Pages

Jul 26, 2009

THE FIVE PERCENT RULE

HARI INI saya terbaca suatu artikel pendek yang amat menarik dan saya ingin berkongsi di sini semoga dapat memberi manfaat kepada semua yang membacanya kelak.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
HAKIKATNYA semua orang mempunyai maklumat di dalam minda masing-masing tentang apa yang ingin dicapai, tetapi kurang daripada lima peratus yang tahu bagaimana untuk mencapainya. Bertahun-tahun atau berpuluh-puluh tahun daripada usia mereka berserta ratusan ribu ringgit telah terkorban semata-mata untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan itu. Tetapi sebenarnya semua yang dicari itu sudah berada di hadapan mereka! Hanya mereka yang tidak menyedarinya.

Hal ini berlaku sepanjang masa, ramai orang gagal mencari bagaimana untuk mendapat kejayaan atau kekayaan sedangkan jawapannya sudah sedia ada di dalam diri mereka. Saya teringat suatu kisah lama tentang "Acres of Diamond".

Seorang peladang tua yang memiliki sebuah ladang yang luas telah menjual ladangnya itu semata-mata kerana terpengaruh dengan cerita tentang lombong berlian. Lalu dia mengembara ke seluruh Afrika mencari ketulan berlian seperti cerita yang didengari selama ini. Setelah sekian lama mengembara dia masih belum berjumpa dengan apa yang dicarinya itu. Dia terlalu kecewa, putus asa dan mengambil keputusan untuk tidak mencarinya lagi.

Suatu hari orang yang membeli ladang peladang tua itu telah bertemu seketul batu yang bersinar-sinar di pinggir ladangnya. Dia mengambil dan membawa balik batu itu ke rumahnya. Dia menyangka batu itu adalah sebutir kristal yang menarik. Beberapa minggu kemudian, seorang rakan mengunjunginya dan dia terus bercerita serta menunjukkan batu yang bersinar itu kepada tetamunya. Kebetulan rakannya itu adalah seorang yang pakar tentang batu batan dan sumber alam. Alangkah terperanjatnya dia apabila rakannya memberi tahu, batu itu adalah berlian terbesar yang pernah ditemui! Akhirnya ladang yang dibelinya itu bertukar menjadi lombong berlian terbesar di seluruh Afrika.

Bayangkan, pemilik asal ladang itu yang telah menjualnya dengan harapan untuk mencari lombong berlian di tempat lain sedangkan di ladang asalnya itu telah tersedia khazanah untuk menukar hidupnya menjadi seorang yang terkenal dan kaya raya!
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Begitulah di dalam kehidupan kita kini, semua orang bertungkus lumus dan bersusah payah 'keluar' mencari sesuatu jawapan yang sebenarnya sudah ada di dalam 'diri sendiri'. Hanya satu jawapan yang masih belum diluahkan dari dalam diri anda selama ini kemungkinan boleh merubah kehidupan anda buat selama-lamanya.

Carilah jawapan itu di dalam diri sendiri! Jadikanlah diri anda sebahagian daripada lima peratus orang yang mencari di dalam diri dan bukannya sembilan puluh lima peratus yang merayau mencarinya di luar sana tetapi masih belum bertemu jawapannya!
_______________________________________________

"Kenalilah potensi diri anda meskipun itu adalah paling sukar untuk anda lakukan!"
_______________________________________________

2 comments:

  1. ilmu kehidupan ini terlalu byk utk dipelajari, khususnya utk mengenali potensi diri sendiri. Bknkah cermin diri 'baik' kt adlh sahabat baik kt manakala cermin diri 'buruk' kt adlh musuh kt?

    ReplyDelete
  2. Sememangnya manusia selalu memikir yang di sana lebih baik dari di sini. Sekali melangkah walaupun tidak menemui kejayaan, yang pasti adalah pengalaman yang banyak mengajar, dan tidak seharusnya di lihat dengan pandangan yang negatif. Pengalaman adalah guru yang paling baik dalam hidup, bukan begitu En Zaidin?

    ReplyDelete