Pages

Apr 20, 2012

PTPTN DAN MASA DEPAN BANGSA


ISU PTPTN kini hangat diperdebatkan. Ada pihak yang sanggup menganjurkan sesi debat di antara wakil-wakil parti pemerintah dan parti pembangkang untuk berhujah tentang isu berkenaan. Pada ketika saya menulis ini, sebilangan mahasiswa sedang berkhemah di Dataran Merdeka, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sebagai menyatakan pendirian mereka mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Keadaan menjadi lebih hangat lagi apabila awal pagi semalam, diberitakan 40 orang individu tidak dikenali telah menyerang mahasiswa yang berkhemah di tempat berkenaan.

Tuntutan yang disuarakan mahasiswa tersebut adalah suara generasi masa kini yang merasa PTPTN perlu dimansuhkan dan kerajaan sepatutnya menyediakan pendidikan secara percuma kepada rakyat. Itu motif perjuangan mereka. Tetapi suara-suara politik begitu galak memberikan pelbagai tafsiran mengenai isu berkenaan. Pihak pembangkang menyatakan jika mereka menang pilihan raya akan datang, PTPTN akan dihapuskan. Manakala pihak kerajaan pula menegaskan jika PTPTN dihapuskan negara akan muflis.

Apabila dilihat menggunakan kaca mata politik, tentu sekali akan ada perbezaan pendapat. Masing-masing mempunyai alasan kenapa mereka menyokong atau membantah isu yang berbangkit. Namun, rakyat tidak sepatutnya dikelirukan tentang kedudukan sebenar PTPTN ini. Pihak kerajaan yang melahirkan institusi PTPTN ini perlulah memberikan penjelasan yang telus mengenainya. Tidak perlu berselindung di sebalik sebarang alasan kerana ini akan melibatkan masa depan bangsa.

Semantara itu pihak pembangkang juga harus membuat kajian mendalam sekiranya PTPTN dimansuhkan nanti, mampukah pendidikan diberikan secara percuma kepada anak bangsa?

Manakala rakyat pula seharusnya bijak membuat keputusan kerana pilihan rakyat akan menentukan masa depan bangsa sendiri.

Secara zahir apa yang dapat dilihat sejak PTPTN diwujudkan sehingga kini, seramai 1.9 juta pelajar telah menikmati manfaat pinjaman yang diberikan oleh PTPTN untuk mereka melanjutkan pengajian di institutsi pengajian tinggi di dalam negara, sama ada awam atau swasta. Jumlah 1.9 juta orang itu bukanlah satu bilangan yang kecil. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa dengan adanya pinjaman PTPTN itu 1.9 juta orang anak bangsa telah dapat melanjutkan pengajian mereka. Bilangan itu akan semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Apa tidaknya, sebaik sahaja keputusan SPM atau STPM diumumkan, para pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke mana-mana IPT akan menerima sekeping cek RM1,500-00 sebagai bayaran pendahuluan bagi membolehkan urusan pendaftaran di IPT dilakukan. Dengan kemudahan yang sampai ke rumah masing-masing itu, tentulah tidak akan ditolak. Tetapi apabila surat perjanjian diserahkan untuk ditanda tangani, baharulah masing-masing sedar bahawa terdapat pelbagai syarat yang dikenakan, termasuklah tindakan undang-undang jika pinjaman itu tidak dilunaskan kemudiannya.

Surat cara itu bukan sahaja perlu ditanda tangani oleh para pelajar (peminjam) malah oleh dua orang penjamin yang lazimnya terdiri daripada ayah dan ibu atau ahli keluarga terdekat. Ini bermakna penjamin-penjamin tersebut juga terlibat bertanggung jawab sekiranya peminjam gagal melunaskan pinjamannya kelak. Hanya jika peminjam berjaya memperolehi kejayaan cemerlang di dalam pengajiannya, baharulah pinjaman itu ditukarkan menjadi biasiswa dan tidak perlu lagi dibayar balik kepada PTPTN.

