Pages

Jun 15, 2008

PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

RAKAN SEBAYA mempunyai pengaruh yang cukup kuat di dalam kehidupan seseorang remaja. Golongan remaja lebih senang meluahkan sebarang masalah dan emosinya kepada rakan sebaya mereka daripada menceritakannya kepada ibu bapa, guru-guru atau orang dewasa yang lain. Mereka merasa rakan sebaya mereka lebih memahami perasaan yang mereka hadapi.

Faktor ini mungkin disebabkan kerana mereka seusia atau hampir sebaya. Baik dari segi fizikal, usia, esmosi dan pemikiran. Lantas remaja lebih senang bergaul rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Walaupun tiada kajian terperinci, namun rasanya tidak tersasar jika dirumuskan bahawa hampir 80% daripada remaja lebih suka bercerita masalah dan emosi mereka kepada rakan sebaya mereka.

Oleh kerana itu pasukan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di peringkat sekolah telah dibentuk oleh Kementerian Pelajaran kerana menyedari pengaruh rakan sebaya di dalam diri para pelajar sekolah menengah yang berada di dalam golongan usia remaja.

Saya telah mengendalikan kursus latihan asas PRS kepada 53 orang pelajar terpilih SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang pada 12 Jun yang lepas. Pelajar-pelajar tersebut telah didedahkan kepada beberapa aspek yang diperlukan untuk menjadi PRS yang berkesan, seperti asas kaunseling, kepimpinan, asas komunikasi dan menyelesaikan masalah. Saya juga telah memberikan sedikit penerangan tentang proses mengenal diri sendiri. Sepanjang kursus tersebut, para peserta telah memberikan respons yang amat menggalakkan melalui beberapa aktiviti berkumpulan.

Tetapi apa yang jelas, remaja masa kini mempunyai jangkauan pemikiran yang jauh berbeza daripada remaja pada zaman 20 atau 30 tahun yang lepas. Pemikiran mereka lebih terarah kepada pemikiran kreatif, inovatif serta kritis. Walaupun bukan kesemua mereka tetapi yang jelasnya gaya kehidupan zaman serba moden ini menjadikan mereka lebih berfikiran sedemikian. Namun jangkauan pemikiran mereka itu memerlukan bimbingan yang konsisten supaya mereka tidak terlalu bebas sehingga boleh mengakibatkan para remaja kehilangan jati diri dan semangat juang dan terjebak di dalam kancah gejala keruntuhan moral.

Proses pembendungan ini perlu ditangani dengan cara yang amat bijaksana dan harus bermula daripada peringkat awal remaja lagi (usia 10 - 14 tahun). Remaja harus ditanam dengan semangat juang yang tinggi di samping menanam benih cinta kepada budaya dan adab sopan yang menjadi teras kecemerlangan bangsa sekian lama. Namun yang paling penting dan utama ialah keutuhan pegangan terhadap ajaran agama amat perlu diterapkan ke dalam jiwa para remaja masa kini. Semoga dengan itu remaja kita akan membesar dan menjadi orang dewasa yang berjiwa merdeka tetapi tertambat kepada tiang agama yang kukuh dan utuh.

Terima kasih kepada Kaunselor SMK Dato' Syed Ahmad kerana memberi kesempatan kepada saya untuk berinteraksi dengan para pelajar tersebut. Sehari suntuk memang tidak cukup untuk saya memberikan lebih banyak kepada mereka.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment