Pages

Showing posts with label Aklak. Show all posts
Showing posts with label Aklak. Show all posts

Jan 17, 2009

SALAM DAN BERJABAT SALAM


MEMBERI salam amatlah digalakkan dan sunat di dalam ajaran Islam. Apabila anda bertemu rakan sesama Islam, sunat memberikan salam, iaitu satu ungkapan dan ucapan mengandungi doa semoga orang yang diberi salam itu mendapat rahmat Allah, dengan mengucapkan "Assalamu'alaikum".

Manakala orang yang menerima ucapan salam pula wajib menjawabnya. Juga ungkapan dan ucapan yang mengandungi doa agar rakan yang memberi salam itu sama-sama mendapat rahmat Allah, dengan ucapan, "Wa'alaikum salam".

Amalan memberi salam kepada saudara seIslam sudah menjadi amalan kebanyakan orang dewasa ini. Para pelajar sudah diajar dan dilatih semasa di sekolah apabila bertemu dengan guru-guru beragama Islam hendaklah memberikan salam. Tiada lagi ucapan "Selamat pagi cikgu" seperti saya bersekolah dahulu. Ataupun ucapan, "Good morning Sir".

Begitu juga di kalangan orang dewasa, kakitangan Kerajaan atau pun swasta sekarang ini sudah menjadi kebiasaan memberi salam kepada rakan seIslam apabila bertemu. Di pejabat-pejabat juga sudah menjadi amalan. Lazimnya, selepas memberi dan menjawab salam, kedua-dua sahabat atau rakan itu akan berjabat salam. Pastinya berjabat salam sesama jantina, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, bukan sebaliknya.

Namun, saya ingin menyentuh sedikit mengenai amalan tidak baik sesetengah orang ketika berjabat salam. Ada berbagai cara orang berjabat salam. Jika anda rajin memerhati gaya orang berjabat salam, anda akan dapat mengesan berbagai cara orang berjabat salam.

Ada orang berjabat salam dengan sebelah tangan, menggenggam dan mengoncang-goncang tangan rakannya dengan kuat. Ada yang menggunakan kedua-dua belah tangannya menggenggam dan menggoncang-goncang tangan rakannya. Ada juga yang berjabat salam tanpa menggenggam dan menggoncang dengan kuat.

Malah ada juga yang hanya berjabat salam dengan tangan yang seolah-olah enggan memegang tangan rakannya. Tiada genggaman yang kemas dan goncangan yang kuat. Dia hanya menyentuh tangan rakannya, membiarkan rakannya sahaja yang menggenggam atau menggoncang tangannya.

Ada juga yang berjabat salam bukan dengan cara seperti disebutkan itu. Mereka hanya menghulurkan tangan tidak menggenggam tangan rakannya, tetapi sekadar menyentuh di hujung jarinya sahaja.

Selalunya selepas seseorang itu berjabat salam, dia akan meletakkan tangannya itu ke dada. Ini menggambarkan satu penerimaan yang ikhlas akan salam yang dihulurkan rakannya tadi. Jarang sekali kita melihat orang selepas berjabat salam tidak meletakkan tangan ke dada. Perlakuan tersebut sekaligus mengeratkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.

Seperkara lagi ialah pandangan mata. Mata kedua-dua orang yang berjabat salam itu sepatutnya saling berpandangan. Biar mata bertentang mata. Barulah akan lahir rasa persabahatan yang erat dan penuh kemesraan. Selain daripada menzahirkan rasa ikhlas dan jujur semasa berjabat salam.

Anda tentu pernah mengalami mana-mana satu daripada cara orang berjabat salam seperti yang saya ceritakan. Atau anda sendiri pun pernah berjabat salam dengan salah satu daripada cara-cara tersebut?

Walau bagaimanapun, kita perlu melazimkan diri kita sendiri memberi salam dan berjabat salam setiap kali kita berjumpa dengan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang beragama Islam. Cuma saya ingin berpesan supaya jika anda memberi salam kemudian menghulurkan tangan berjabat salam, pastikan gaya anda berjabat salam itu hendaklah dengan gaya yang meyakinkan serta dapat mengalirkan rasa ukhuwah berteraskan kejujuran dan keikhlasan. Jangan hanya sekadar menyentuh hujung jari tanpa ada rasa persaudaraan sesama Islam.

