
KELMARIN YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Mahyuddin Yassin telah mengumumkan Sasterawan Negara Ke-11 setelah panel pemilih membuat keputusan mereka. Khabarnya panel pemilih memilih Sasterawan Negara Ke-11 berdasarkan kepada pencalonan tahun 2010 dan juga pencalonan tahun sebelumnya, 2009.



Namun, setakat manakah pengiktirafan tersebut boleh menjadi pendorong kepada generasi muda mencintai dan menghayati sastera Melayu? Apakah dengan anugerah setinggi itu dapat menimbulkan minat mendalam di hati rakyat untuk mengagungkan karya-karya sastera Melayu? Apakah subjek Sastera Melayu di sekolah-sekolah menengah akan menjadi satu subjek penting untuk diajar kepada para pelajar?
Mana mungkin kesemua Sasterawan Negara yang telah dinobatkan itu begitu meminati, menghayati, mengagumi dan menghasilkan karya-karya sastera jika tidak pada zaman sekolah mereka dahulu mereka telah diulit dengan karya-karya sastera! Saya yakin proses membentuk jati diri mereka sebagai sasterawan Melayu telah dipupuk sejak zaman sekolah mereka dahulu lagi. Tetapi, apakah setelah sekian ramai dikalungkan gelaran Sasterawan Negara subjek Sastera Melayu akan terus dipinggirkan?
Bukan itu sahaja, apakah peranan Sasterawan Negara sebenarnya? Apakah suara, pendapat serta pandangan mereka diambil kira oleh berbagai pihak demi mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu? Atau apakah nanti suara-suara mereka hanya dipandang sinis atau tidak langsung singgah ke telinga pihak-pihak tersebut?
Semoga bahasa dan sastera Melayu benar-benar dimartabatkan!








No comments:
Post a Comment