Pages

Aug 21, 2009

SELAMAT DATANG RAMADHAN

RAMADHAN datang lagi. Setiap tahun Ramadhan pasti akan muncul apabila tiba gilirannya. Tahun inipun tiada bezanya. Esok Ramadhan akan menjengah tiba.

Jiwa-jiwa yang sentiasa menanti ketibaan Ramadhan akan bersemarak riangnya. Kerinduan kepada Ramadhan pasti akan terubat. Bulan yang penuh rahmat, penuh berkat dan penuh janji Tuhan kepada hamba-hamba-Nya yang beribadat dengan penuh keikhlasan. Rendah diri serta mengharap tiada yang lain, melainkan rahmat Allah s.w.t

Rasa syahdu sudah menjalar menantikan detik pertama memasuki Ramadhan tahun ini. Kesyahduan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan, melainkan dengan hati yang jujur dan ikhlas. Betapa sepanjang Ramadhan nanti akan terbuka berjuta ruang dan peluang untuk diisi dengan ibadat. Betapa akan tertutup setiap rongga dan lubang ingkar.

Beruntunglah jiwa-jiwa yang sentiasa mencari keredaan Allah sepanjang Ramadhan ini. Malanglah jiwa-jiwa yang keras dan enggan tunduk mengutip mutiara yang berselerakan.

Selamat datang Ramadhan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Ada satu berita di dalam akhbar kelmarin, seorang anak terkilan kerana ayahnya meninggal dunia seminggu sebelum tiba hari ulang tahun kelahirannya yang ke-72. Saya teringat kepada Ramadhan, cucu saudara saya yang kematian ayahnya seminggu yang lalu. Ramadhan kini sudah menjadi yatim lebih awal daripada ketibaan Ramadhan tahun ini.

Semoga roh ayah Ramadhan dicucuri Rahmat Allah sepanjang Ramadhan ini...
__________________________________________
"Kejayaan adalah dugaan, sama seperti kehidupan di dunia ini"
__________________________________________

1 comment:

  1. Ramadhan Kareem...
    Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna.

    ReplyDelete