Pages

Jun 16, 2010

NILAI SEDETIK WAKTU


SETIAP detik waktu amat bernilai, namun tidak mungkin dapat ditaksirkan berapa nilainya. Sedetik waktu berlalu tidak mungkin dapat dimiliki kembali.

Mungkinkah itu nilai sedetik waktu?

Biar apa sekalipun, detik-detik waktu akan terus meninggalkan kita. Selamanya tidak akan kembali lagi. Detik-detik waktu yang berlalu itu sebenarnya telah memendekkan waktu yang kita miliki.

_________________________________
Setiap manusia hanya diberikan 24 jam sehari semalam....
_________________________________________________

May 29, 2010

BENGKEL PUISI

PADA 18 Mei yang lalu, saya menyampaikan ceramah di Bengkel Puisi di SMK Merbok. Para peserta adalah pelajar-pelajar tingkatan-tingkatan satu, tiga, empat, lima dan enam, seramai 35 orang semuanya.

Saya memberi bimbingan kepada mereka tentang beberapa aspek penting untuk menghasilkan sesebuah karya puisi yang baik. Aspek utama ialah pemilihan tema dan gaya bahasa di dalam karya puisi yang mahu dihasilkan itu. Tema yang mahu diangkat seharusnya sesuai dengan persekitaran dan pengalaman seseorang penulis yang baharu berjinak-jinak di dalam bidang ini. Jangan terlalu ghairah mengangkat tema-tema berat yang tidak termampu dikupas atau diolah. Ini akan mengakibatkan puisi itu menjadi lemah.

Bahasa adalah medium utama dan amat penting yang perlu dipergunakan sebaik-baiknya kerana puisi yang baik mestilah mengandungi ayat-ayat puisi yang penuh nilai estetikanya. Bukan menggunakan ayat-ayat prosaik yang mendatar serta tidak mempunyai makna di sebalik kata. Lalu, para penulis muda perlu rajin mencipta ayat-ayat puisi supaya apabila berkarya ia akan dapat membantu sepenuhnya.

Saya lanjutkan juga di dalam Bengkel tersebut dengan menyampaikan beberapa kaedah untuk menghayati puisi. Di antaranya termasuklah baca puisi, deklamasi puisi serta lagu puisi. Tetapi dalam waktu yang terbatas (2 jam) saya hanya tumpukan kepada deklamasi puisi. Memberikan sedikit petua bagaimana untuk melontarkan suara, memantapkan pengucapan, memahami dan menyampaikan makna puisi melalui tekanan dan nada suara yang betul serta berkesan.

Ramai di antara peserta yang sudi mendeklamasikan puisi sebagai acara praktikalnya, termasuklah guru-guru yang ikut serta memantau program tersebut.

Terima kasih kepada pelajar-pelajar serta guru-guru yang terlibat. Saya berharap ceramah singkat saya itu memberi manfaat dan saya amat menantikan akan tumbuh pohon-pohon muda daripada benih yang saya cambahkan itu.

Saya menanti hasil karya para peserta sekalian. Saya juga berharap akan dapat melihat salah seorang atau beberapa orang deklamator akan muncul dari kalangan peserta bengkel ini.

May 13, 2010

CINTA SELUAS LANGIT TUHAN



DI SAAT-SAAT kehidupan anda dipenuhi kebahagiaan, tiba-tiba dihempas oleh peristiwa yang mengejutkan, sama ada anda kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan barang-barang yang berharga atau kehilangan punca rezeki ataupun kehilangan jawatan dan kedudukan. Lantas berbagai rasa memenuhi perasaan dan kebencian serta kemarahan tidak dapat dielakkan. Dendam pun menguat di dalam hati.

Tetapi pernahkah anda sedar bahawa peristiwa sebegitu sesungguhnya telah menghantarkan jiwa anda ke gerbang kemuliaan?. Dengan melalui berbagai penderitaan, ujian, kecemasan dan kesedihan sesungguhnya Allah telah meletakkan diri anda sebagai hamba-Nya yang memahami makna cinta dan kasih sayang.

Kebencian pada dasarnya wujud pada diri anda ketika anda sedang ditimpa ujian dan penderitaan. Membiarkan diri penuh kebencian akan menambahkan lagi penderitaan bagai menyiram luka dengan air garam. Menambah perih dengan keperihan yang lebih dalam. Air mata menetes tanpa muara.

Kebencian hasrus diolah menjadi cinta, dengan memahami sepenuhnya bahwa setiap peristiwa apapun yang terjadi pada diri kita adalah sebagai perwujudan kita sebagai seorang Mukmin. Nabi Muhammad s.a.w menyebutkan sebagai sesuatu yang menakjubkan pada diri seorang mukmin sebab peristiwa apapun yang terjadi pada dirinya semuanya terasa indah. Mendapat nikmat dia bersyukur, ditimpa musibah dia bersabar.

"Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Bila mendapatkan nikmat, ia bersyukur dan syukur itu baik baginya. Bila mendapatkan dugaan, ia bersabar dan sabar itu baik baginya". (Hadis Riwayat Muslim).

Tidak perlu ada kebencian. Tidak perlu ada kemarahan. Tidak perlu ada dendam kerana setiap orang mukmin wajib menyakini bahwa semua itu wujud kasih sayang Allah s.w.t. Lantas kenapa kita harus membenci sesama makhluk? Cinta itu adalah manifestasi wujud kasih sayang Allah kepada diri kita.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *

Terima kasih kepada pengirim email ini. Aku masih tidak mengenali siapa dia. Tetapi dia kerap mengirimkan email sebegini. Syukur kepada Allah s.w.t kerana telah mengirimkan cebisan Cinta-Nya.

Ayuh, hindarkan perasaan benci terhadap orang lain jika hanya kerana musibah yang kita lalui. Sebaliknya tukar kebencian itu menjadi cinta yang akan membawa berjuta ketenangan kerana CINTA itu seluas langit Tuhan.
_____________________________________________

"Cintailah kerana Allah dan bencilah kerana Allah. Sesungguhnya hal itu adalah merupakan ikatan iman yang paling kuat"
_____________________________________________

Apr 29, 2010

PENGORBANAN SEORANG SAHABAT

HARI ini aku mendengar rancangan Riuh Pagi ERA (RPE) di saluran Radio ERA. Mendengar satu cerita yang diceritakan oleh sorang pemanggil melalui telefon ke studio. Lazimnya aku tidak begitu sangat beri perhatian kepada rancangan RPE itu kerana rancangan itu hanya diisi dengan hal-hal yang kurang menarik. Tetapi hari ini bagai ada sesuatu yang menarik perhatianku apabila pemanggil itu membuat panggilannya dan bercerita tentang suatu perkara. Bagi aku perkara yang diceritakan itu amat menarik meskipun mungkin ramai yang akan mengatakan sebaliknya.

Pemanggil tadi (namanya Rizal) bercerita tentang pengalamannya sewaktu berusia 17 tahun (tidak pula diberitahu usianya sekarang, tetapi aku mengagak usianya sekitar 30-an pada masa ini) sewaktu hampir menduduki SPM. Biasalah, zaman persekolahan semua orang berpengalaman melalui detik-detik manis 'bercinta monyet'. Rizal itupun tidak terkecuali. Dia berkawan rapat dengan seorang pelajar perempuan sebayanya tetapi dari sekolah yang berlainan.

Tiap-tiap hari selepas waktu sekolah mereka akan berjumpa di suatu tempat sebelum pulang ke rumah. Hari demi hari persahabatan mereka menjadi putik-putik cinta. Rizal dan pelajar perempuan itu seperti sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Rakan-rakan sekolah mereka tahu hubungan mereka berdua. Suatu hari, seperti biasa selepas waktu sekolah Rizal sampai di tempat pertemuan mereka. Tetapi hari itu kekasihnya tidak muncul. Rizal resah menanti, namun kekasihnya tetap tidak kunjung tiba. Beberapa hari selepas itupun, Rizal masih menanti, tetapi hampa. Perasaannya mula bimbang. Dia bertanya kepada rakan-rakan kekasihnya dan daripada mereka dia dapat tahu kekasihnya itu sakit dan sudah pulang ke kampungnya di Sabah. Kekasihnya itu tinggal bersama emak saudaranya di Kuala Lumpur semasa belajar di sekolah berkenaan.

Atas dasar cinta, Rizal terus pulang dan memecahkan tabung wang simpanannya. Berbekalkan wang tersebut dan maklumat tentang kampung kekasihnya itu, Rizal berlepas ke Sabah dari Lapangan Terbang Subang bersendirian. Setibanya dia di kampung kekasihnya itu baharulah Rizal dapat cerita sebenarnya bahawa kekasihnya itu sedang bergelut dengan hidup akibat menghidap sakit buah pinggang yang sudah sampai ke tahap kronik.

"Pada waktu itu juga saya mengambil keputusan untuk berkorban demi seorang sahabat", suara Rizal yang aku dengar melalui corong radio agak sebak bunyinya.

Kata Rizal dia segera menawarkan diri untuk menyumbang buah pinggangnya. Setelah diperiksa oleh pasukan doktor mereka mendapati buah pinggangnya sesuai untuk didermakan dan jenis darahnya juga sama dengan jenis darah kekasihnya yang sedang bergelut dengan hidup itu! Terus sahaja Rizal memberi tahu emak dan ayahnya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu dan keizinan mereka. Kedua orang tuanya berlepas segera ke Sabah dan bertemu Rizal serta keluarga kekasihnya di sana.

"Awak dermakan buah pinggang awak, Rizal?", tanya DJ bertugas.

"Ya, saya dermakan buah pinggang saya demi kerana simpati saya terhadap seorang sahabat", balas Rizal, masih kedengaran sebak. "Tetapi usia kekasih saya itu tidak lama. Setahun kemudian, dia dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya". Suara Rizal tersekat di situ.

Aku menganggap kisah ini adalah kisah tentang pengorbanan yang amat luar biasa. Pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya yang menderita. Mungkin pada masa itu Rizal mempunyai perasaan cinta terhadap sahabatnya itu, tetapi bagi aku, Rizal sebenarnya adalah seorang sahabat atau kekasih yang berhati mulia. Dia jujur dalam persahabatan (percintaan) kerana itu dia rela berkorban meskipun dia belum pasti sahabatnya itu akan menjadi teman hayatnya.

Mari kita bertanya dan menjawab secara jujur:

i) Berapa ramaikah sahabat yang mempunyai kemuliaan seperti Rizal?
ii) Berapa ramai pula sahabat yang dengan mudah melupakan sahabatnya ketika sahabatnya itu mengalami kesusahan?
iii) Berapa ramaikah sahabat yang tidak mahu meneruskan persahabatan hanya kerana mendengar cerita-cerita fitnah dari orang lain?
iv) Berapa ramaikah sahabat yang bersahabat hanya kerana material serta kedudukan sahabatnya itu sahaja?
v) Berapa ramaikah sahabat yang sanggup memaafkan kesilapan sahabatnya yang berlaku tanpa sengaja?

Marilah sama-sama kita memberi nilai kepada makna persahabatan yang kita jalin dengan sahabat-sahabat kita selama ini. Semoga akan wujudlah kebahagiaan di dalam hati kita bersama.

Apr 20, 2010

SUARA HATI

MUNGKIN tidak ramai di antara kita yang menyedarinya, kadang-kadang ada suara halus dari dalam diri kita sendiri. Bisikan yang tidak semena-mena terjelma, seperti terucap tetapi bukan melalui lidah. Itulah suara hati.

Suara hati kita sama seperti sikap kita. Ada yang bernada positif dan ada yang bernada negatif. Suara hati positif menjadi pendorong dan yang bernada negatif sebaliknya. Begitu jugalah dengan sikap kita sendiri, ada yang positif dan ada yang negatif.

Jika diamati, suara hati yang positif jarang kedengaran berbanding yang negatif. Suara hati negatif lebih mudah tercetus kerana di dalam diri kita 75% hingga 85% dipenuhi rasa negatif. Ditambah pula negatif itu diwarisi sejak kita masih kecil lagi dan ditimbun saban tahun sehingga kita dewasa lalu ia menjadi sebati di dalam diri kita. Akibatnya kita menjadi sukar membezakan antara negatif dan positif.

Suara hati negatif sering membisikkan apa sahaja. Tetapi setiap kali ia berbisik kita yang sukar mengatakan bisikan itu negatif. Dan apabila orang lain menegur dengan mengatakan itu adalah negatif, kita sukar menerimanya kerana sekian lama ia bersemadi di dalam diri kita tanpa kita ketahui ia adalah negatif. Lalu yang sering tercetus adalah berbagai rasa seperti kurang senang, marah, cemburu, tidak puas hati dan sebagainya. Bukankah itu semua suara-suara negatif?

Jarang terpancar di dalam hati kita suara puji-pujian, rasa syukur, terima kasih atau kasihan belas. Simpati dan dorogan juga kurang kedengaran. Oleh sebab itu lebih ramai di antara manusia lebih senang bertindak mengikut nafsu daripada melakukan sesuatu mengikut hati dan perasaan positif.

Lalu, seharusnya kita belajar melatih diri kita berbicara dengan suara hati positif dengan mengungkapkan kata-kata semangat, dorongan, kasih sayang, puji-pujian, mesra dan lain-lain lagi yang dapat menimbulkan rasa positif. Supaya dengan itu segala gerak laku dan tutur kata kita akan bertukar menjadi positif dan lebih memberi kesan baik di dalam kehidupan.

Prosesnya mungkin agak sukar dan mengambil masa, tetapi kita harus bermula segera. Jangan tunggu sehingga segala negatif itu terus sebati dengan darah daging kita. Waktu itu kita akan menjadi manusia yang memandang sesuatu perkara atau kejadian itu dengan pandangan negatif semata-mata, tanpa sekelumit rasa positif. Kita akan tenggelam di dalam kerugian walaupun kita merasai kita sudah terlalu untung!

Ayuh, mulakan segera! Sekaranglah masanya!

_______________________________________________________

"Sesungguhnya di dalam hati anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik daging itu baiklah dirinya dan apabila busuk daging itu busuklah dia. Daging itu adalah hati".
_______________________________________________________

Apr 11, 2010

PRASANGKA

ADA pepatah Inggeris berbunyi: "Don't judge a book by its cover". Ia membawa maksud jangan menilai seseorang itu hanya melalui luaran sahaja. Ini disebabkan apa yang dapat dilihat dan dipandang orang ialah sifat luaran. Tiada siapa yang dapat melihat ke dalam diri orang lain dan melihat apa yang difikirkan oleh orang itu.

Maksudnya pepatah itu adalah suatu pesanan supaya di dalam kita menilai kejujuran seseorang, jangan hanya melihat kepada sifat lahiriahnya sahaja. Seperti buku itu sendiri, jika hanya melihat gambar atau lakaran di kulitnya sahaja kita tidak akan dapat mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Mungkin di dalam buku itu tersisip pelbagai maklumat, petua atau pemikiran yang bermanfaat. Tetapi oleh kerana kita hanya melihat kulitnya yang tidak menarik itu kita tidak membacanya. Lalu kita tidak mungkin memperolehi segala kebaikan dan manfaat yang terdapat di dalam buku itu.

Sama juga apabila kita menilai seseorang manusia. Contohnya seorang Pengurus adalah tidak wajar memberikan penilaian yang rendah kepada pegawai dan staf bawahannya semata-mata berdasarkan kepada sifat luarannya yang kurang menarik atau tidak kemas. Sewajarnya sang Pengurus tersebut juga turut menilai pemikiran, idea, sikap serta semangat pegawai atau staf berkenaan. Semua yang berada di dalam diri pegawai atau staf tersebut tidak dapat dibaca oleh Pengurus tadi tanpa diajak berbual, berbincang dan berdiskusi dengan cara yang penuh hikmah.

Seorang guru umpamanya juga tidak wajar menilai kebolehan seseorang pelajarnya hanya melihat sifat luarannya sahaja. Begitu juga seorang ayah dan anaknya. Elakkan prasangka.

Sebenarnya apabila kita hanya menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja, sebenarnya kita melakukan penilaian tersebut dengan seribu prasangka yang sememangnya tidak tepat sama sekali.

__________________________________________________

"Apa yang terpancar di luaran seseorang itu bukan sepenuhnya seperti apa yang terkandung di dalam dirinya".
__________________________________________________

Mar 17, 2010

KENAPA NASI AYAM?


MULA-MULA makanan dan minuman ringan jenama A&W diperkenalkan sekitar awal 1970-an dahulu, aku tidak berkesempatan langsung menjamahnya. Salah satu daripada minuman A&W yang sangat popular ketika itu ialah Root Beer. Setelah aku tamat pengajian dan mula bekerja di Kuala Lumpur, barulah aku berpeluang merasainya. Itupun apabila kawan-kawan mengajak aku makan dan minum di A&W Jalan Tunku Abd Rahman di tengah-tengah KL pada masa itu.

Mulanya aku memang risau dan takut apabila kawan sekampung dan serumahku, Azim, memesan Root Beer setelah kami sama-sama memesan ayam goreng di restoran tersebut. 'Root Beer' itulah yang membuatkan perasaan aku dibalut kerisauan. Berbagai persoalan yang timbul. Halalkah minuman itu? Beer itu bukankah arak?

Tetapi apabila diperjelaskan bahawa minuman Root Beer itu sebenarnya adalah minuman ringan yang tidak mengandungi alkohol atau arak di dalamnya, barulah hati aku rasa lega. Itulah pertama kali aku minum Root Beer dan sememangnya aku tidak mengalami sebarang rasa memabukkan. Ia hanyalah minuman ringan yang berkarbonat.

