Pages

Jun 1, 2009

KEGIATAN SEMASA CUTI SEKOLAH

CUTI sekolah penggal pertama 2009 telah bermula. Lazimnya pada musim cuti sebegini banyak kegiatan yang dijalankan. Ada ibu bapa mengambil kesempatan melawat sanak saudara yang jauh, atau membawa anak-anak melancong sambil berehat di tempat-tempat menarik. Pihak sekolah juga ada yang menganjurkan kegiatan lawatan sambil belajar untuk pelajar-pelajar mereka, seperti lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sebagainya. Ada juga kegiatan-kegiatan luar seperti khemah ibadah, perkhemahan pengakap, kem motivasi dan lain-lain lagi.

Namun yang paling ketara sekali, majlis walimatul'urus rancak diadakan sepanjang cuti sekolah seperti kini. Rata-rata ahli masyarakat mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melansungkan perkahwinan anak-anak mereka. Ini kerana musim cuti persekolahan sebegini tidak mengganggu persekolahan anak-anak masing-masing. Ahli keluarga jauh dan dekat dapat berkumpul. Jiran-jiran, sahabat handai dan kawan rakan mudah menyusun masa kerana tidak terikat dengan masa persekolahan anak-anak. Banyak sungguh jemputan majlis kenduri kahwin kali ini. Saya sendiri sudah menerima lima jemputan sehingga kini. Rasanya akan ada lagi beberapa jemputan selepas ini.

Namun, bagi para pelajar, kegiatan musim cuti sekolah perlulah lebih tertumpu kepada kegiatan yang berfaedah untuk kemajuan pelajaran. Tambahan pula cuti penggal pertama hanyalah dua minggu sahaja. Selepas itu para pelajar akan kembali semula ke sekolah, meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Musim cuti yang pendek ini eloklah jika dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan yang memberi nilai tambah kepada pelajaran para pelajar sekalian. Elok jika boleh mengikuti kelas-kelas khas untuk mata pelajaran-mata pelajaran yang kurang cekap. Contohnya jika para pelajar merasakan sehingga tahap ini, pemahaman para pelajar tentang mata pelajaran Fizik masih belum memuaskan, eloklah pada musim cuti sebegini mengikuti kelas-kelas tusyen mata pelajaran tersebut. Begitu juga di dalam mata pelajaran yang lain seperti Matematik Tambahan, Kimia, Biologi dan sebagainya.

Mungkin juga ada para pelajar yang masih belum khatam Al-Qur'an, eloklah sepanjang dua minggu cuti sekolah ini berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan dan khatam. Ibu bapa pula sewajarnya mengambil berat tentang perkara ini dan menggesa anak-anak yang masih belum khatam Al-Qur'an supaya berbuat demikian secepat mungkin.

Mengikuti kem motivasi semasa cuti sekolah juga merupakan kegiatan yang baik dan berfaedah, apatah lagi jika di dalam kem tersebut diselitkan dengan ceramah-ceramah agama selain daripada ceramah-ceramah motivasi dan kegiatan fizikal yang lain. Suntikan nilai-nilai agama yang luhur dan murni perlu diberikan kepada para pelajar supaya jiwa mereka dipenuhi dengan nilai-nilai agama bagi menjadi dinding dan penghadang kepada unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan diri dan jiwa mereka.

Tetapi apapun kegiatan yang boleh dilakukan, satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah kegiatan untuk lebih mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Ibu bapa yang sepanjang masa sibuk mencari rezeki perlu meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak pada musim cuti sekolah sebegini. Bersama-sama melakukan kegiatan yang digemari dengan matlamat untuk lebih mengeratkan rasa hormat dan kasih sayang sesama ahli keluarga. Ikatan kekeluargaan amat perlu dijaga bagi menjamin tautan kasih sayang berpanjangan dan berkekalan.

____________________________________________

"Tiada yang lebih bermakna di dalam hidup kita selain memiliki sebuah keluarga yang hormat menghormati dan berkasih sayang sesama sendiri"

4 comments:

  1. Ibu bapa pencetus kehidupan bahagia anak-anak. Pengorbanan Sebaik sahaja anak-anak menguak tangisan pertama tidak sepatutnya diabaikan anak-anak.
    Belajr menggapai pelangi meskipun yang dapat digenggam hanya titisan air berwarna.

    ReplyDelete
  2. Ibu bapa abadikan kemewahan kepada anak-anak menerusi pengorbanan yang tidak pernah berpenghujung. Anak-anak seharusnya berusaha untuk menggapai pelangi biarpun sesukar meredah lautan berbisa.

    ReplyDelete
  3. Masing-masing ada peranan, tugas dan tanggung jawab. Ibu bapa membesar, menjaga dan mendidik anak-anak. Anak-anak pula bertanggung jawab untuk belajar menjadi seorang anak yang menghargai jasa ibu bapa dan menjadi insan berguna. Terima kasih hasuna

    ReplyDelete
  4. thanx....
    akhirnye dpt isi utk krngan..

    ReplyDelete