Jangan jadi seperti kebanyakan orang-orang besar, berpangkat, berpengaruh dan berkedudukan yang lazimnya berjabat salam dengan mata tidak memandang kepada kita tetapi menoleh kepada orang lain. Saya sering perhatikan gaya sebegini sering dilakukan oleh orang-orang politik.
_________________________________________

Berusahalah mencari seribu sahabat, kerana sebanyak itu sekalipun belum mencukupi. Tetapi jangan mencari walaupun seorang musuh, kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak bilangannya (hukamak)

May 18, 2008

REMAJA DAN MASA DEPAN

PAGI ini saya terima pesanan ringkas daripada seorang kawan bertanya sesuatu tentang remaja Melayu masa kini. Saya pun dengan secara spontan menjawab:-
"Remaja Melayu masa kini bercelaru pemikirannya, kurang keyakinan diri, tiada jati diri, adab sopan dan budaya tradisi disisihkan dan yang paling ketara teras agama diabaikan". Begitulah senario yang sering kita lihat di mana-mana dan tidak mungkin dapat disangkal lagi. Remaja Melayu sudah hilang akar tunjang keMelayuannya.

Mungkin kenyataan itu agak kasar atau kurang tepat kerana saya tidak membuat sebarang kajian terperinci. Mungkin ada orang beranggapan kenyataan saya itu keterlaluan. Saya akui, tidak seratus peratus remaja Melayu sedemikian sikapnya, ada di antara mereka yang memiliki sikap-sikap positif yang membanggakan. Tetapi berdasarkan soalan daripada rakan tadi, saya membuat kesimpulan sedemikian.

Pengaruh-pengaruh negatif sememangnya terlalu banyak melingkari kedidupan kita. Para remaja yang masih tercari-cari identiti sendiri terlalu mudah terjebak dengan pengaruh-pengaruh sedemikian. Tetapi wajarkah kita menyalahi pengaruh-pengaruh negatif itu?

Saya berpendapat para remaja hari ini kurang pembentukan jati diri sewaktu di peringkat awal lagi. Sewaktu sebelum melangkah ke alam persekolahan, semasa di peringkat sekolah rendah dan sehingga ke peringkat menengah, para remaja kita tidak dibentuk jati diri mereka dengan bersungguh-sungguh. Bukan salah guru, tetapi ibu bapa kurang memberi penekanan tentang aspek ini.

Hal ini dapat saya perhatikan dengan jelas setiap kali saya menangani sejumlah remaja di dalam kem-kem tertentu. Mereka itu adalah remaja lepasan sekolah yang sedang meniti realiti alam keremajaan. Hampir 85% daripada mereka itu tidak mempunyai jati diri yang kukuh. Meraka masih belum menemui diri mereka sendiri!

Jika hal ini berterusan, remaja hari ini akan terus dilingkari pelbagai kemelut negatif dan sudah pasti amat menggerunkan. Pelbagai kisah dan berita tentang perlakuan negatif di kalangan remaja terpapar setiap hari di media-media tanah air. Kisah remaja melepak, mat rempit, minah rempit, bohsia-bohjan sudah agak basi diperkatakan. Kisah-kisah remaja merokok dan yang terlibat dengan salah guna dadah juga sudah terlalu lumrah didengari. Kini banyak sekali kisah perlakuan seks di kalangan remaja sudah semakin galak menular. Saya terkejut membaca di sebuah blog yang memetik satu kajian oleh seorang pensyarah IPT ke atas lebih kurang 850 orang remaja perempuan belasan tahun telah mendapati hanya seorang sahaja yang tidak pernah terlibat dengan seks! Yang lainnya?? Hal ini amat menggerunkan kita.

Tetapi bagaimana untuk menghindari semua gelaja negatif ini? Saya tetap menyatakan bahawa pendidikan perlu dimulakan di rumah. Ingatkan mafhum sebuah hadis Rasullullah, "Setiap anak itu dilahirkan dengan fitrah, kedua ibu-bapanyalah yang menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi".