Pages

Feb 15, 2011

REMAJA ISLAM

Gambar hiasan

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini tarikh 14 Februari disambut oleh sebilangan besar khususnya golongan remaja sebagai Valentine Day (Hari Kekasih), iaitu hari memperingati hubungan perkasihan di antara dua insan.

Dahulu, masa aku remaja, aku tidak pernah tahu atau dengar tentang Hari Kekasih ini. Kami remaja pada masa itu (1970-an) tidak pernah didedahkan tentang istimewanya 14 Februari. Tetapi sejak sedekad lalu, tiba-tiba 14 Februari menjadi signifikan pula, sehingga menjadi kegilaan remaja, termasuk remaja Islam, ikut sama meraya dan menyambut ketibaan tarikh itu dengan rasa bahagia sekali.

Kononnya tarikh 14 Februari adalah tarikh memperingati kekasih. Tarikh menunjukkan perasaan kasih sayang sesama insan. Itulah jarum dakyah yang disuntik ke dalam jiwa remaja. Malah ada juga 'remaja tua' ikut serta meraikan tarikh 14 Februari bersama dengan orang yang dikasihi.


Berkasih sayang sesama insan bukanlah menjadi kesalahan bahkan digalakkan di dalam ajaran agama Islam. Setiap manusia perlu menyayangi dan mengasihi manusia lain. Tetapi persoalannya kenapa 14 Fabruari yang dipilih, tidak 28 Februari umpamanya.

Mujurlah, cendiakawan Islam dewasa ini cepat sedar apabila timbul perbincangan hebat mengenai Valentine Day. Persoalan siapakah Valentine itu dan apakah peranannya di dalam menyemarakkan kasih sayang sesama manusia telah dikupas dengan secara terperinci.

Lalu akhirnya kini baharulah kita sama-sama faham siapakah Valentine dan apakah hubungannya dengan sambutan Valentine Day itu. Sehubungan itu kita juga telah difahamkan apakah hukumnya jika umat Islam ikut meraikan 14 Februari saban tahun. Pengetahuan ini amat penting dan perlu sekali disalurkan kepada remaja Islam supaya mereka lebih memahaminya.

Usaha beberapa pihak yang mengadakan kempen mencegah remaja Islam daripada meraikan Valentine Day itu harus mendapat pujian dan sokongan padu daripada seluruh rakyat beragama Islam. Usaha sedemikian adalah semata-mata bertujuan untuk mengawal remaja Islam daripada terjebak di dalam perangkap yang dipasang oleh musuh-musuh Islam.

Namun, pengetahuan tentang dakyah yang terselit di sebalik perayaan sambutan Valentine Day itu perlu didedahkan seluas-luasnya kepada remaja Islam supaya mereka sedar sepenuhnya bahawa menyambut Valentine Day bukanlah sebahagian daripada tuntutan agama.

Maklumat sedemikian perlu diedarkan melalui setiap saluran media, baik media cetak mahupun media elektronik, supaya ia dapat disebarluaskan kepada seluruh warga negara. Apabila pengetahuan itu masuk ke dalam minda remaja Islam pastilah mereka tidak akan ikut serta menyambut Valentine Day itu lagi. Pengetahuan tersebut akan terus disampaikan dari generasi ke generasi seterusnya.

Pencegahan, seperti serbuan ke hotel-hotel untuk mengesan serta menagkap pasangan remaja Islam yang mengambil kesempatan meraikan Valentine Day juga merupakan usaha murni yang perlu mendapat sokongan semua pihak berkuasa dan bertanggung jawab. Malah usaha sebegitu seharusnya dijalankan sepanjang masa, tanpa mengira semasa Valentine Day atau pun semasa perayaan-perayaan dan acara-acara sambutan lainnya. Ia harus berterusan.

Pencegahan lebih baik dari penyembuhan. Kita sering mendengar ungkapan tersebut diucapkan. Di dalam konteks mencegah remaja Islam daripada menyambut Valentine Day atau ikut merayakan sebarang perayaan yang tidak dibenarkan oleh ajaran agama Islam, usaha pencegahan yang paling berkesan ialah melalui penyampaian maklumat secara menyeluruh. Para cendiakawan Islam di negara kita perlulah mendekati para remaja Islam dengan cara berhemah dan menyalurkan maklumat-maklumat tentang kehebatan Islam melalui kaedah dan kecanggihan semasa yang digemari oleh para remaja.

Supaya dengan itu remaja Islam di negara kita akan mempunyai jati diri yang kukuh dan jitu, tidak mudah terikut-ikut dengan dakyah yang memesongkan akidah.

No comments:

Post a Comment