Pages

Mar 31, 2011

HARI TERAKHIR SEBAGAI YDP





HARI INI, adalah hari terakhir bulan Mac.


Hari ini juga adalah hari terakhir saya memegang jawatan Yang DiPertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri kelahiran saya. Saya sudah memegang jawatan sukarela itu sejak anak bongsu saya memasuki tingkatan satu di sekolah tersebut pada tahun 2006. Oleh kerana saya banyak bercakap, bertanya itu dan ini semasa mesyuarat agung PIBG pada tahun 2006 maka saya telah dicalonkan sebagai YDP.


Malah pada Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-15 kelmarin pun, ahli-ahli masih lagi mahukan saya terus memegang jawatan tersebut. Tetapi saya menolak pencalonan atas alasan anak saya sudah tidak lagi belajar di sekolah tersebut. Lagipun, saya katakan bahawa lebih baik diberi peluang kepada orang lain untuk menerajui PIBG.


Mujurlah alasan saya diterima setelah salah seorang ahli (seorang bapa) memberikan pendapat. "Kalau sekian lama orang yang sama menjadi ketua, tentu tidak banyak perubahan yang akan berlaku. Jika orang baru dipilih, kita harap akan berlaku perubahan yang lebih baik". Saya ucapkan ribuan terima kasih di atas pandangan saudara tersebut.


Mulai hari ini, saya sudah melepaskan satu tanggung jawab dan amanah yang selama 5 tahun saya pikul untuk diambil alih oleh orang lain. Bukannya saya melarikan diri daripada tanggung jawab tersebut, tetapi niat saya hanyalah untuk memberi ruang dan peluang kepada orang yang lebih muda dan bertenaga serta berfikiran lebih hebat untuk meneruskan perjuangan saya.


Tahniah kepada YDP serta barisan AJK yang baru dilantik. Semoga saudara-saudara semua akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. Saya mula terlibat di dalam PIBG sejak anak sulung saya memasuki Darjah 3 di sekolah rendah dahulu (1991). Ketika itu saya hanya sebagai AJK sahaja. Tetapi mulai tahun itu saya tidak pernah tidak dilantik menduduki jawatankuasa PIBG saban tahun, baik semasa anak-anak saya di sekolah rendah sehinggalah mereka ke sekolah menengah. Dan saya diberi kepercayaan memegang jawatan YDP mulai tahun 1996 semasa anak kedua saya di sekolah rendah lagi.


Tempoh 14 tahun memegang jawatan YDP PIBG adalah tempoh yang amat panjang bagi saya. Pengalaman yang amat berharga dan bermakna yang tidak mungkin akan saya lupa buat selama-lamanya. Walaupun sebagai YDP di sekolah rendah atau pun di sekolah menengah, permasalahan tidak banyak bezanya.


Masalah peningkatan prestasi akademik merupakan perkara pokok yang diberi perhatian oleh ibu bapa yang prihatin. Masing-masing menaruh harapan untuk melihat kejayaan akademik meningkat saban tahun. Cuma di sekolah menengah perkara-perkara berkaitan sahsiah pelajar di samping ko-kurikulum turut menjadi perhatian. Ibu bapa turut mengikuti perkembangan tingkah laku dan disiplin pelajar-pelajar yang memasuki gerbang remaja. Selain itu ibu bapa juga memberi perhatian terhadap kegiatan ko-kurikulum dan sukan.


PIBG sering menjadi tempat pihak sekolah memohon dana untuk menjalankan apa sahaja aktiviti-aktiviti pelajar. Bagi PIBG yang mempunyai dana yang besar sudah pasti tidak bermasalah untuk menyumbang, tetapi bagi PIBG yang dananya kecil, sudah tentu menghadapi masalah. Saya sudah menghadapi kedua-dua situasi berkenaan sepanjang 14 tahun sebagai YDP. Tetapi saya bersyukur kerana dapat mengatasinya dengan berkat kerja sama semua pihak yang terlibat, baik ibu bapa, guru-guru dan pentadbiran sekolah.


Selaku YDP, regu yang sesuai dan serasi amat penting sekali. Tanpa adanya AJK yang memahami peranan serta memberikan kerjasama sepenuhnya amat sukarlah bagi YDP untuk melaksanakan tugasnya. Jika ada di antara AJK yang hanya pandai memberi pendapat dan saranan tetapi tidak mahu menerima tugas dan tanggung jawab, pincanglah PIBG tersebut. Malah akan lebih sukar lagi jadinya jika ada di antara AJK yang terlibat di dalam kegiatan politik dan menggunakan kedudukannya untuk menaikkan namanya sendiri.


Begitu juga jika pihak pengurusan sekolah hanya mahu PIBG memberikan kerjasama semata-mata tanpa mahu menerima pandangan serta pendapat AJK yang dilantik, terutama AJK dari kalangan ibu bapa dan waris. Terdapat Guru Besar/Pengetua yang kurang menghargai usaha PIBG malah sering kali mengetepikan peranan PIBG. Mereka lebih gemar supaya PIBG menjadi sumber mendapatkan sumbangan kewangan semata-mata tetapi tidak mahu PIBG terlibat di dalam aspek-aspek lain.


Kementerian Pelajaran sewajarnya menilai kembali peranan yang perlu dimainkan oleh PIBG di setiap sekolah. Adalah tidak wajar jika PIBG hanya menjadi jasad tanpa roh. PIBG perlu dilibatkan sama di dalam setiap aspek di sekolah, baik dari segi akademik, pembentukan sahsiah pelajar, ko-kurikulum, sukan dan sebagainya. PIBG perlu mempunyai suara untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi serta kemahuan ibu bapa yang boleh mencorakkan hala tuju serta imej sekolah secara keseluruhannya.


Masanya sudah tiba untuk ibu bapa melalui PIBG turut memberi sumbangan yang lebih bermakna ke arah kecemerlangan sekolah dari setiap aspek, bukan hanya dari segi pencapaian akademik semata-mata. Kementerian Pelajaran perlu dengan segera mengubah situasi yang ada sekarang supaya PIBG tidak lagi dianggap sebagai sehelai sisipan di dalam sebuah majalah yang tidak dipandang atau diberi perhatian oleh pembaca-pembaca majalah tersebut. PIBG perlu berada di muka hadapan sebaris dengan kalangan pentadbir serta guru-guru supaya peranan PIBG akan dapat dirasai kewujudannya.


Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan segala kerjasama dan sumbangan kepada saya sepanjang saya memegang jawatan YDP PIBG. Rasanya saya tidak dapat menyenaraikan kesemua nama mereka di sini, tetapi secara khususnya ingin saya sampaikan ucapan terima kasih saya kepada bekas-bekas Guru Besar, guru-guru, AJK PIBG serta ibu bapa dan para pelajar dari Sek Keb Seri Amar DiRaja, Alor Merah, Alor Setar, Kedah (1991-2005), Sek Men Sultanah Bahiyah, Alor Setar (2004-2006) dan Sek Men Sains Pokok Sena, Kedah (2006 - 2010).

No comments:

Post a Comment