Senario inilah yang perlu diperdebatkan. Jika pinjaman PTPTN itu tidak ditawarkan secara terus kepada para pelajar tetapi mereka perlu membuat permohonan, wajarlah dikenakan pelbagai syarat tersebut. Tetapi oleh kerana tawaran itu dihulurkan tanpa sebarang permohonan, ia seolah-olah menyuapkan 'racun' yang disalut manisan ke dalam mulut para pelajar. Tentu sekali sukar untuk mereka dan para ibu bapa menolaknya. Keadaan hanya bertukar menjadi perit setelah manisan itu habis dan meninggalkan 'racun' di dalam kerongkong. Mahu tidak mahu pada ketika itu, ia sudah tidak dapat diluah lagi kecuali menelannya.

Seperkara lagi yang perlu diperdebatkan ialah, bebanan yang harus dipikul oleh para graduan selepas mereka tamat pengajian. Bagi mereka yang mudah mendapat tawaran pekerjaan dengan pendapatan lumayan, tidak sukar untuk melangsaikan hutang pinjaman PTPTN tersebut. Tetapi bagi mereka-mereka yang tidak mendapat pekerjaan tetap dengan pendapat lumayan, membayar balik pinjaman tersebut amatlah memeritkan. Kos sara hidup semakin meningkat saban waktu. Bagi mereka yang baharu hendak memulakan kehidupan akan terasa bebanan untuk menjelaskan hutang. Mereka sudah menanggung hutang seawal mereka bergelar graduan! Siapakah yang membuatkan mereka terjebak ke dalam kancah hutang itu? Tentulah PTPTN! Dan hal ini tidak mungkin dapat disangkal lagi.

Benar, hutang mesti dilunaskan. Bukan sahaja ia termaktub di dalam perjanjian pinjaman, malah di dalam ajaran agama sekalipun, hutang wajib dilangsaikan. Namun, keadaan yang begitu menekan para graduan menjadikan mereka tidak mampu melangsaikan hutang tersebut, walaupun secara beransur-ansur. Akibatnya nama mereka di'senaraihitamkan' pihak berwajib sekaligus menyekat kebebasan mereka pada masa hadapan. Siapakah yang rugi? Pastinya, bangsa kita akan rugi!

Bagi generasi terdahulu yang kini dalam usia emas, zaman mereka belajar dahulu tidak ada PTPTN. Mereka belajar sehingga ke peringkat universiti tanpa sebarang pinjaman. Malah kerajaan menyediakan biasiswa, baik biasiswa negeri atau pun biasiswa persekutuan. Mereka belajar dengan sempurna dan kini berjaya menjawat jawatan-jawatan tinggi baik di sektor kerajaan ataupun swasta. Mereka bebas daripada hutang sebaik sahaja tamat pengajian masing-masing. Mereka membina kehidupan dengan tenang dan bebas hutang. Kenapa keadaan seperti itu tidak boleh diwujudkan kembali di Malaysia?

Rasanya tidak ada siapa yang akan menuduh kita mundur jika berpatah balik kepada sistem pendidikan percuma untuk rakyat negara kita. Daripada peringkat pra-sekolah sehingga tamat pengajian ijazah sarjana muda di universiti sepatutnya diberikan secara percuma kepada semua anak bangsa yang layak. Pihak universiti pula tidak seharusnya mengenakan yuran pengajian yang tinggi sehingga menafikan para pelajar dari golongan miskin untuk mendapat peluang belajar. Pada masa kini, hanya UiTM sahaja yang mengenakan yuran pengajian yang rendah dan mampu dibayar, sedangkan univerisiti-universiti lain yurannya adalah jauh lebih tinggi. Itu tidak termasuk universiti-universiti swasta yang bercambah di negara kita pada masa ini yang mengenakan yuran pengajian yang berlipat kali ganda tingginya daripada universiti-universiti awam.

Apa yang menyedihkan ialah anak bangsa kita sudah ditambah dengan jerut hutang seawal usia mereka, lantas menjadikan mereka terikat dan terpasung tanpa banyak kebebasan. Bilangan mereka akan meningkat setiap tahun dan kerumitan ini akan lebih kusut jadinya. Ayuh, segeralah kita sedar perkara ini dan perbetulkan demi kelangsungan bangsa di hari muka.