A1 atau lebih dan hampir 12,000 orang lagi mendapat 9A atau 8A. Ini bukanlah bilangan yang sedikit jumlahnya, tetapi satu jumlah yang amat membanggakan. Walau bagaimana pun, masih ramai yang kurang bernasib baik kerana tidak berada di dalam kelompok pelajar cemerlang seperti dilaporkan itu.

Para pelajar yang berjaya tentulah mudah untuk membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke IPTA yang sedia ada, sama ada di dalam atau di luar negara. Namun, bagi mereka yang kurang bernasib baik jangan sekali-kali berputus asa kerana anda masih belum terlewat. Meskipun peluang ke IPTA tersohor untuk mengikuti kursus-kursus terpilih agak sempit, peluang tetap ada jika anda sentiasa mencarinya. Peluang-peluang yang disediakan umpamanya di Politeknik, Institut Perguruan, Kolej Poly-tech MARA, Kolej Komuniti selain di IPTS-IPTS di dalam negara kita sentiasa tersedia. Anda hanya perlu rajin meneroka dan mencari peluang-peluang itu.

Meskipun jalannya agak sedikit jauh, tetapi apa yang penting anda dapat sampai ke destinasi yang dicita-citakan. Biarpun lambat asalkan anda dapat mencapainya.

Saya ucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya dengan cemerlang dan berdoa agar para pelajar yang kurang cemerlang akan tabah dan tidak kecewa. Anda perlu terus berusaha untuk sampai ke puncak kejayaan. Selamat berjuang!

_________________________________________________

"Jalan ke puncak tidak semudah yang difikirkan, ia memerlukan kecergasan, kepintaran serta ketangkasan untuk melalui jalan tersebut supaya matlamat tiba di puncak tercapai jua"

Mar 8, 2009

EMPAT ASAS MEMBENTUK REMAJA BERAKHLAK MULIA

GEJALA negatif yang berlaku dewasa ini amat menggerunkan. Lebih menggerunkan lagi ialah segala gejala itu berhubung kait dengan remaja. Dari kes-kes ringan hinggalah kesalahan jenayah yang berat, termasuk membunuh. Keadaan ini perlu dibendung segera supaya remaja kita bebas daripada segala gejala tidak sihat itu. Sekaligus menjadikan masyarakat kita lebih aman dan harmoni.

Esok umat Islam akan menyambut ulang tahun hari keputeraan Rasulullah s.a.w. iaitu 12 Rabiul awal. Kelahiran Baginda ke dunia ini membawa rahmat untuk seluruh alam sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Anbia, ayat 107 yang bermaksud, " Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"

Justeru sebagai umat Islam yang beriman kepada para Nabi dan Rasul, sewajarnyalah kita meneladani segala sikap dan perjuangan Baginda supaya hidup kita sentiasa berada di atas landasan yang betul dan benar.

Kali ini saya memetik sebuah tulisan oleh Sumilah Marto seperti yang tersiar di dalam http://hidayahnet.tripod.com/Columnist/2003/4asas.html dan juga yang pernah tersiar di dalam Berita Harian, 20 Ogos 2003 berjudul Asas Membentuk Remaja Berakhlak Mulia. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada kita semua.

ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang mengalaminya. Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai khalifah Allah.

Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.

Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Riwayat Bukhari).

Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan negara. Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.

Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan sebagainya.

Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa faktor.
Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.

Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya.
Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah remaja.

1. Peranan Ibu bapa

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim ayat 6).

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah: - Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang baik sejak anak kecil.

- Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama menerima ganjaran atau pujian.

- Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan, membaca al-Quran dan bersukan. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

- Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.

- Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza antara satu sama lain.

2. Peranan Guru

Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas pendidikan dilakukan Rasulullah. Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."

Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:

- Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi ikutan.
- Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga.
- Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' kepada pelajar.
- Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.
- Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan Rabbani.

3. Peranan Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.

Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain.
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.

Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa.

4. Peranan Anggota Masyarakat

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." - (Surah Ali Imran, ayat 103).
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain." - (Riwayat at-Tabarani).

Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan remaja yang sihat. Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:

- Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak pembangunan negara pada masa akan datang.
- Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih belia remaja aktif dalam berpersatuan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah.
- Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia mengasihi anaknya sendiri.
- Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain) supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan dengan berkesan.
- Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan pekerja mereka. Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan, kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain.

Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah.

Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang.

Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah Al-Qasas, ayat 56).

_________________________________________________

"Wahai remaja Islam, jadikanlah Rasulullah s.a.w itu idolamu, ajarannya sebagai pedomanmu, semoga engkau selamat melayari kehidupanmu di dunia hingga akhirat"

Feb 28, 2009

MENGHAYATI RUKUN NEGARA


SAYA mencuba sedaya upaya untuk tidak menyentuh hal-hal yang berkaitan politik. Tetapi oleh kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini membuatkan saya memaksa diri untuk menyentuh sedikit tentang topik berkenaan. Semua ini adalah kerana tekanan yang saya rasai sejak akhir-akhir ini.

Peristiwa yang benar-benar menyentuh hati saya ialah peristiwa 'serangan' beberapa Ketua Pemuda UMNO dari Selangor ke Parlimen sehingga berlakunya suasana yang amat memalukan. Saya beranggapan kejadian itu tidak seharusnya berlaku, tetapi kini ia telah berlaku dan menjadi satu sejarah yang tidak mungkin dapat dikikis lagi.

Saya tidak bercadang untuk melibatkan diri menuding jari siapa yang bersalah atau sebaliknya. Saya hanya sekadar mahu menyatakan isi hati yang menekan perasaan saya sahaja, tidak lebih dari itu.

Daripada peristiwa itu terserlahlah kepada kita betapa ada pihak yang tidak menghormati institusi yang kita hormati selama ini. Semasa saya bersekolah dahulu, kami diarahkan oleh guru-guru supaya menghafal Rukun Negara. Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Kami menghafalnya bersungguh-sungguh kerana itu adalah arahan daripada guru-guru, sehingga ada ketikanya kami terkeliru di antara rukun negara dengan rukun Islam atau rukun iman.

Begitulah, kami semasa di sekolah dahulu. Tetapi sejak sedekad dua kebelakangan ini menghafal rukun Negara sudah tidak diamalkan lagi. Pelajar-pelajar sekolah sudah tidak digalakkan menghafal dan mengingatinya dengan sepenuh hati. Jika ada sekalipun rukun Negara hanyalah tercetak di kulit belakang buku latihan sekolah sahaja. Itu hanyalah pameran bukan penghayatan. Saya yakin, Ketua-ketua Pemuda UMNO yang bertindak aggresif di Parlimen dua hari yang lalu, kemungkinannya tidak sempat melalui zaman persekolahan sezaman dengan saya dahulu. Akibatnya mereka hanya mungkin dapat menyebut setiap rukun itu sahaja tanpa menghayati makna sepenuhnya.

Kedaulatan Undang-undang yang merupakan rukun keempat daripada Rukun Negara itu kurang dihayati. Menyebutnya memanglah mudah, tetapi menghayati sepenuhnya amatlah sukar. Sebagai bakal pemimpin negara di masa muka, sewajarnya mereka menghayatinya mulai sekarang. Tidak melanggar undang-undang serta menghormati institusi yang menggubal undang-undang dan individu-individu yang dilantik sebagai penggubal undang-undang, wajarlah dihormati. Berbeza pendapat serta pandangan bukanlah bermakna kita boleh mengetepikan undang-undang. Di manakah letaknya kedaulatan undang-undang itu jika warga negara sendiri tidak menghormatinya? Samalah juga di manakah kedaulatan Raja-Raja jika rakyat sendiri tidak memartabatkannya?

Nilai-nilai murni seharusnya terpancar daripada penghayatan rukun negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan. Matlamat asalnya rukun ini diwujudkan adalah untuk melatih rakyat Malaysia menjadi rakyat yang memiliki serta mengamalkan nilai-nilai yang sopan serta bertata susila tinggi di dalam kehidupan mereka. Bukannya bersifat 'celupar' atau 'kurang ajar'!

Alangkah murni dan harmoninya Malaysia jika semua rakyat mengamalkan nilai-nilai murni yang diwarisi zaman berzaman samada melalui ajaran Islam atau adat budaya ketimuran yang tinggi dan luhur. Jika bakal-bakal pemimpin sudah tidak lagi mengamalkan sikap serta nilai-nilai murni yang sewajarnya, sudah pasti nanti watan akan menanggung akibatnya.

Siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk menjunjung tinggi Rukun Negara? Kepada para pelajar dan remaja masa kini, ambillah peristiwa hitam itu sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa-masa hadapan.

Gambar-gambar dipetik daripada Malaysiakini.com
_________________________________________

"Kesilapan yang dilakukan amat memeritkan perasaan, tetapi bertahun-tahun kemudian segala kesilapan yang dilakukan itu akan menjadi segunung pengalaman yang amat berguna sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama di dalam menjejaki puncak kecemerlangan"

Feb 24, 2009

GALERI SULTAN ABDUL HALIM



GALERI Sultan Abdul Halim (GSAH) telah selamat dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'azzam Shah, Sultan Kedah Darul Aman pada 22hb Februari 2009 sempena Sambutan Hari Keputeraan Tuanku Sultan pada tahun ini. Galeri ini terletak di bangunan Mahkamah lama di persimpangan Lebuh raya Darulaman dan Jalan Putera berhampiran Bangunan Perseketuan, Wisma Negeri, Balai Nobat dan Hotel Samila, di tengah bandar raya Alor Setar.

Mulai 22hb Februari, GSAH ini dibuka kepada orang ramai secara percuma sehingga 24hb Februari 2009 sahaja. Selepas tarikh itu akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak.

Kelmarin saya mengambil kesempatan untuk masuk dan melihat pameran yang disediakan di dalam GSAH. Bangunan Mahkamah ini kosong selepas Mahkamah Alor Setar berpindah ke bangunan barunya di Suka Menanti dua tahun yang lepas. Lalu bangunan ini diubah suai menjadi GSAH. Kerja-kerja hiasan dalamannya siap lebih kurang dua hari sebelum upacara perasmian disempurnakan.

GSAH menempatkan barang-barang koleksi peribadi Tuanku Sultan Abdul Halim dan juga koleksi Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah serta koleksi peribadi Tuanku Sultanah Hamimah. Di antara koleksi yang dipamerkan di dalam GSAH termasuklah koleksi pakaian Tuanku, termasuk jam tangan, topi, kasut, kaca mata, beg, dan sebagainya. Di satu sudut dipamerkan watikah pengisytiharan pertabalan Tuanku sebagai Sultan Kedah ke-25 serta dokumen-dokumen peribadi seperti sijil kelahiran, daftar persekolahan Tuanku di Kolej Sultan Abd Hamid, kad pengenalan, lesen memandu serta pasport antara bangsa milik Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah.

Di satu ruang lain, dipamerkan kereta-kereta milik Tuanku Sultan serta hadiah-hadiah dan cenderamata daripada rakyat yang dihadiahkan kepada Tuanku Sultan. Terdapat berbagai jenis dan bentuk hadiah serta cenderamata yang dipamerkan di situ. Ada cenderamata daripada pelajar-pelajar sekolah, politeknik dan universiti selain cenderamata daripada khariah masjid-masjid yang dirasmikan pembukaannya oleh Tuanku Sultan.

Di dalam GSAH ini juga terdapat sebuah bilik tayangan yang menayangkan filem tentang sejarah kesultanan Kedah sejak awal sehingga kini. Tayangan itu lebih banyak memfokuskan kepada zaman pemerintahan Tuanku Sultan Abdul Halim yang telah merayakan Jubli Emas pemerintahan baginda pada tahun 2008 yang lalu.

Apa yang menarik pada saya bukanlah sangat barang-barang yang dipamerkan itu, tetapi keinginan rakyat untuk melihat dengan lebih dekat peribadi dan perwatakan Sultan Kedah yang dikasihi. Melalui pameran itu rakyat dapat melihat dengan jelas keprihatinan Tuanku terhadap rakyat jelata dan dengan itu akan dapat menambahkan lagi kasih sayang rakyat terhadap Tuanku Sultan.

Alangkah eloknya jika GSAH ini dibuka secara percuma supaya lebih ramai lagi rakyat jelata yang akan dapat mengenali Tuanku Sultan. Rakyat yang kurang kemampuan juga dapat memasuki GSAH ini dengan penh rasa bangga memiliki Sultan yang benar-benar berjiwa rakyat.
_______________________________________


"Peristiwa hari ini akan menjadi sejarah jika semua orang dapat menilainya sebagai sebuah sejarah yang patut dikenang, jika tidak peristiwa itu akan berlalu tanpa sebarang makna".