Pages

Jun 18, 2008

ADAB BERKOMUNIKASI

APABILA kita berkomunikasi kita perlu menjaga adab dan susila supaya proses komunikasi itu menjadi lancar. Komunikasi tidak seharusnya dari satu hala, ia perlu berlaku secara dua hala. Ada penyampai dan ada pendengar.

Komunikasi aktif memerlukan kedua-dua belah pihak atau pihak-pihak yang terlibat di dalam komunikasi tersebut menjaga adab sebijaknya. Seseorang penyampai perlu menjaga adab penyampaian suapaya mesej itu jelas dan mudah difahami pendengar. Manakala pendengar pula perlulah bersedia menjadi seorang pendengar yang sabar dan rela mendengar mesej yang disampaikan itu. Jika tidak komunikasi tidak akan berkesan.

Begitulah di antara adab berkomunikasi di antara dua belah pihak. Tetapi ada ketikanya, di dalam sesuatu komunikasi, pendengar bertukar menjadi penyampai dan penyampai bertukar menjadi pendengar. Contohnya di dalam perbincangan atau perdebatan.

Di dalam sesuatu perbincangan atau perdebatan, setiap orang yang terlibat akan berpeluang menjadi penyampai dan pendengar mengikut giliran masing-masing. Ketika seorang itu menjadi penyampai, si pendengar perlulah menjadi pendengar yang baik, begitulah sebaliknya. Amat tidak wajar dan kurang beradab jika si penyampai mahu terus menerus menyampai tanpa memberi peluang dan ruang si pendengar meluahkan pula pendapat dan penyampaiannya. Atau dengan kata lain, amat kurang beradablah si penyampai yang mahu terus menjadi penyampai tanpa mahu menjadi pendengar.

Malam tadi (17 Jun) Rancangan Hujjah di TV9 telah mengundang dua orang ahli panel untuk membincangkan satu topik semasa yang agak panas. Mereka ialah YB Ahli Parlimen dari Johor dan seorang lagi YB Ahli Parlimen dari Kedah. Saya menontonnya dengan penuh minat melihat gaya kedua-dua tokoh itu berkomunikasi. Malangnya saya dapati adab berkomunikasi jelas telah dicabuli apabila berlaku perebutan peluang dan ruang untuk menyampaikan hujah. Ada ketika kedua-dua mereka berterusan bercakap tanpa menghiraukan siapa yang perlu mendengar hujah masing-masing. Suasana berkomunikasi telah bertukar menjadi situasi yang tidak beradab, masing-masing mahu menjadi penyampai dan tidak mahu menjadi pendengar.

Akhirnya topik yang diperbincangkan dan mesej yang mahu disampaikan kepada penonton (rakyat jelata) tidak kesampaian. Puncanya ialah tidak adanya adab komunikasi yang baik dan itu telah memberi kesan tidak memuaskan kepada penonton. Seharusnya di dalam perbincangan sedemikian ahli panel perlu bijak mengawal emosi dan menjadi penyampai yang baik dan berkesan.

No comments:

Post a Comment