Begitu jugalah apabila pada suatu masa dahulu, aku diajak kawan-kawan keluar makan di sebuah warung. Mereka masing-masing memesan 'nasi ayam'. Aku bingung sekali lagi. Nasi untuk makanan ayamkah? Kenapa kawan-kawanku memesan nasi ayam? Tidak adakah nasi biasa yang selalu kita makan di rumah atau di kedai-kedai makan yang lain? Kenapa nasi ayam?

Aku anak kampung, tidak terdedah kepada perubahan yang berlaku di bandar. Apabila mula bekerja dan tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan sebaya, merekalah yang banyak mendedahkan aku kepada semua itu. Mula-mula seleraku memang tidak dapat menerima 'nasi ayam' kerana aku lihat ayam yang bergantungan di warung itu segera mengingatkan aku kepada suasana yang sama di restoran-restoran atau kedai-kedai makan milik orang Cina. Selera aku jadi termengkelan.

Setelah melihat rakan-rakanku makan dengan penuh berselera aku mula berubah. Tambahan pula aku lihat sendiri penjualnya adalah orang Melayu Islam. Ayam yang bergantungan itu semuanya disembelih. Aku sendiri pergi melihat ayam-ayam yang siap digoreng untuk dijadikan juadah dan bertanya kepada makcik sama ada ayam-ayam itu disembelih oleh orang Islam. Setelah berpuas hati barulah aku berani menjamahnya. Itulah pengalaman yang telah aku lalui.

Sama jugalah seperti koeyteow. Mulanya aku tidak makan koeyteow sedangkan isteri dan anak-anak aku memang suka makanan tersebut. Mereka suka koeyteow goreng, char koeyteow, koeyteow kerang dan lain-lain resepi berasaskan koeyteow. Aku tidak suka dan tekakku tidak dapat terima. Pernah isteriku bertanya kenapa aku tidak suka makan koeyteow.

"Ia masakan kecinaan", balasku serius.

Tetapi sejak beberapa tahun yang lepas, aku mula berjinak-jinak merasa masakan koeyteow th'ng, iaitu koeyteow sup. Aku memberanikan diri suatu malam sewaktu kami seisi keluarga keluar makan malam di Taman Selera. Setelah semua membuat pesanan, aku dengan tersipu-sipu memesan koeyteow th'ng. Isteri dan anak-anakku terperanjat kehairanan dan masing-masing mengusik aku dengan bermacam-macam usikan. Aku tebalkan muka dan mula 'belajar' makan koeyteow yang masakannya kecinaan itu.

Sebab utamanya kerana tukang masaknya ialah orang Melayu Islam dan aku yakin masakannya halalan toiyiba. Sejak dari hari itulah aku sudah terpikat dengan koeyteow!

Serupa juga dengan 'nasi ayam' tadi. Akhirnya aku sudah terpikat dan jatuh hati dengan 'nasi ayam'. Aku tidak dapat berikan apa-apa alasan untuk tidak makan masakan lain selain nasi ayam pada waktu tengah hari semasa aku bekerja di sebuah syarikat dua tahun lalu. Boleh dikira dengan jari, hanya lebih kurang 10 kali sahaja aku makan tengah hari dengan juadah yang lain selain nasi ayam!

Mungkin kerana masakannya yang sedap, ayam yang rangup atau sambalnya yang menyelerakan membuatkan seleraku tertambat pada nasi ayam itu. Tetapi yang paling jelas ialah harganya hanya RM3.50 sepinggan. Aku puas dengan masakan dan harga yang amat berpatutan itu!

Dan kini, setelah hampir 6 bulan berpindah tempat kerja, aku masih makan nasi ayam. Hahahahahaa....

_____________________________________________

"Pilihlah makanan yang halal dan bersih dari sumber yang halal kerana setiap makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kita. Sesungguhnya setiap daging yang dimakan bukan dari sumber yang halal, nerakalah selayaknya kita ditempatkan! Berhati-hatilah memilih makanan"
______________________________________________

YANG ADA HANYA SARANGNYA SAHAJA

PETANG kelmarin, semasa aku hendak membaca akhbar di teres rumahku, aku menjenguk ke ranting anggur isteriku yang berselirat di hujung cucur atap. Ibu merbuk yang mengeram telurnya sejak dua minggu yang lalu sudah tiada. Yang ada hanya sarangnya sahaja.

Sedih rasa hati memikirkan ke mana perginya burung itu. Aku teringat bagaimana aku dan isteriku beria-ia mahu memasang sesuatu untuk mengelak burung, sarang dan telur yang dieramnya itu ditimpa hujan. Sedangkan hakikatnya bantuan yang kami hulurkan itu mengganggu lumrah kehidupan burung itu.

Mungkinkah burung itu merajuk gara-gara kami mengganggu sarangnya? Atau mungkinkah burung itu sudah terkena jerat peminat burung yang saban pagi, tengah hari dan petang, memasang denak di padang berhadapan rumahku. Aku jadi sedih seketika. Aku lihat sarangnya sedikit berselerak manakala kulit salah sebiji telur yang dieramnya bertukar warna keperang-perangan dan sebiji lagi masih kekal warna asalnya.

Melihat keadaan sarang dan telur-telurnya itu aku mula faham burung itu sudah tidak lagi terus mengeram telur-telurnya itu. Aku tidak akan dapat melihat anak burung merbuk yang bakal tetas dari telur-telur tersebut.

Aku terasa bersalah kepada burung merbuk itu. Maafkan aku dan isteriku. Sebenarnya kami hanya mahu menghulurkan bantuan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

SEKETIKA
aku terdengar bunyi bising decitan suara burung. Nyaring dan agak membingitkan telinga. Mataku melilau memandang persekitaran laman rumahku. Tiba-tiba di hujung laman berhampiran pagar hadapan, aku terpandang dua ekor burung di atas ranting pokok bunga hiasan isteriku.

Rupa-rupanya seekor ibu burung (aku tak tahu nama burung itu) sedang menyuap makanan ke paruh anaknya yang masih belum gagah terbang. Si anak itu ternganga paruhnya menadah makanan yang disuap siibu. Terasa benar kasih sayang si ibu burung itu terhadap anaknya yang masih belum mampu terbang mencari makanan sendiri.

Walaupun si anak sudah lengkap berbulu ditubuh kecilnya, namun aku yakin dia masih belum dapat terbang sepenuhnya. Aku mendekati burung tersebut dengan perlahan-lahan. Aku tidak mahu mereka terkejut dan terbang. Di tanganku kamera digital kemas kugenggam.

Beberapa tapak dari pokok bunga hiasan itu tiba-tiba si ibu burung itu terbang melayang kerana terperanjat melihat aku semakin hampir kepadanya. Sedangkan si anak masih bertenggek di situ tidak terbang bersama ibunya. Jelas si anak masih belum mampu terbang lagi.

Aku mempotret si anak burung itu. Comel. Tetapi dalam masa yang sama kedengaran suara bising decitan si ibu burung itu yang terbang berlegar-legar tidak jauh dari situ. Aku dapat melihat si ibu burung itu bersuara lantang seakan-akan memberi arahan kepada anaknya supaya cepat terbang melarikan diri. Tetapi si anak itu masih tetap bertenggek di situ.

Mungkin kerana bimbang anaknya diapa-apakan, si ibu burung itu terbang semakin hampir sambil menjerit nyaring. Aku beredar sedikit memberi ruang untuk si ibu itu datang kembali ke anaknya. Benar, beberapa detik kemudian aku lihat si ibu burung itu sudah bertenggek di ranting itu bersebelahan dengan anaknya. Suaranya pun sudah tidak kedengaran lagi. Aku terus membelek akhbar. Mataku terpampang ke satu berita pembuangan bayi di tandas sebuah pasaraya di Kelang. Kejam!!! Orang yang melakukan perbuatan itu sememangnya tidak berperikemanusiaan!

Burung kecil itupun sayangkan anaknya, tetapi manusia sudah tidak sayangkan anaknya sendiri!

Apakah binatang memiliki jiwa kemanusiaan dan manusia memiliki jiwa kebinatangan?

__________________________________________________________

"Hargailah setiap anugerah Tuhan kepada kita kerana setiap anugerah itu mempunyai rahsia yang perlu dicari hikmahnya"
__________________________________________________________

Mar 12, 2010

HUJAN DAN BURUNG MERBUK

PETANG tadi, setelah beberapa bulan kemarau, akhirnya Allah turunkan hujan sedikit. Rumput-rumput yang telah lama kering, pokok-pokok bunga hiasan yang sudah layu, pokok-pokok kayu yang sudah mula merenggeh, semuanya bergembira. Gembira kerana sudah ditimpa hujan yang, walaupun tidak lebat, tetapi sudah cukup menyegarkan.

Aku pun bersyukur kerana Allah telah turunkan hujan pada petang tadi. Sempat jugalah berjalan sebentar di dalam hujan itu kerana pergi mengambil kerusi kayu (stool) di hujung laman.

Tetapi sebaik sahaja hujan turun aku dan isteri tiba-tiba teringat sesuatu. Kami sama-sama keluar ke teres rumah meninjau makhluk tersebut.

Sudah hampir dua minggu dia berada di situ. Setiap hari aku melihatnya dari jarak dekat tetapi dia tidak mengendahkan pun kehadiranku.

"Dia kutip rumput-rumput kering tu, buat sarang", cerita isteriku dua minggu dulu.

"Dia nak bertelurlah tu", balasku.

Benar, dia seekor burung merbuk betina, membuat sarang dan bertelur di situ sejak dua minggu yang lalu. Setelah itu dia mengeramkan telur-telurnya di situ. Pada zahirnya, sarangnya terlalu kecil dan hanya bertenggek di atas ranting anggur isteriku yang merayap di hujung cucur atap teres rumah kami sahaja. Bila-bila masa sahaja kalau ada angin kuat, aku pasti sarang itu akan bertaburan jatuh ke bumi. Sejak burung itu mengeram telur-telurnya aku sering sahaja bercakap dengannya. Aku yakin dia faham apa yang aku cakapkan itu.

"Kesian kat burung tu, ni dah hujan tentu sarangnya basah", isteriku bersuara. Aku seperti teringatkan sesuatu, bingkas bangun dan keluar ke teres di tepi rumah.

"Tentu basahlah burung tu", isteriku membontoti aku bergegas ke arah yang kami sama-sama faham.

Hujan sudah mula lebat. Kami meninjau ke arah sarang burung merbuk itu. Titik-titik hujan yang sudah bertali, betul-betul mengenai tubuhnya yang begitu gigih mengeram bakal zuriatnya. "Ah, kasihannya", serentak kami menyarakan simpati.

Aku lihat burung itu menyembunyikan kepalanya di bawah sehelai daun anggur sebesar tapak tangan Alia, cucu jiran kami yang keletah berbicara. Pastinya dia tidak mahu kepalanya terus ditimpa hujan yang semakin lebat. Kami sibuk mencari akal bagaimana mahu membantu si burung merbuk yang sedang mengeram itu. Apa akan jadi kalau hujan makin lebat dan tidak berhenti dalam masa yang singkat?

Akhirnya kami sepakat berbuat sesuatu. Pasangkan sedikit bumbung supaya hujan tidak menimpa burung, sarang dan telurnya. Isteriku menjumpai jaring lama dan diadunkan dengan sehelai plastik, membentuknya seperti bumbung yang melengkung. Waktu itulah aku berjalan di dalam hujan mengambil kerusi kayu di hujung laman untuk dijadikan tempat pijak.

Semasa kami hendak memasang 'bumbung' buatan kami itu, burung itu tiba-tiba terbang meninggalkan sarang dan telurnya. Terkejut dengan kerja yang sedang dijalankan di atas kepalanya. Dalam hujan itu si burung terbang pergi.

Selesai tugas, kami rasa puas kerana dapat membantu si burung menyelamatkan sarang dan telurnya dari terus ditimpa hujan.

'Bumbung' itu dipasang betul-betul melengkung di atas sarang burung itu. Ruangnya hanya sesuai untuk si burung masuk mengeramkan telurnya sahaja. Kami rasa itulah cara terbaik untuk selamatkan sarang dan telur si burung itu daripada lencun ditimpa hujan. Kami tidak berfikir cara burung itu berfikir.

Tidak lama selepas itu tiba-tiba aku teringat sesuatu. "Mana boleh pasang bumbung macam tu. Burung tak akan berjalan keluar dari sarangnya, dia akan terus terbang saja. Bumbung yang kita pasang itu akan menghalang dia terbang".

Isteriku bersetuju. "Buangkan saja bumbung tu, tukar dengan sepelepah daun betik yang sudah kering kekuning-kuningan". Aku letakkan daun betik itu menggantikan bumbung yang kami pasang awal tadi. Titik-titik hujan masih lagi lebat. Selesai, kami masuk semula ke dalam rumah, tetapi hati masih teringatkan si burung yang terbang entah ke mana. Kami saling mengintai dari dalam bilik.

Tidak kami sedari, rupa-rupanya si burung itu bertenggek di atas wayar telefon sambil memerhati ke arah sarangnya yang telah diubah suai itu. Kata isteriku, dia lihat burung itu terbang ke sarangnya, tetapi tidak masuk sekadar memastikan telurnya selamat. Kemudian dia terbang semula entah ke mana.

Hari makin senja. Hujan masih renyai-renyai. Aku meninjau-ninjau ke arah sarang burung itu. Kosong. Hanya telurnya sahaja yang masih ada di situ. Aku ambil keputusan, pelepah betik itu pun aku buangkan. Biarlah sarangnya seperti asal tanpa sebarang 'bumbung' yang menutupinya.

"Di dalam hutan, siapa yang pedulikan sarang burung tu berbumbung atau tidak. Bila hujan tahulah dia selamatkan diri dan telurnya", kata isteriku selanjutnya. Aku bersetuju.

Sebelum aku menutup pintu kerana azam maghrib sudah kedengaran, aku lihat sarang burung masih lagi seperti tadi. Si burung itu terbang entah kemana meninggalkan sarang dan telurnya di situ.

"Kasihan burung tu, entah di mana tidurnya malam ini", rungut isteriku. Semuanya adalah kerana rasa simpati dan ingin menolongnya. Tetapi burung tetap burung, masakan dia faham apa yang kami lakukan untuknya.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana menciptakan makhluk di dunia ini.
______________________________________________________________
"Jangan diubah ketentuan yang telah ditetapkan Allah kerana manusia pasti tidak berupaya melakukannya".
______________________________________________________________

Mar 6, 2010

DI MANA LETAKNYA KEPERIMANUSIAAN

BERBAGAI perasaan menikam kalbu. Tentunya sebagai seorang ayah apatah lagi seorang ibu berbagai perasaan menghurung perasaan. Marah, sedih, kecewa, geram dan sebagainya.

Tentunya sebagai seorang ayah atau ibu, kasih sayang kepada anak kandung tidak pernah setitis pun berkurangan. Masing-masing menyayangi anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.

Namun kenapa pada akhir-akhir ini berbagai kejadian ngeri telah berlaku ke atas anak-anak kecil yang masih dahagakan kasih sayang? Anak-anak kecil belum mengerti makna dendam, marah dan sebagainya kerana mereka mengharapkan kasih sayang dicurahkan oleh orang tua mereka. Ataupun orang-orang yang lebih tua daripada mereka.

Sewajarnya orang-orang dewasa menyayangi kanak-kanak. Bukannya mendera atau mencederakan mereka.

Tetapi peristiwa menyayat hati yang berlaku sejak akhir-akhir ini menimbulkan pertanyaan, ke manakah hilangnya rasa perikemanusiaan di jiwa manusia?

Apakah perasaan seorang dewasa sehingga tergamak menendang kanak-kanak berusia 3 tahun seperti menendang sebiji bola? Ke mana hilangnya perasaan kasih sayang yang Allah curahkan ke dalam jiwanya sejak azalli? Kenapa dia tergamak melakukan sedemikian?

Begitu juga mengapa ada orang dewasa yang sanggup memijak seorang kanak-kanak berusia 18 bulan sehingga patah tulang rusuknya?

Kenapa semua ini terjadi? Di mana silapnya? Siapakah yang perlu dipertanggung jawabkan?

Orang dewasa sepatutnya menjadi pelindung kanak-kanak. Menyayangi mereka dengan sepenuhnya kerana kanak-kanak adalah golongan yang memerlukan perlindungan. Bukannya mendera mereka sehingga cedera atau menyebabkan kematian.

Orang dewasa merupakan golongan yang sudah matang, tidak lagi berfikiran cetek atau mudah menurut kehendak nafsu. Tetapi apa yang terjadi akhir-akhir ini orang dewasa sudah hilang kemampuan untuk menjadi pelindung kepada kanak-kanak yang masih lemah.

Sepatutnya orang tua membimbing kanak-kanak dan membentuk naluri mereka supaya mengasihi sesama manusia. Membelai mereka dengan kasih sayang, memberikan mereka kepercayaan bahawa orang dewasa adalah tempat mereka menimba pengalaman.

Malang, sungguh malang kerana pada masa kini nilai peri kemanusiaan sudah terhakis.
________________________________________________________________

"Kasih sayang adalah anugerah Allah yang perlu digemburkan sepanjang masa supaya ia tidak menguncup dan menjadi kering serta layu"
________________________________________________________________