Pages

Jul 23, 2010

PERJALANAN MALAM (2)

Sambungan ...


DI Stesen Bagan Serai, sewaktu jam hampir 10 malam, seorang pemuda muncul di sisi tempat dudukku sambil melihat-lihat tiket di tangan kanannya. Aku menoleh dan bertanya, "nombor berapa?".

"12B", balas pemuda tersebut.

Tanpa menanti lama dia terus melabuhkan punggungnya di tempat duduk bersebelahanku. Sememangnya kerusi itu kosong dari Stesen Bukit Mertajam lagi. Dan sememangnya itulah tempat duduknya. 12B.

Waktu itu Nurul Atiqah dan abangnya sudah tidak keletah seperti awalnya kerana mereka sudah asyik dengan komputer riba beberapa orang pelajar yang duduk di kerusi bersebelahan. Waktu itu memberikan sedikit ruang untuk berbual dengan pemuda tersebut.

"Nak ke KL ka?", aku memulakan perbualan.

"Ya", balasnya ringkas. Sebuah beg sendeng diletakkan di atas riba, menutupi tangan kirinya. Di tangan kanannya telefon bimbit dipegang dan sesekali dia menjeling ke skrin telefonnya. Mungkin dia sedang menanti balasan s.m.s daripada seseorang. Mungkin daripada ibu atau ayahnya.

"Nak pi belajar ka di KL? Atau pi kerja?", sambung aku lagi sengaja mahu mengajaknya berbual kerana mata masih belum mengantuk.

"Nak ke Hospital Universiti Malaya. Nak buat fisioterapi". Sudah terasa sedikit kemesraan timbul dalam suaranya.

Dia kemalangan, motorsikalnya merempuh tiang letrik di tepi jalan setelah dilanggar dari belakang oleh sebuah motorsikal lain yang dipandu dengan laju. Kejadian itu sudah hampir 4 tahun yang lalu. Dia tidak mengalami sebarang luka yang parah. Malah katanya, tiada darah pun yang tumpah.

"Habis tu, apa pasal kena buat fisioterapi pulak?", aku makin ingin tahu.

"Tulang bahu patah dan urat saraf putus. Tangan saya tidak boleh bergerak lagi. Otot makin menyusut. Tidak ada rasa langsung di tangan kiri saya ini".

Aku menyentuh tangan kirinya yang disembunyikan di bawah beg sendeng. Benar, terasa amat longlai tangan itu. Sekarang dia terpaksa melakukan semua kerja hanya dengan menggunakan tangan kanannya sahaja.

Aku segera bersyukur membandingkan keadaan anakku yang juga kemalangan motorsikal hampir 5 tahun lalu. Tulang kakinya patah di dua tempat manakala tempurung lututnya retak teruk. Doktor menjangka dia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 7 hingga 9 bulan. Selepas keluar dari hospital, dia juga perlu mengikuti sesi fisioterapi sehingga beberapa bulan. Kini Alhamdulillah, anakku sudah kembali normal.

"Apa pasal kena pi KL, di Hospital Bagan Serai tak boleh buat fisioterapi ka?".

"Saya sudah cari hospital-hospital berhampiran, tapi tidak ada yang sediakan kemudahan fisioterapi. Terpaksalah ke KL setiap dua minggu sekali".

"Banyak belanja tu. Ayah kerja apa?".


"Ayah petani sahaja. Saya pula sekarang ini sedang menjalani Latihan Industri di Nibung Tebal".

"Susah jugak tu. Kena ambil cuti tiap-tiap minggu. Duit belanja pun banyak jugak".

"Seratus ringgit pergi balik tak cukup lah. Tapi saya terpaksa juga pergi".

"Ada apa-apa kesan selepas jalani fisioterapi ni?".

"Belum ada kesan lagi".

Malam itu fikiranku berfikir tentang anak muda yang hampir sebaya dengan anakku itu. Dia sedang menuntut di sebuah politeknik. Selepas tamat latihan industri dia perlu masuk semula ke politeknik untuk tempoh satu semester lagi. Kemudiannya dia akan keluar dengan mendapat Diploma.

Masa depannya cerah kerana memiliki diploma. Tetapi bagaimana jika tangan kirinya terus tidak dapat berfungsi lagi? Dia akan menjadi seorang OKU. Apakah akan ada majikan yang sanggup menerima dia bekerja dengan keadaannya sebagai OKU?

Alhamdulillah, anakku sudah kembali sembuh seperti sedia kala. Jika tidak dia mungkin menjadi OKU juga. Aku mendoakan agar anak muda itu juga akan segera sembuh.

Jul 19, 2010

PERJALANAN MALAM (1)

TERBACA sebaris pertanyaan dari seorang sahabat maya, "kenapa lama tidak menulis di blog?".

Aku tidak dapat memberi jawapan segera kepada pertanyaan itu. Bukan sebab tiada jawapan, cuma aku khuatir sama ada jawapan itu nanti dapat menjawab pertanyaannya ataupun sebaliknya. Begitulah, aku seperti biasa, lama-lama sekali menambah tulisan di dalam blogku ini. Semuanya kerana satu alasan sahaja, "sibuk".

Tetapi aku pasti jawapanku itu tidak akan memberi sebarang makna kepada sesiapa sahaja. Sibuk, memang semua orang sibuk. Bukan penulis juga sibuk. Pak Kadir penjual mee goreng pun sibuk juga. Harris yang menjual ais kacang di medan selera itu juga sibuk. Mak Minah yang tidak bekerja sejak berkahwin dahulu sibuk juga. Semua orang sibuk.

Guru yang bukan penulis juga sibuk. Guru-guru yang bergiat aktif di dalam NGO juga sibuk. Apatah lagi yang sememangnya sibuk terlibat di dalam politik atau sukan atau gerakan kemasyarakatan. Itulah hakikatnya, semua orang sibuk dengan urusan dan hal masing-masing.

Tetapi kali ini aku tidak mahu bercerita tentang alasan sibuk itu. Aku mahu menulis sesuatu. Tetapi bukan kerana pertanyaan seorang rakan maya. Aku mahu menulis kerana aku mahu menulis.

** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** **

SALAH satu komponen sistem pengangkutan awam di Malaysia ialah kereta api. Ia dikendalikan oleh sebuah syarikat, Keretapi Tanah Melayu atau KTM Berhad. KTM sudah lama wujud malah pengangkutan menggunakan kereta api sudah wujud di Malaysia sejak sekian lama dengan adanya rel kereta api pertama yang menghubungkan Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).

Kali terakhir aku menaiki kereta api ialah sekitar tahun 1976, sewaktu masih bergelar pelajar institut pengajian tinggi. Berebut-rebut membeli tiket di kaunter KTM dan seterusnya berebut-rebut memanjat tangga gerabak kereta api di platformnya adalah gambaran biasa pada waktu itu. Tetapi selepas itu aku tidak lagi menaikki kereta api. Bukan kerana aku tidak suka, cuma aku sudah miliki kenderaan sendiri untuk pergi ke mana-mana.

Tiba-tiba sahaja keingininan untuk menaiki kereta api meruap-ruap. Lalu apabila ada mesyuarat di Ibu Kota pada minggu lalu, aku mengambil keputusan untuk pergi dengan menaiki kereta api. Perubahan sudah banyak berlaku sejak 1976 dahulu. KTM sudah berubah wajah, sudah menjadi dewasa dan berpengalaman. Aku menempah tiket pergi balik dari Alor Setar ke KL Central. Hanya RM78-00 sahaja untuk tempat duduk Kelas 2.

Jam 7.10 malam kereta api tiba di stesen setelah hampir 10 minit pengumuman dibuat melalui alat siaraya di stesen itu. Aku naik ke gerakan Q1 seperti tertera di dalam tiket, mencari tempat duduk bernombor 12A di tepi tingkap. Lima minit kemudian, kereta api mula bergerak meninggalkan stesen yang akan kembali kaku, lengang dan suram sepanjang malam.

Bezanya jika dibandingkan dengan bas ekspres, aku boleh berjalan dari gerabak ke gerabak di dalam kereta api itu. Tetapi di dalam bas, aku hanya duduk di kerusi melayan lenguh sendi sehinggalah bas berhenti di tempat-tempat yang khusus. Aku bangun berjalan ke gerabak-gerabak lain. Melewati gerabak Kelas Ekonomi kemudian ke gerabak Kantin dan gerabak Kelas Pertama yang menyediakan ruang tempat tidur yang selesa.

Aku terjumpa seorang sahabat yang juga seorang penulis puisi, saudara Abdul Rahim Omar. Dia adalah staf KTM yang penuh dedikasi dan komited dengan tugasnya. Namun yang pasti, Rahim adalah seorang penulis puisi yang baik dan sudah tentu pengalaman kerjayanya sedikit sebanyak membantu dia menghasilkan bait-bait puisi yang indah dan menarik.

Kami berbual seketika dan sempat jugalah aku solat maghrib serta solat isya secara qasar dan jamak taqdim di dalam salah sebuah kabin tempat tidur yang masih kosong pada waktu itu. Tidak ada gerabak khas untuk Surau di dalam kereta api yang aku naiki malam itu.

Perjalanan Malam. Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Bagus juga judul ini, fikir hati kecilku. Boleh aku tulis sesuatu. Bahan-bahannya banyak yang boleh aku kutip di sepanjang perjalanan itu.

*************************************************************************
NURUL ATIQAH, anak kecil berusia 4 tahun. Comel dan petah berbicara. Sebaik aku kembali duduk di kerusi 12A gerabak Q1 setelah selesai menunaikan solat dan berbual dengan saudara Rahim, Atiqah memandang tepat ke arahku. Kerusi aku betul-betul di belakang kerusinya. Atiqah duduk bersama ibunya manakala ayah dan abangnya di kerusi bersebelahan.

"Pak cik nak pi mana?". Tegur Atiqah dengan senyuman manisnya.

"Bukan Pak cik. Tok Wan", aku membetulkan fakta. Memang benar, usia aku dan usia Atiqah jauh bezanya. Tidak tepat sama sekali memanggilku pak cik.

"Tak mau. Nak panggil pak cik juga", Atiqah bersuara lagi. Aku segera teringat kepada Aliya, cucu jiranku yang tidak mahu memanggil aku Tok Wan, tetapi berkeras mahu memanggil Wan Din yang kekal hingga kini.

Sepanjang perjalanan dari Alor Setar hinggalah Kuala Kangsar, Atiqah tidak duduk diam. Dia begitu petah bercakap dan bernyanyi dengan riang sekali. Apatah lagi ada beberapa orang remaja (aku pasti pelajar-pelajar IPT) yang duduk di kerusi-kerusi berhampiran, melayan keletahnya. Atiqah semakin manja dan rapat dengan mereka apabila salah seorang daripadanya membuka komputer riba miliknya. Tiba di stesen Kuala Kangsar, Atiqah bersama ayah, ibu dan abangnya turun kerana mahu pulang ke rumah Opah mereka di Kuala Kangsar. Gerabak itu serta merta sunyi dari keletah Atiqah yang pastinya amat teruja mengharungi perjalanan malam dengan kereta api.

Aku berhenti di sini seketika untuk kusambung kembali nanti.